Tuesday, June 12, 2007

BANJIR & KITARAN AIR

Aku menunggu tren di KLCC untuk ke Wangsa Maju, malam Ahad itu, selepas menonton Shrek 3 (tidak selawak Shrek 2, tetapi lawak jugalah). Bergema pengumuman "stesen Masjid Jamek ditutup kerana banjir, para penumpang diminta menggunakan alternatif lain untuk ke sana". Alternatif lain untuk ke sana? Oh ya, selain LRT dan bas, perkhidmatan bot dan helikopter juga disediakan di KLCC.

Esoknya, berita banjir besar melanda KL memenuhi dada akhbar (siapa yang mula-mula menggunakan kalimah "dada" untuk halaman akhbar? -- Kalau dinda menjadi "akhbar", biar kanda menjadi "berita" yang memenuhi dadamu... nyam nyam!). Khabarnya air naik sampai masuk ke dalam ruang solat Masjid Jamek. Tinggi tu tebing sungai Kelang/Gombak, tapi air boleh melimpah sampai masuk masjid.

Apa masalahnya dengan KL ni? Tak cukup parit? Tak cukup longkang? Bukan. KL ada banyak longkang dan parit. Terutamanya di kawasan KLCC dan Bukit Bintang, pada hari minggu:



Masalah di KL adalah, dia tak ada tanah untuk menyerap air. Kalau kita rujuk buku sains sekolah rendah, tajuk "Kejadian Hujan dan Kitaran Air", kita akan mengetahui bahawa: Apabila air hujan turun, air ini sebahagiannya akan mengalir ke parit, sungai, tasik dan laut. Sebahagiannya akan meresap ke dalam tanah.

Tetapi di KL, macam mana air hujan nak meresap ke dalam tanah? Hujan jatuh menimpa ke atas batu-batan, simen dan tar. Setiap inci tanah kita bangunkan. KL hampir tak ada tanah lapang berumput.

Okay, Dataran Merdeka ada rumput, tapi berapa dalam tanah di bawah rumput dataran tu? Macam tanah dalam pasu saja. Sebab di bawah dataran tu ada tempat letak kereta dan ruang niaga, berlantai dan berdinding batu (yang juga ditenggelami air setiap kali banjir).

Sungai Kelang/Gombak pun tebing dan lantainya kita simenkan, jadi macam longkang. Air hujan yang masuk ke dalam sungai tidak menyerap ke dalam tanah, tetapi bertakung dan melimpah.

Terowong SMART dan kolam takungan banjir hanya tindakan "membesarkan sink" supaya air bertakung tak melimpah. Ia dibina dari konkrit juga. Ia tak menyerap air ke dalam tanah. Kita perlukan kawasan tanah lapang untuk bertindak sebagai "lubang sink".



Air bertakung kerana sink tersumbat. Kita dok besarkan sink supaya air tak melimpah. Lubang sink, masih tersumbat juga.

Labels: