6.6.03
RUMAH BARU (PART 2)
Hostel. Satu lagi alternatif. Ayah cadangkan ini. Tapi aku tak mahu. Ada lima sebab aku tak mahu.
PERTAMA: Ada 45,000 pelajar di universiti aku. Hostel cuma mampu menampung 13,000. Lima puluh peratus pelajar (+/- 22,500 orang) bersaing untuk mendapat 13,000 tempat. Keutamaan akan diberikan kepada pelajar aktif dan pelajar miskin. Aku mungkin boleh dapat tempat pelajar aktif, tapi kalau aku masuk, aku mungkin menutup peluang seorang pelajar miskin -- yang menyewa satu rumah pangsa dua puluh orang, yang tidur atas kotak sebab tak mampu beli tilam, yang kalau makan tengah hari berlauk akan makan malam tanpa lauk -- aku rasa mereka lebih berhak.
KEDUA: Aku tak ada kawan sekursus kalau aku tinggal di hostel. Kawan-kawan sekursus aku sama ada tak cukup miskin atau tak cukup aktif untuk tinggal di hostel. Ini akan menyusahkan aku bila ada group assignment atau nak buat discussion.
KETIGA: Kalau tinggal ramai-ramai di rumah sewa KURANG privacy, maka tinggal di hostel pula TIADA privacy langsung. Kes kecurian pun tinggi -- duit, pakaian, handphone adalah barang kegemaran. Aku tak berani bawa laptop kalau aku tinggal di hostel.
KEEMPAT: Cara hidup di hostel yang aku tak suka. Penghuni hostel biasanya digunakan sebagai pemeriah majlis. Bila orang besar datang rasmi program di universiti, bila tv buat lintas langsung di universiti, dan sebagainya. Paling tak tahan, bila dijadikan pemeriah majlis di luar universiti, jadi pendengar ceramah politik. Kadang-kadang kena pegang banner yang orang lain buat, dan esok masuk paper dengan tajuk "Mahasiswa Menyokong Kita".
KELIMA: Curfew.
. . . . .
Rumah berkembar dua tingkat ditolak. Hostel pun ditolak. Aku "rujuk" balik dengan teman-teman serumah lama. Aku masuk rumah pangsa juga. Jauh memang jauh. Tapi perjuangan Rasulullah mula menyinar setelah baginda berhijrah jauh.
Rumah lama dulu jiran kiri kanan orang berkeluarga. Rumah baru sekarang tiada jiran kiri kanan tapi ada jiran depan. Dan jiran depan bukan orang berkeluarga tapi orang bujang juga. Pelajar di tempat yang sama juga. Yang bezanya, orang bujang rumah depan dari spesis lain. Spesis yang terpaksa bangun lebih awal daripada kami, untuk pergi kelas pada waktu yang sama, kerana nak berbedak dan bergincu. Perempuan.
Rumah baru datang sekali dengan rutin baru. Malam-malam kami jadi "ahli mesyuarat pintu". Berkumpul depan pintu "bermesyuarat" dengan orang rumah depan. Grille rumah buat suasana macam banduan berbicara dengan banduan sel depan. Kami mungkin tak akan beli peti sejuk walaupun kami mampu, sebab nanti kurang satu alasan untuk ketuk rumah depan -- nak pinjam ais kiub! Walaupun tahu Lan akan bawa balik suratkhabar malam nanti, itu tidak menjadi halangan untuk Zumir pinjam suratkhabar rumah depan.
Setakat ini belum ada "lauk lebih" dan "kuih lebih" yang dihantar oleh rumah depan. Tapi aku yakin, tak lama lagi akan ada. Experience teaches you well.
# MJ | Permalink |
|