Monday, February 25, 2008
SAYA CALON P085 PEKAN
Alhamdulillah, saya terpilih sebagai calon Parti Undi Rosak untuk kerusi P085 Pekan. Jadi, undilah saya:

STRATEGI
Ini adalah keputusan penggal lepas:
BN: 31,956 undi PAS: 9,034 undi Undi Rosak: 1,192 undi
Berdasarkan prestasi penggal lepas, parti Undi Rosak hanya mendapat 1,000 lebih undi. Mampukah Undi Rosak menang penggal ini? Ya, kerana penggal ini saya ada strategi! Strategi memenangi pilihanraya melalui undi pos.
Saya mendapat idea undi pos ini selepas melihat risalah skim cepat kaya yang ditinggalkan di masjid semasa sembahyang Jumaat. Selain memasukkan wang ke dalam akaun orang, dan memasukkan nombor akaun sendiri ke dalam risalah itu, ia meminta orang ramai memfotostat risalah tersebut dan pos kepada 10 orang. 10 orang itu pula akan pos kepada 10 orang lagi. Matematiknya adalah seperti ini:
* Peringkat 1: Orang yang terbabit: 1 * Peringkat 2: Orang yang terbabit: 10 * Peringkat 3: Orang yang terbabit: 100 * Peringkat 4: Orang yang terbabit: 1,000
Menggunakan strategi yang sama, pada hari Jumaat saya akan meninggalkan 1,000 keping kertas undi di masjid-masjid seluruh Malaysia (kecuali Masjid Kristal, kerana di situ tiada sembahyang Jumaat).
Kertas undi itu sudah siap berpangkah pada petak saya. Jemaah Jumaat diminta memfotostat kertas undi tersebut 11 keping (syukurlah kertas undi original pun dicetak dakwat hitam, bukan berwarna, jadi mudahlah fotostat). Satu dipos ke pusat undi di Pekan, 10 lagi dipos kepada orang lain. 10 orang itu pula masing-masing akan fotostat 11 keping, dan mengulang perkara yang sama. Matematiknya adalah seperti berikut:
* Peringkat 1: Orang yang terbabit: 1,000 * Peringkat 2: Orang yang terbabit: 10,000 * Peringkat 3: Orang yang terbabit: 100,000 * Peringkat 4: Orang yang terbabit: 1,000,000 * Peringkat 5: Orang yang terbabit: 10,000,000 * Peringkat 6: Orang yang terbabit: 100,000,000 * Peringkat 7: Orang yang terbabit: 1,000,000,000 * Peringkat 8: Orang yang terbabit: 10,000,000,000 * Peringkat 9: Orang yang terbabit: 100,000,000,000 * Peringkat 10: Orang yang terbabit: 1,000,000,000,000
Pada hari pengiraan nanti, setelah dikira undi dalam tong, saya akan memperoleh 1,193 undi (1,192 datang dari pengundi yang sama penggal lepas, satu lagi datang dari anak salah seorang pengundi penggal lepas yang tahun ini baru cukup umur 21 tahun). Najib dan Khairul Anuar akan bernafas lega waktu itu.
TAPI... apabila tiba pengiraan undi pos... undi saya menjadi 1,000,000,001,193!
MANIFESTO
Jika saya menang, saya akan:
1) Melancarkan projek Koridor Pahang, atau singkatannya: KOTEPAKHANG.
KOTEPAKHANG ini dapat memacu pertumbuhan penduduk Pahang.
2) Melantik calon yang kalah (Najib dan Khairul Anuar) sebagai pegawai saya.
Penduduk Pekan akan memandang saya sebagai seorang yang mulia kerana memberi jawatan kepada orang yang pernah menentang saya. (Saya belajar ini di tv dan suratkhabar, selepas Mahathir letak jawatan, beliau dipuji-puji salah satunya kerana memberi jawatan kepada orang yang pernah menentangnya). Selain itu, penduduk Pekan yang menyokong Najib dan Khairul Anuar juga akan bersatu padu di bawah kepimpinan saya.
3) Memansuhkan undi pos.
Supaya orang tidak boleh mengalahkan saya menggunakan strategi undi pos pada penggal depan.
UNDILAH MAT JAN DEMI MASA DEPAN YANG MAPAN DAN BERGEMERLAPAN!
(p/s: masa dePAN maPAN dan bergemerlaPAN -- slogan mesti rhyme beb... rakyat suka benda-benda rhyme ni. Contoh: Cemerlang, Gemilang, Pungkoqhang)
KEMASKINI (09/03/08)
Berikut adalah keputusan di Pekan:
BN: 36,262 undi PKR: 9,798 undi Undi Rosak: 1,261 undi
Walaupun Parti Undi Rosak tewas di Pekan, namun ada peningkatan dari segi jumlah undi sebanyak 69 undi berbanding penggal lepas.
Strategi undi pos saya gagal kerana bot yang membawa kertas undi pos karam di Sungai Pahang akibat arus deras. Saya redha walaupun saya syak ini perbuatan sabotaj.
# MJ | Permalink |
|