Monday, March 10, 2008
PENGUNDI HANTU
Hantu-hantu yang tidak sesuai digunakan sebagai pengundi hantu:
1) Toyol
Toyol didefinisikan sebagai "hantu kanak-kanak bogel yang digunakan untuk mencuri". Undang-undang mentakrifkan "kanak-kanak" sebagai orang yang berusia bawah 18 tahun, manakala umur yang layak mengundi pula adalah 21 tahun. Oleh itu, walaupun toyol itu hantu, beliau tidak layak menjadi pengundi hantu kerana tidak cukup umur.
2) Orang Minyak
Orang minyak badannya diselaputi minyak. Selepas menyerahkan kad pengenalan, kertas undi yang beliau ambil akan terpalit kesan minyak yang hitam dan pekat. Secara automatik undi beliau akan menjadi undi rosak. Ia tidak membawa faedah kepada mana-mana parti (kecuali PUNDAK.)
3) Pocong
Pocong, walaupun hantu yang cukup umur dan tidak berminyak, tidak sesuai digunakan sebagai pengundi hantu. Ini adalah kerana tubuh beliau yang dibungkus ketat tidak mengizinkan beliau menggunakan tangan. Tanpa tangan, beliau tidak dapat memangkah kertas undi.
4) Hantu Jepun
Hantu Jepun adalah bayangan makhluk yang berpakaian seperti tentera Jepun. Selalunya beliau dikaitkan dengan tempat yang pernah dijadikan markas tentera Jepun semasa Jepun menawan Malaya. Tempat yang selalu disebut-sebut adalah bangunan sekolah berasrama dan pejabat kerajaan. Undang-undang hanya membenarkan warganegara Malaysia mengundi. Walaupun hantu Jepun itu hantu, beliau tidak layak menjadi pengundi hantu kerana beliau warganegara Jepun.
5) Hantu Galah
Hantu galah dikatakan bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan menyapu awan. Oleh kerana pusat mengundi biasanya di sekolah, dan pintu bilik darjah hanya sekitar 7 kaki tinggi, beliau tidak dapat digunakan sebagai pengundi hantu. Ketinggian beliau tidak mengizinkan beliau masuk ke bilik mengundi.
Sekian info pilihanraya buat hari ini. Terima kasih.
# MJ | Permalink |
|