Monday, September 24, 2007

BUKAN PILIHAN PERTAMA

"Ingat tak Yuri Gagarin (manusia pertama di angkasa lepas)... beliau bukanlah pilihan pertama. Beliau adalah pilihan kedua tetapi terpilih di saat-saat akhir memandangkan krew pilihan utama menghidap demam campak," menteri yang berkongsi initial dengan Jongkang Jongket - JJ - Jamaludin Jarjis dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum diumumkan sebagai pilihan pertama pun lagi, Dr Sheikh Muszaphar sudah 'dipilih' orang - wanita terutamanya - sebagai pilihan pertama. Mencari 'Sheikh Muszaphar' dan 'Faiz Khaleed' di internet, kita dapati bahawa Dr Sheikh itu lebih popular.

Entri Wikipedia beliau lebih panjang, dan ada gambar. Manakala entri Dr Faiz lebih pendek, dan tidak bergambar.

Beliau ada kelab peminat rasmi (yang mana majoriti ahlinya adalah wanita). Manakala Dr Faiz tidak ada kelab peminat rasmi.


Novelis wanita (Norzailina Nordin) menulis novel jiwang angkasa lepas (Impian Terindah), memuatkan foto penulis bersama Dr Sheikh di dalam novel itu. Manakala Dr Faiz, tidak ada siapa yang menulis novel untuk beliau.

Keadaan ini, tidak lain dan tidak bukan, kerana Dr Sheikh lebih hensem. Kalau kau di tempat Dr Faiz, bagaimana agaknya perasaan kau?

(Hasil carian di Google: gadis-gadis berbicara tentang ke-hensem-an beliau.)

Mujurlah, Dr Sheikh terpilih sebagai pilihan pertama. Kalau tidak, malulah dia. Cuma, aku terfikir, bagaimana kalau (KALAU, aku bilang, KALAU) seperti kes Yuri Gagarin, Dr Faiz terpilih pada saat-saat akhir, kerana Dr Sheikh Muszaphar kena demam campak?

Apa agaknya reaksi wanita-wanita Malaysia, dari anak-anak dara ke makcik-makcik, peminat fanatik beliau yang siang malam sembahyang hajat minta Dr Sheikh terpilih, tapi pada saat-saat akhir tersingkir?

Adakah mereka akan merusuh, membakar Jalur Gemilang, dan seterusnya ditembak peluru hidup? Jika itu berlaku, tentulah kita bersimpati kepada polis yang menembak itu, kerana merusuh bukan budaya kita. Budaya kita adalah menembak orang awam.

Semoga Dr Sheikh Muszaphar selamat pergi dan selamat kembali. Dan kepada Dr Faiz, jangan cuba Botox! Ia tak menjadikan muka kita hensem, ia menjadikan muka kita pelik.