Wednesday, February 27, 2008

ORANG BUTA TERKENAL DI MALAYSIA


S. Jibeng
Penyanyi pop yeh yeh terkenal. Lagunya "Musafir Di Aidil Fitri" berkumandang setiap kali musim raya, manakala lagu "Inai di Jari" pula popular setiap kali musim kahwin. Penyanyi buta ini mendapat jolokan Stevie Wonder Malaysia.





Prof. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh
Wajah yang saban tahun menghiasi kaca tv memberi analisis setiap kali pembentangan bajet negara. Orang buta pertama dilantik sebagai senator Dewan Negara. Beliau adalah Naib Canselor L & G Twintech Institute Of Technology, dan bekas Timbalan Ketua Pengarah ISIS.





JM Aziz
Penyair berjiwa besar. Beliau memenangi pelbagai anugerah sastera anjuran pelbagai pihak. Penyair buta ini terkenal dengan puisi "Penyu Menangis" yang turut dinyanyikan Sudirman.






Pak Lah
Perdana Menteri buta! Tak nampak kepincangan yang berlaku dalam negara!







.

Monday, February 25, 2008

SAYA CALON P085 PEKAN

Alhamdulillah, saya terpilih sebagai calon Parti Undi Rosak untuk kerusi P085 Pekan. Jadi, undilah saya:



STRATEGI

Ini adalah keputusan penggal lepas:

BN: 31,956 undi
PAS: 9,034 undi
Undi Rosak: 1,192 undi

Berdasarkan prestasi penggal lepas, parti Undi Rosak hanya mendapat 1,000 lebih undi. Mampukah Undi Rosak menang penggal ini? Ya, kerana penggal ini saya ada strategi! Strategi memenangi pilihanraya melalui undi pos.

Saya mendapat idea undi pos ini selepas melihat risalah skim cepat kaya yang ditinggalkan di masjid semasa sembahyang Jumaat. Selain memasukkan wang ke dalam akaun orang, dan memasukkan nombor akaun sendiri ke dalam risalah itu, ia meminta orang ramai memfotostat risalah tersebut dan pos kepada 10 orang. 10 orang itu pula akan pos kepada 10 orang lagi. Matematiknya adalah seperti ini:

* Peringkat 1: Orang yang terbabit: 1
* Peringkat 2: Orang yang terbabit: 10
* Peringkat 3: Orang yang terbabit: 100
* Peringkat 4: Orang yang terbabit: 1,000

Menggunakan strategi yang sama, pada hari Jumaat saya akan meninggalkan 1,000 keping kertas undi di masjid-masjid seluruh Malaysia (kecuali Masjid Kristal, kerana di situ tiada sembahyang Jumaat).

Kertas undi itu sudah siap berpangkah pada petak saya. Jemaah Jumaat diminta memfotostat kertas undi tersebut 11 keping (syukurlah kertas undi original pun dicetak dakwat hitam, bukan berwarna, jadi mudahlah fotostat). Satu dipos ke pusat undi di Pekan, 10 lagi dipos kepada orang lain. 10 orang itu pula masing-masing akan fotostat 11 keping, dan mengulang perkara yang sama. Matematiknya adalah seperti berikut:

* Peringkat 1: Orang yang terbabit: 1,000
* Peringkat 2: Orang yang terbabit: 10,000
* Peringkat 3: Orang yang terbabit: 100,000
* Peringkat 4: Orang yang terbabit: 1,000,000
* Peringkat 5: Orang yang terbabit: 10,000,000
* Peringkat 6: Orang yang terbabit: 100,000,000
* Peringkat 7: Orang yang terbabit: 1,000,000,000
* Peringkat 8: Orang yang terbabit: 10,000,000,000
* Peringkat 9: Orang yang terbabit: 100,000,000,000
* Peringkat 10: Orang yang terbabit: 1,000,000,000,000

Pada hari pengiraan nanti, setelah dikira undi dalam tong, saya akan memperoleh 1,193 undi (1,192 datang dari pengundi yang sama penggal lepas, satu lagi datang dari anak salah seorang pengundi penggal lepas yang tahun ini baru cukup umur 21 tahun). Najib dan Khairul Anuar akan bernafas lega waktu itu.

TAPI... apabila tiba pengiraan undi pos... undi saya menjadi 1,000,000,001,193!

MANIFESTO

Jika saya menang, saya akan:

1) Melancarkan projek Koridor Pahang, atau singkatannya: KOTEPAKHANG.

KOTEPAKHANG ini dapat memacu pertumbuhan penduduk Pahang.

2) Melantik calon yang kalah (Najib dan Khairul Anuar) sebagai pegawai saya.

Penduduk Pekan akan memandang saya sebagai seorang yang mulia kerana memberi jawatan kepada orang yang pernah menentang saya. (Saya belajar ini di tv dan suratkhabar, selepas Mahathir letak jawatan, beliau dipuji-puji salah satunya kerana memberi jawatan kepada orang yang pernah menentangnya). Selain itu, penduduk Pekan yang menyokong Najib dan Khairul Anuar juga akan bersatu padu di bawah kepimpinan saya.

3) Memansuhkan undi pos.

Supaya orang tidak boleh mengalahkan saya menggunakan strategi undi pos pada penggal depan.

UNDILAH MAT JAN DEMI MASA DEPAN YANG MAPAN DAN BERGEMERLAPAN!

(p/s: masa dePAN maPAN dan bergemerlaPAN -- slogan mesti rhyme beb... rakyat suka benda-benda rhyme ni. Contoh: Cemerlang, Gemilang, Pungkoqhang)

KEMASKINI (09/03/08)

Berikut adalah keputusan di Pekan:

BN: 36,262 undi
PKR: 9,798 undi
Undi Rosak: 1,261 undi

Walaupun Parti Undi Rosak tewas di Pekan, namun ada peningkatan dari segi jumlah undi sebanyak 69 undi berbanding penggal lepas.

Strategi undi pos saya gagal kerana bot yang membawa kertas undi pos karam di Sungai Pahang akibat arus deras. Saya redha walaupun saya syak ini perbuatan sabotaj.

Friday, February 22, 2008

SPESIS TERANCAM DI MALAYSIA


ORANG UTAN

Nama saintifik: Pongo pygmaeus

Habitat: Hutan paya tanah pamah di Borneo dan sebahagian kecil Sumatera.

Fakta ringkas: Pernah hidup dalam hutan di tanah besar Asia Tenggara tetapi pupus akibat aktiviti pemburuan dan pemusnahan habitat oleh manusia.

Langkah pemuliharaan: Dilindungi oleh undang-undang di Malaysia dan Indonesia. Ada taman pemuliharaan orang utan di Sepilok, Sabah.


TAPIR

Nama saintifik: Tapirus indicus

Habitat: Hutan di Semenanjung Malaysia dan Sumatera. Hidup di ketinggian aras laut hinggalah ke kawasan tinggi.

Fakta ringkas: Diancam kepupusan akibat dimakan harimau dan aktiviti manusia. Selain pemusnahan habitat oleh manusia, tapir juga diburu oleh mereka yang gemar memakan daging hidupan liar.

Langkah pemuliharaan: Dilindungi oleh undang-undang di Malaysia. Inisiatif mewujudkan taman pemuliharaan oleh kakak Emma dan kawan-kawan.


PEMBANGKANG

Nama saintifik: Oppositus partus

Habitat: DUN dan Parlimen

Fakta ringkas: Spesis paling terancam di Malaysia. Hanya tinggal 21 di Parlimen dan 53 di DUN. Hampir pupus di Perlis, Pahang dan Johor.

Langkah pemuliharaan: Walaupun ada individu dan NGO yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan media untuk melindungi spesis ini, tetapi majoriti rakyat Malaysia memilih untuk menghapuskannya. Media menggambarkannya sebagai liar dan berbahaya, dalam usaha melindungi spesis barisanus nasionalus.

(Entri ini adalah siaran ulangan entri tahun 2004)

Sunday, February 17, 2008

DUNIA BARU, LAWAK BARU!



Aku sudah lama tidak review filem. Walaupun aku menonton wayang hampir setiap minggu. Tetapi menonton Dunia Baru The Movie, aku tergerak hati untuk menulis tentangnya.

Dunia Baru adalah filem komedi Melayu yang BARU! Lawak-lawak baru yang tak pernah tengok dalam filem Melayu lain. Tahniah kepada pengarah Mohd Hitler, dan penulis skrip Wan Hasliza. Aku sangat terhibur dan rasa nak tengok sekali lagi.

(AMARAN: Teks di bawah mengandungi spoiler.)

Ada banyak lawak yang aku suka. Siapa sangka dalam satu babak, tiba-tiba ada pengacara rancangan 999 buat liputan (babak ini akan lebih lawak, sekiranya watak Mazidul Akmal Sidek itu dipegang oleh dirinya sendiri). Dan, urat ketawa kau terputus lagi bila dalam babak lain, ada shooting rancangan Seekers! Buat aku tertunggu-tunggu rancangan tv apa pula yang akan muncul selepas itu.

Watak Bangla yang aku sangka cuma berakhir di stesen minyak rupa-rupanya sampai ke hujung cerita. Belum hilang penat ketawa kerana Bangla stesen minyak diculik, kena ketawa lebih kuat lagi selepas sukarelawan Seekers pun kena juga! Buat aku ternanti-nanti, siapa pula mangsa culik seterusnya.

Begitu juga dengan watak ibu Adif yang tiba-tiba "pling!" muncul dalam lokap dan memberi tazkirah ke-ba-ro-ka-tan! Serta senyum palsu Opie. Juga lawak Starbucks dan Kentucky.

Dan tentunya, lawak paling berani, lagu "Sepohon Kayu" versi punk rock, siap dengan menari-nari. Tapi aku kira, pihak produksi masih berhati-hati kerana hanya rangkap "walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya" sahaja yang dirockkan. Lawak itu akan jadi lebih berani, dan lebih best, kalau rangkap "hidup di kubur yatim piatu, tinggallah seorang dipukul dipalu" turut dibuat begitu!

Selain lawak, ada satu babak yang buat aku tertanya-tanya (dan berfantasi macam-macam). Apa yang sebenarnya Suzanna offer pada Bakri kedai kopi untuk settle bil tu? (Blowjob ke? Ke lebih daripada itu? Wo!)

Aku tak ikut siri Dunia Baru di tv, tetapi menonton filemnya membuatkan aku rasa macam nak tengok setiap minggu (malangnya aku dengar, musim barunya dah pun sampai episod akhir!).

Kepada yang tak ikut siri tv-nya, aku cadangkan kau baca profil watak-watak di www.duniabaruthemovie.com dahulu, baru kau faham hubungan cinta-benci antara setiap watak dan kau akan lebih menikmati filem ini. Aku hanya baca selepas menonton filemnya, dan ia buat aku lebih memahami kenapa watak ini begitu, dan watak itu begini.

Untuk peminat filem komedi, ini mesti tonton.

Labels:

Thursday, February 07, 2008

PANAH (1974 - 2008)

Aku kenal Panah (Ahmad Zafran) setelah bertugas di PTS, syarikat yang menerbitkan karya-karyanya: Tegar, 40 Lukisan Hati, Sahabat Kole Kacang, Jiwa Pendekar, dan Pendekar Merah Budiman.

Aku jumpa dia bila dia datang ke ofis atau bengkel penulisan. Pernahlah dia cerita dia sakit jantung.

3 Februari, dapat sms daripada Fauzul, Panah dah tak ada.

Esoknya, aku ke rumah Panah bersama-sama Nazrul, Faris, Shikin, Hisham, Baha, Prof Abdullah Hassan, Puan Ainon, Zaharin, Kak Nor, Zain, Vovin, Alif, dan Adzakael.


Kami sampai di rumah Panah di Kampung Seri Kendong, Tampin, pukul 11 pagi.


Emak Panah bercerita, malam itu seperti biasa Panah mengaji Quran dengannya. Malam itu Panah baca surah ar-Rahman. Selepas itu Panah masuk ke biliknya. Esoknya, emak Panah hairan kenapa Panah tak bangun subuh seperti biasa. Emak Panah pun masuk bilik nak kejut dia bangun. Rupa-rupanya Panah dah tak ada.


Ini adalah bilik tempat Panah menulis.


Panah menaip catatan diarinya di PC sebelum dicetak dan ditampal ke dalam buku diari.


Ini catatan terakhir di PC. Mungkin belum disempat dicetak dan ditampal. Catatan ini tentang hasratnya ingin menyiapkan antologi cerpen "Gadisku Di Perjalanan". Antara isi catatan Panah: "Kalau PTS boleh menerbitkan antologi cerpen Ilham Hamdani, kenapa tidak antologi aku?"


Ini catatan terakhir dalam buku diarinya: "Jonos beritahu kat mana boleh beli VCD Avatar..."

Dalam diarinya, setiap hari Panah catat pukul berapa dia sembahyang (setiap waktu). Sms yang diterima juga dicatat. Begitu juga dengan chat log. Beliau selalu chat dengan Icesoul.


Panah pernah kata, dia nak hantar cerita "99 Hajat" dan "Gapura Adinova" kat aku. Nampaknya, tak kesampaian.

Al-Fatihah buat Panah.

(Semua foto oleh Hisham Salmin.)