Friday, January 27, 2006

BULI BALIK

Kau buat aku, aku balas kau balik.

Nordin balas Roy. Sebab buli dia dulu. Rudy nak balas Roy. Sebab sabotaj dia dalam rompakan dulu. Nordin balas road bully. Sebab himpit kereta dia. Roy balas Pak Dasuki. Sebab dera dia masa kecil. "Mat Gigi" & Geng balas Roy. Sebab buli mereka masa sekolah dulu. Nordin balas budak-budak sekolah. Sebab panggil dia Abang Boyot. Dan banyak lagi.

Akhirnya, semua orang yang buat salah dapat pembalasan. Seperti tajuk rancangan kuiz yang Nordin masuk itu, "Siapa Salah Kena Karan".

Yang buat aku ketawa berdekah-dekah menonton filem ini:

1) Video clip "Sure or Not?" oleh Tan Sri Michael.

2) Tajuk berita yang merepek-repek dalam suratkhabar:



+ Malaysia hantar ketupat gergasi ke Antartika

+ Melayu tak boleh hip-hop sebab mulut tak tebal - Eminem

+ Saya tak tiru 50 cent - 60 sen

+ Katak meletup selepas cabar kerbau

3) Rujukan terhadap sitcom AH-HA:

+ Lagu "Bila di sekolah dulu..." sewaktu Nordin dan Roy melawat sekolah lama. Klik SINI kalau tak ingat.

+ "Pasanglah aerial tu, aku nak tengok telenovela Venezuela Salmonella," kata Syaff kepada Roy.

4) Adibah Noor pengacara yang sadis ketawa menyeksa peserta kuiz "Siapa Salah Kena Karan".

5) Dr Ika dapat bunga dan nota. Waktu baca nota tu, ada lah suara Nordin berkumandang, macam dalam filem selalu tu, tiba-tiba... ah, kau tengoklah sendiri.

6) Harun Salim Bachik, dalam sesi terapi psikiatrik berkumpulan. "Saya nak jadi akauntan, tapi mak bapak saya suruh jadi artis. Saya nak masuk kelas matematik, tapi mak bapak saya suruh masuk kelas tarian". Kalau filem dulu-dulu, anak nak jadi orang seni yang mak bapak halang.

(Tapi, sejak banyak rancangan realiti tv ni, memang banyak pun mak bapak nak anak jadi artis.)

7) Kemunculan Ramlah Ram dengan baju hati lip-lap-lip-lap ala-ala Juara Lagu dulu:



Kemunculan Ramlah Ram menjadi lebih kelakar kerana kita teringat babak Rudy menyanyi lagu Ramlah Ram dalam Buli dulu.

8) "Geli tetek aku!" kata Rudy bila handphone dalam poket bajunya vibrate.

Kalau aku nak senaraikan lagi, panjang gila. Sebab, sebenarnya, aku ketawa berdekah-dekah sepanjang filem ni. Eh, satu panggung ketawa berdekah-dekah sepanjang filem ni.

Babak "berus gigi" tu buat penonton-penonton perempuan kata "eeeeeeeeee..."

Aku suka adunan komedi dan drama. Tapi, babak drama di penghujung filem ni, aku rasa macam panjang sangatlah. Tapi ada orang suka. Ada penonton perempuan menangis.

Nak komplen sikitttttt saja. Babak ragbi. Tahulah tu budak-budak Serdang Angels, tapi tak kenalah pakai jersi bertulis Universiti Putra Malaysia. Sebab mereka berlakon jadi budak sekolah. Nordin pakai uniform sekolah masa kat tepi padang. Pakailah jersi bertulis nama sekolah tu.

Okay. Itu saja.

Pergi tengok.

Aksi. Dialog. Semua kelakar.

Filem komedi yang berjaya.

Lawak gila babi nak mampos.

Lima bintang.

Geli tetek aku.

Labels:

Thursday, January 26, 2006

BURUNG BERDANGDUT

("Burung Banyak Bulu Berdangdut" ini adalah pengantar yang aku tulis untuk e-book Pika: "Selepas Ini... Krisis Identiti & Satu Evolusi".)

Satu: Pika ni burung banyak bulu.

Jangan fikir yang bukan-bukan. Aku tak maksudkan "burung" yang itu. Walaupun, mungkin, burung dia yang itu pun banyak bulu.

Orang putih kata "birds of the same feather flock together". Pipit flock dengan pipit. Enggang flock dengan enggang. Mana mungkin merpati flock dengan gagak. Empat tahun duduk serumah (2000-2004), Pika yang aku kenal (atau Zulfikar Samsuri atau Sam Ahmad yang kau kenal) adalah burung yang, agaknya, memiliki banyak jenis bulu, kerana dia flock dengan macam-macam jenis burung.

Sewaktu aku awal-awal kenal Pika, dia flock dengan jemaah tabligh, dan, pada masa yang sama, dia turut flock dengan gerakan muzik bawah tanah (underground). Mengenal Pika, aku mengenal apa itu "tabligh" dan "bayan" dan "keluar tiga hari". Mengenal Pika, aku mengenal apa itu "underground" dan "gig" dan "D-I-Y" dan "zine" dan idealisme "anti-kapitalis". Bayangkan, burung yang berkurta dan berminyak atar, adalah burung yang sama berkicau di atas pentas selaku vokalis Kqonsore (sebuah band punk).

Mengenal Pika juga, aku mengenal bacaan sosio-politik alternatif. Majalah Aliran. Harakah. Seruan Keadilan. Suara PRM. Memo (dan tabloid-tabloid Ahmad Lutfi yang lain). Majalah Detik. Tamaddun. Wasilah. Eksklusif. Siasah.

Majalah Siasah, aku kira, signifikan dalam hidup Pika. Selepas Siasah, Pika flock dengan burung-burung Jalan Telawi pula. Mengenal Pika, aku mengenal apa itu "IKD" dan "UBU" dan "Komunite Seni Jalan Telawi". Banyak betul bulu Pika ni.

Melihat senarai burung-burung yang Pika flock, tidak hairanlah, bila kau baca buku ini, himpunan catatan-catatan (entries) weblog dia, dari tahun 2000 hingga 2004, ada catatan dakwah, muzik, ideologi, dan politik. Dan tidak hairan juga, tulisan-tulisan dia, yang di luar weblog, tersiar dalam Tamaddun, Siasah, Akhbar Mahasiswa, Al-Islam, dan ROTTW -- majalah dan tabloid yang berbeza-beza sifat kandungannya (ada yang sosio-politik, ada yang agama, ada yang muzik).

Membaca catatan-catatan awal Pika buat aku terimbau masa silam. Nostalgik. Banyak sangat kenangan yang kami kongsi bersama. Geng "Kroni Cik Kiah" (lapan kawan baik: aku, Pika, Lan, Megat, Ikin, Owin, Sha, Malee). Rumah Abang Izu (yang kami sewa). Buka puasa di Masjid Shah Alam. Cyber cafe Campus Solution. Menonton teater (Gedebe, Bulan Madu, Proses, Lebih Kecoh, Vagina Monologue). Banyak.

Dua: Mari berdangdut.

Dalam catatan penutup "Tumit Achilles" (buku himpunan esei-esei Khalid Jaafar), Khalid Jaafar menulis: "...saya memilih untuk tidak membacanya kembali [himpunan esei-esei itu]. Saya bimbang akan menyuntingnya. Menyuntingnya bermakna saya menyunting diri saya pada masa lalu. Saya ingin berdepan dengan diri masa lalu saya dengan segala keaibannya, dari menyuntingnya..."

Pika, dalam membukukan himpunan catatan weblognya, aku kira, mengambil pendekatan yang serupa. Tidak ada suntingan. Dari segi kandungan, ejaan, dan sebagainya.

Frasa "satu evolusi" dalam judul buku ini (Selepas Ini... Krisis Identiti & Satu Evolusi), adalah sangat tepat. Membaca himpunan catatan Pika ini, dan membaca tulisannya sekarang (di dalam dan di luar weblog) adalah melihat evolusi isi kandungan, gaya tulisan dan corak pemikiran.

Dari segi isi kandungan: dia evolve dari catatan berbentuk diari peribadi (apa dia buat hari ini, ke mana dia pergi, dan sebagainya) ke catatan berbentuk ulasan, komentar dan karya kreatif.

Dari segi gaya tulisan: dia evolve dari tulisan "syok sendiri" (yang banyak heheheh dan chehhh) ke tulisan mesra pembaca. Dari catatan abai-tatabahasa, dengan ejaan Internet (dier, ader, citer) ke ejaan baku (dia, ada, cerita), dan catatan "tiga titik" (catatan yang transmisi ayat ke ayatnya hanya menggunakan elipsis (...), tiada koma dan noktah) ke catatan berkoma bernoktah berperenggan berhuruf-kecil-huruf-besar.

(Orang kata, untuk mengenal produk kulit babi, kulit babi ada banyak "tiga titik". Nampaknya babi tidak keseorangan (keseekoran?). Selain kulit babi, weblog pun ada juga yang banyak "tiga titik". Haha!)

Dari segi corak pemikiran: dia evolve dari yang, err, boleh aku kata "taksub pegangan"?, ke yang liberal dan terbuka. Dari "bawah tanah" ke "atas tanah". Dari terlalu idealis ke sedikit realis. Dari anti-kapitalis (dan cenderung ke arah sosialis) ke yang percaya tiada sistem yang sempurna, masing-masing ada baik-buruknya. Dan, paling kontroversi, dalam tulisan berkaitan agama, dari pendapat ahlus sunnah wal jamaah sahaja, ke pendapat yang di luarnya juga.

Evolusi, dalam penulisan dan corak pemikiran seseorang, adalah perkara biasa.

Lihat saja penulisan dan corak pemikiran Dr Mahathir dalam Malay Dilemma (baca catatan Pika bertarikh 7 Jun 2001). Siapa sangka itu Dr Mahathir yang kita kenal semasa menjadi Perdana Menteri.

Dan siapa sangka. M Nasir. Yang kita dengar hari ini. Dalam Andalusia dan Kias Fansuri. Dalam Phoenix Bangkit Dari Abu, Sahabat Gua, Masirah, Hijab Kekasih dan Raikan Cinta. Yang penuh falsafah kehidupan dan cinta. Yang penuh sirah dan maksud tersirat. Yang kita kagumi. Dahulunya bermula dengan lagu "Mari Berdangdut".

"Dangdut... dangdut... rentak iramaaa..."

Bagi yang mengenal Pika melalui tulisan-tulisan dia hari ini, yang lebih mesra pembaca dan lebih merangsang intelek, baik di internet mahupun di majalah dan tabloid, anggaplah buku yang kau baca ini sebagai "Mari Berdangdut" versi Zulfikar Samsuri. Selamat membaca.

Mat Jan
9 Disember 2005
Pulau Pinang

NOTA:

1) Khalid Jaafar dan M Nasir sengaja aku sebutkan di sini kerana kedua-dua mereka adalah idola Pika, dalam bidang masing-masing.

2) Klik link-link di bawah untuk download buku-buku Pika (format PDF):

+ Selepas ini... Krisis Identiti dan Evolusi
Himpunan catatan blog Pika dari tahun 2000 hingga 2004.

+ Kutipan Esei-Esei Sam Ahmad
Himpunan esei-esei Pika yang tersiar di majalah, tabloid dan laman web (ROTTW, Akhbar Mahasiswa, Al-Islam, Siasah, Jalantelawi.com, Satu@rah). Kata pengantar oleh Fathi Aris Omar.

3) Buku terjemahan Pika, "Kenapa Kapitalisme Berjaya Di Barat Gagal Di Tempat Lain" oleh Hernando de Soto, boleh beli di SINI.

4) Aku paste kat sini pengantar ni, yang aku tulis bulan lepas, sebab aku tak ada benda lain nak tulis, tapi nak update blog jugak :)

Tuesday, January 24, 2006

KEDAI MELAYU

"Kedai Melayu" asalnya aku tulis dalam entri "Kas-Kas Kos-Kos II" (13/08/05).

Seorang pembaca Jongkang Jongket telah merakam lagu itu dalam bentuk mp3, dan menghantarnya kepada aku melalui email.

Atas permintaan dia, yang tak mahu namanya disiarkan, dalam ID3 tags mp3 ini kat ruangan "Artist" aku isi "Pembaca Jongkang Jongket".

KEDAI MELAYU

Lagu: Munief (Warner Chappell (M) Sdn Bhd)

Lirik: Mat Jan

Penyanyi: "Pembaca Jongkang Jongket"

Track 02, album "Jadi Kaya Atau Mati Mencuba".

(KLIK PLAY)

Siapa bilang kedai Melayu tidak mahal
Tak mencekik darah, makanan memikat
Kalaulah murah tak mungkin aku tak singgah
Kalaulah sedap tak mungkin aku tak lahap

Aduhaaaiii... ambil order lambatnya
Hantar pun lewat juga
Bila makanan tiba
Aduh tersilap pula

Di antara kedai-kedai seluruh Malaysia
Tiada yang selembap servis kedai orang kita
Di antara kedai-kedai seluruh Malaysia
Tiada yang selembap servis kedai orang kita

Waktu kita makan, kucing panjat meja
Waktu kita bayar, tiada wang kecil pula!

(Seperti biasa, boleh di-forward kepada kawan-kawan selagi tiada pindaan dibuat terhadap fail mp3 ini (contoh: nama fail, data ID3, dsb). Boleh disiarkan di laman lain, tapi simpan di server sendiri untuk mengelakkan kecurian bandwidth. Terima kasih.)

Labels:

Wednesday, January 18, 2006

B-L-O-G


Bean & MJ. Gambar oleh: Easy

Kali pertama dipersembahkan secara langsung, oleh Mat Jan dan Bean, di Dewan Presinct 8 Putrajaya pada 01/01/06.

Versi MP3 ini dirakam oleh Mat Jan dan Ayi pada 17/01/06. Rakaman kedua yang lebih mantap akan dibuat bila Bean balik Penang :)

Muzik oleh: Curtis "50 Cent" Jackson.

Lirik oleh: Mat "5 Kupang" Jan.

Dari album sulung Mat Jan, "Jadi Kaya Atau Mati Mencuba".

(KLIK PLAY)

B.L.O.G.

Kita tulis sesuka hati
Kita bukan dibayar gaji
Kita tulis sekadar hobi
Kita penulis B.L.O.G.
(2x)

Minah ni, di pejabat, dia bukan buat kerja
Asyik membaca si Rimau, si Dubuk, si Naga
Si Bukunota, Basri, dan Sultanmuzaffa
Mengadap monitor PC sampai berpinar mata
Dan tinggal sikit komen untuk entry mereka
Lepas empat jam, pergi kantin makan pula
Selepas makan katanya main internet juga
Aku dengar boss dia pernah nak buang dia kerja
Dia suka surf, dia suka chat, dia suka baca blog
Semenjak pagi surfing sambil dengar lagu rock
Kat rumah tak pasang internet nak jimat duit
Kat ofis dia lenjan sampai kepala boss sakit
Satu hari dia tanya dalam Jongkang Jongket
"Apa nak tulis dekat blog, cuba ajar sikit?"
Look baby tulis blog senang sekali
Kau tak puas hati, kau tulis kat B.L.O.G.

Kita tulis sesuka hati
Kita bukan dibayar gaji
Kita tulis sekadar hobi
Kita penulis B.L.O.G.
(2x)

Mendengar lagu Siti, menonton drama TV
Kalau tak puas hati, tulis B.L.O.G.
Ayat bodoh Menteri, rasa sakit hati
Kalau hendak kongsi, tulis B.L.O.G.
Rasa jatuh hati, angau macam nak mati
Tunggu apa lagi, tulis B.L.O.G.
Pi kedai makan mee, rasa macam basi
Tauke kena maki dalam B.L.O.G.
Oit ada yang komplen, bila naik harga tol
Yang minat bola komen, pasal jaringan gol
Ada bukan main, orang salah dia betul
Tapi kat luar lain, mengalahkan setan gondol
Hipokrasi cyberland macam dunia nyata y'all
Yang bertudung beromen, yang berkopiah merogol
Tak guna satu sen, yang hipokrit habis
Pi blah, pi mampos, pi jahanam, cis!

Kita tulis sesuka hati
Kita bukan dibayar gaji
Kita tulis sekadar hobi
Kita penulis B.L.O.G.
(2x)

Minah tu buka blog, tulis jiwang-jiwang
Asyik cinta, rindu, dan sayang
Belum confirm lagi mamat tu jadi laki
Dia puji-puji, sampai setengah mati
Pabila patah hati, hari-hari dia maki
Ali beruk, Ali setan, Ali iblis dan babi
Oit jantan tu lari, semua orang ketahui
Ada yang simpati, ada ketawa kikiki
Banyak benda lagi, boleh tulis kat blog ni
Bukannya semesti dedah kisah peribadi
Letak gambar diri, peluk kanan peluk kiri
Bukan main lagi, pegang tangan laga pipi
Macamlah dunia ni, kau je ada buah hati
Jikalau tak jadi, kau yang malu sendiri
Tulislah entry yang berfaedah
Ulasan, komentar, jenaka, hah!

Kita tulis sesuka hati
Kita bukan dibayar gaji
Kita tulis sekadar hobi
Kita penulis B.L.O.G.
(2x)

Yeah,
Blog ikut suka hati,
Tapi kalau blog benda yang terlalu peribadi,
Nanti kau yang malu sendiri,
Haha!

M-J. A-Y-I-E. B-L-O-G.

(Boleh di-forward kepada kawan-kawan dengan syarat nama fail "Mat_Jan_-_B-L-O-G.mp3" dan data ID3 tags tidak dipinda. Boleh disiarkan di blog/laman web lain dengan syarat fail MP3 ini disimpan di server sendiri, jangan link terus dari sini, itu mencuri bandwidth. Terima kasih.)

Labels:

Monday, January 16, 2006

BUDI BAHASA

Bertutup belaka pintu-pintu jamban dalam tandas awam itu. Penuh ketiga-tiganya. Menunggu giliran, seorang lelaki Cina, dia berdiri di depan pintu jamban yang paling kanan. Aku kemudian menyertai dia, menjadi penunggu jamban, berdiri di depan pintu jamban yang paling kiri.

Tak tahulah berapa lama lelaki Cina itu sudah menunggu. Yang aku tahu, dia tunggu lebih lama daripada aku. Sebagai penunggu jamban, kami sama-sama menyeluk poket, melihat lantai, melihat dinding, melihat siling. Menikmati keindahan stalagtit dan stalagmit dalam tandas awam itu. Aku tertoleh ke kanan melihat dia. Dia tertoleh ke kiri melihat aku. Aku senyum dan angguk sedikit. Dia senyum balik. Lepas tu kami sama-sama toleh ke depan tengok pintu jamban.

Bunyi flush. Ahh... bunyi merdu yang dinanti setiap penunggu jamban. Kedua-dua penunggu jamban mengalihkan perhatian ke jamban tengah. Pintu jamban dibuka. Keluar seorang pemuda, membetul-betulkan rambut di depan cermin, sebelum meninggalkan kami, penunggu jamban.

Aku memberi isyarat tangan kepada lelaki Cina itu, supaya dia masuk dahulu, sebab dia lebih lama menunggu. {Lagu latar: "Bangsa Malaysia berhemah tinggiii... Ramah dan mesra elok pekertiii..."}

Dia mengangkat tangan memberi isyarat "tak apa" dan seterusnya memberi isyarat tangan supaya aku masuk dahulu. {Lagu latar: "Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungiii... Bertimbang rasa hormat menghormatiiii..."}

Wah. Terkesan dengan kempen budi bahasa di TV gamaknya apek ini. Memberi kepada yang lebih memerlukan? Tapi ini jamban, bukan tempat duduk LRT. Dan aku tidaklah terdesak memerlukan. Perut aku tidak bergelora sangat. Rektum aku pula masih kemas kemut bertahan. Lagipun, sebagai warganegara berbudi-bahasa, aku memberi kepada yang lebih hak. Dia menunggu lebih lama.

Aku: "You masuk dulu la. You tunggu lagi lama."

Dia: "Tak apa. You masuk. I tak tau guna yang duduk."

Ooo... jamban yang tengah itu jamban duduk. Jamban yang kanan sekali, yang lelaki Cina itu tunggu, jamban cangkung. Ooo...

{Lagu latar: "Budi bahasa budaya kitaaaaaaa... aaaa... aaaaa!"}

Friday, January 13, 2006

TAK HABIS LAGI


Anugerah Groupie Terbaik: Dian binti Jigo

Ya. Tak habis lagi. Sepanjang Januari, aku akan kemaskini blog dengan cerita Perhimpunan GJ '05 saja, untuk menimbulkan rasa "rugi aku tak pergi!" di kalangan mereka yang tak pergi.

Selain makan-makan dan penyampaian anugerah, hadirin juga dihiburkan oleh persembahan nyanyian dan tayangan video.

Kak Ungku menyanyi lagu Dia (Sheila Majid). ND dan Ap bermain gitar, sambil ND mendendangkan lagu Bunyi Gitar (P Ramlee), Mungkin Nanti (Peter Pan), Aku Cinta Kau & Dia (Dewa) dan Takkan Melupakanmu (Radja). Lihat sajalah aksi Dian binti Jigo yang terhibur dengan persembahan ND. Itu belum lagi aksi penonton-penonton yang lain. Sewaktu ND menyanyi lagu Takkan Melupakanmu (dengan bagus sekali), penonton turut sama menyanyi dan bertepuk. Aku rasa seolah-olah ini konsert Radja.

Mereka menyanyi sungguh sedap. Kalau ND dan Kak Ungku bekas qari dan qariah, mereka boleh menang Akademi Fantasia. Bean dan MJ tidak ketinggalan menjadi penari latar entah apa-apa ketika Kak Ungku dan ND menyanyi.

Tayangan video juga da bomb. Hadirin dihidangkan dengan video:

- "Kawan-Kawan Yang Kita Suka" oleh Op.
- "Kahwin" oleh Tok Rimau (menontonnya buat aku rasa nak kahwin).
- "Teruja" oleh Pak Bear (boleh ditonton di sini).
- "Ayam Kongsi Gelap" oleh Sinaganaga.

Profesional gila hasil kerja mereka. Aku paling suka "Ayam Kongsi Gelap".

Tok Rimau, yang tak hadir perhimpunan, memberi ucapan kemenangan menerusi tayangan video yang tak kurang kelakarnya. Siap ada aksi ketuk ketampi dalam lokap lagi! Boleh disaksikan di sini.

Satu lagi yang aku suka, perhimpunan kali ini ada maskot kambing biri-biri. Kalau tak silap, nama dia Ramlah. Maskot ini menjadi penghias trofi dan klip "calon-calonnya adalah...". Penampilan maskot berbeza mengikut kategori anugerah, contohnya:


Selain buku aturcara, hadirin juga mendapat cenderamata berupa rantai kunci GJ, buku nota berkalendar & berpen GJ, tag nama, dan poskad (yang kesemuanya dimuatkan dalam beg kecil), serta majalah percuma. Budak-budak mendapat permainan "bola melekat" (yang bapak budak pun suka main).

Ada juga hadirin yang pulang dengan hadiah ekstra. Ada cabutan bertuah. Ada hadiah untuk yang datang awal. Ada hadiah untuk yang bayar awal. Dan ada hadiah untuk yang pakai cantik-cantik.

Pakaian berseri lelaki dimenangi oleh Mukeh (ala-ala Reshmonu). Pakaian berseri wanita dimenangi oleh Nida (kimono). (Emm... kimono ketiak berlubang... nyam nyam!)

Pendek kata, memang best-lah Perhimpunan GJ kali ni. Siapa tak datang memang rugilah. Rugi gila babi nak mampos. Mampos gila babi nak rugi. Babi mampos rugi nak gila.

(Akan Datang: mp3 B.L.O.G.)

(Apa recording software yang paling best? Siapa tahu?)

(Bean, bila nak balik Penang? Atau aku ganti chorus-boy dengan orang lain?)

Friday, January 06, 2006

PENGACAU ACARA


Bean & MJ. Gambar oleh: Easy.

Attok: "Kehadiran MC -- yang saya namakan sebagai Elton Jan dan David Bean (sempena skandal pasangan gay Sir Elton John dan David Furnish) banyak memberikan impak yang hebat, apatah lagi dengan lawak selamba dan juga lagu rap yang dicipta sendiri oleh Mat Jan bertajuk B.L.O.G. Gandingan maskulin seperti ini adalah satu pembaharuan yang cuba dibawa oleh AJK Gath edisi kali ini."

Amyz: "aku suka mat jan & bean rap lagu PIMP jadi BLOG.. best la mat jan & bean. respect kat korang!!"

Ayob Kelubi: "telinga aku dapat dengar lawak bean dan mat jan."

Op: "MJ & Bean sememangnya gandingan mc yang mantap serta DJ Attokz seperti biasa bertenaga. B.L.O.G - rap oleh Bean+MJ boleh buat album."

Basri: "Attok sebagai DJ, manakala Mat Jan dan Bean sebagai MC. Tahun ini menyaksikan Geju amat maskulin, tiga-tiga lelaki, pompuan tak main :p Attok memastikan suasana tidak sunyi, Mat Jan dan Bean sentiasa membuat audiens tak kering gusi."

Pnut: "terhibur dgn rap mat jan dan bean..."

Hana: "yg paling best mestila persembahan dr ap n nd and also rap versi mj n bean!"

Nana: "pembukaan yang bagus oleh kedua MC. memang boleh dibanggakan."

Fairul: "Majlis tuh dikendalikan oleh pengacau acara yang cool, Bean n Mat Jan."

Kelambu: "Kemunculan pengacara majlis iaitu Attokz yang dibantu dua pengacaucara majlis iaitu Bean dan Mat Jan yang tampil BERGAYa. Auww... Celoteh diorang penuh informasi dan komedi. Penuh sindir-sindiran dan perli-perlian. Nampak natural. Macam gaya penyampai anugerah-anugerah kat dalam TV... Masa sampaikan anugerah Catatan Menyentuh Emosi diorang bercakap sambil menangis dan masa menyampaikan Catatan Mencuit Hati diorang bercakap sambil gelak. Ya, aksi tersebut berjaya membuat para peserta gelak terbahak-bahak... Gaya Attokz santai. Sekali dengar macam DJ pasaraya Kamdar. Attokz banyak menaikkan mood para peserta yang agak malu, segan dan silu... Nyanyian lagu rap Melayu yang disadur dari lagu PIMP-50 cents oleh Mat Jan dan Bean... Berdekah-dekah aku kat belakang. Boleh tahan juga Mat Jan flow! Cayalah dude!"

Zurie: "Paling best bila Mat JAN dan BEAN pengacau acara beraksi di pentas."

Mukeh: "Mat Jan n partner menyanyi lagu P.I.M.P dalam versi B.L.O.G., liriknya aku rasa sangat menarik dan pedas lagi sinis tapi berbaur lawak jenaka yang tak perlu diamik seriyes. MUAHAHAHHAHAHA!"

ND: "Kelebihan yg saya maksudkan adalah pasangan pengacara, Mat Jan & Bean. Bagi saya mereka telah lebih dari berjaya mengacarakan majlis ini. Mereka juga mempersembahkan rap yg sungguh best. Lagi best drpd Too Phat..hehe. Saya lihat para hadirin sememangnya terhibur dgn kelakuan dan gurauan kedua-dua pengacara yg berwibawa ini. Tahniah saya ucapkan. Tahniah juga kpd Attokz kerana berjaya menjadi DJ yg best di samping menolong saya memantau perjalanan majlis. "

Nina: "Aku suka gandingan DJ Attokz, MC Bean ngan Mat Jan... Lawak Bean & Mat Jan... Paling besh bila tengok abg gelak sakan..(abg aku ni susah nak gelak, tau..hehehee). Aku puashati dan rasa tak bersalah ajak abg bila aku tengok abg happy sangat... Ditambah nyanyian rap Bean ngan Mat Jan gaks buat aku rasa tak rugi join gath kali nih.. sape tak datang tu rugi wooooo..."

Sultanmuzaffar: "Apa yang boleh saya katakan tentang gathering kali ini ialah kelakar gila tahap dewa kayangan kalau boleh lagi tinggi saya letak tahap dewa langit ketujuh. Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas kepada gandingan serasi pengacara majlis iaitu Elton Jan dan David Bean yang telah mengendalikan majlis dengan jenaka-jenaka bersahaja tetapi melucukan. Semacam mereka ditakdirkan bersama. Satu gandingan yang cocok sekali. Nama Mat Jan memang sesuai sangatlah dengan membawakan watak Elton Jan itu, manakala David Bean yang ada unsur-unsur metroseksual. Tidak cukup dengan menjadi pengacara majlis, mereka turut juga membuat persembahan dengan sebuah lagu rap berkenaan dengan dunia blog. Liriknya mampu membuatkan saya tersenyum sepanjang lagu tersebut dipersembahkan. Yang pasti persembahan tersebut merupakan highlight pada majlis tersebut. Geng Jurnal juga seharusnya berbangga kerana mempunyai dua orang pak lawak ini. Walaupun salah seorangnya terlatih dalam bidang undang-undang, bakat beliau lebih menyerlah sebagai pelawak. Kita pernah ada The Singing Lawyer iaitu Sudirman Hj Arshad, The Berangan Diva Lawyer iaitu Azwan Hj Ali, kini Geng Jurnal telah berjaya melahirkan seorang The Joker cum Lawyer iaitu Mat Jan."

TokTin: "Dengan kepetahan DJ dan kelakar dua jejaka hensem Mat Jan dan Bean aturcara majlis penganugerahan berjalan dengan lancar hingga akhir."

Untuk orang-orang yang tidak hadir ke Perhimpunan Geng Jurnal '05, atau yang hadir tapi duduk meja belakang, inilah dipersembahkan...

SANTAI & BANTAI: SKRIP PENGACAU ACARA PERHIMPUNAN PERDANA GJ '05

(Lagu rap "B.L.O.G." nanti aku record jadi MP3 untuk semua orang dengar.)

Thursday, January 05, 2006

DAN PEMENANGNYA


Gambar oleh: Op

Untuk Anugerah GJ kali ini, kita menerima 125 pencalonan untuk pelbagai kategori. Pencalonan untuk setiap kategori dibuka kepada awam (kecuali "Anugerah Khas Juri" pencalonan dibuat oleh juri).

Juri-juri peringkat pertama (Op, Pakdi, Rudy, Mie, Airiz, Sultanmuzaffar, Mat Jan) memilih calon-calon akhir untuk setiap kategori. Juri-juri peringkat pertama tidak dibenarkan bertanding dalam kategori yang mereka terlibat sebagai juri.

Juri-juri peringkat kedua (Rudy, Fajar, Mat Jan, Sultanmuzaffar) memilih pemenang setiap kategori. Pemenang ditentukan oleh undi empat orang ini. Mereka tidak dibenarkan bertanding dalam SEMUA kategori.

Ketua Juri: Mat Jan.

Berikut adalah calon-calon akhir dan pemenang ANUGERAH GJ 2005. Penyampaian trofi dan hadiah sampingan kepada para pemenang telah berlangsung pada Perhimpunan Perdana Geng Jurnal, pada 1 Januari 2006.


WEBLOG BARU TERBAIK

Untuk weblog yang baru lahir pada tahun 2005. Calon-calonnya:

1) Definitely Maybe oleh Liyanna

2) I am Tri Service Officer oleh Amir Azmi

3) Terselit & Berbelit oleh Ayob Kelubi

PEMENANG: I AM TRI SERVICE OFICER OLEH AMIR AZMI


CATATAN MERANGSANG INTELEK

Untuk ulasan kritis, komentar sosial atau catatan ilmiah yang diterbitkan dalam weblog pada tahun 2005. Calon-calonnya:

1) Bahasa Komunikasi oleh ND

2) Book-smart or Street-smart? oleh El-maaniq

3) Bukti Kewanitaanmu oleh El-maaniq

PEMENANG: BOOK-SMART OR STREET-SMART OLEH EL-MAANIQ


CATATAN MENYENTUH EMOSI

Untuk catatan menyentuh emosi yang diterbitkan dalam weblog pada tahun 2005. Catatan menyentuh emosi termasuk: catatan sebak, romantik, sweet. Calon-calonnya:

1) Selamat Hari Guru oleh Basri

2) Wagiman bin Kardi, dan Dia, Wanita Mithali, Yang Aku Tunggu di Pintu Syurga Nanti oleh Sera

3) Wira di Hati Bonda oleh Pnut

PEMENANG: SELAMAT HARI GURU OLEH BASRI


CATATAN MENCUIT HATI

Untuk catatan paling kelakar yang diterbitkan dalam weblog pada tahun 2005. Calon-calonnya:

1) Berkemut-kemut oleh Sinaganaga

2) Seluar Dalam Dari Langit oleh Tok Rimau

3) Standard oleh Lan

PEMENANG: BERKEMUT-KEMUT OLEH SINAGANAGA


FOTOBLOG TERBAIK

Untuk laman foto dengan kemaskini bertarikh, atau weblog yang dikemaskini dengan foto. Calon-calonnya:

1) Foto Dalam Kembara oleh Op

2) Fotopages Saiful Nang

3) Fotopages Salina

PEMENANG: FOTOPAGES SAIFUL NANG


REKABENTUK TERBAIK

Untuk weblog dengan rekabentuk layout yang paling menarik. Calon-calonnya:

1) Figurasi oleh Adipujangga

2) Honeybiru oleh Sera

3) Solidmind oleh Mukeh

PEMENANG: SOLIDMIND OLEH MUKEH


PROJEK TERBAIK (DALAM WEB)

Untuk Projek GJ yang dijalankan di dalam web. Calon-calonnya:

1) Juring cetusan idea: Tok Rimau

2) Lumba Foto cetusan idea: Tok Rimau & Nett

3) Lumba Kata cetusan idea: Op

PEMENANG: JURING (CETUSAN IDEA: TOK RIMAU)


PROJEK TERBAIK (LUAR WEB)

Untuk Projek GJ yang dijalankan di luar web. Calon-calonnya:

1) Diablog ketua projek: Nazmi

2) Hari Weblog di Putrajaya ketua projek: Attokz

3) Jiwa Kacau ketua projek: Basri

PEMENANG: JIWA KACAU (KETUA PROJEK: BASRI)


WEBLOG BAHASA INGGERIS TERBAIK

Untuk weblog yang catatannya dalam Bahasa Inggeris. Calon-calonnya:

1) Crimsonskye oleh Crimsonskye

2) Figurasi oleh Adipujangga

3) Karlbum's Memoir oleh Karlbum

PEMENANG: FIGURASI OLEH ADIPUJANGGA


ANUGERAH KHAS JURI

Untuk apa-apa sumbangan sebuah weblog atau projek atau individu yang layak mendapat anugerah, tetapi tidak masuk dalam mana-mana kategori di atas. Calon-calonnya:

1) NAZMI

Beliau menganjurkan diskusi "Weblog: Ruang Ekspresi Idea dan Sastera" di Rumah PENA, yang bukan saja membuka ruang untuk Geng Jurnal mendapat pendedahan di akhbar, malah menjadi titik tolak kepada tercetusnya satu lagi projek Geng Jurnal -- Diablog. Diskusi ini sangat signifikan kerana, ia tersiar di Berita Harian 03/02/05, sekaligus Geng Jurnal mendapat pendedahan di akhbar. Melalui acara itu juga, Tok Rimau kemudiannya diwawancara oleh wartawan Berita Harian, dan seterusnya Geng Jurnal mendapat satu lagi pendedahan di akhbar berkenaan pada 24/02/05. Acara itu menjadi titik tolak projek Diablog, yang setakat ini masuk siri keempat. Acara itu juga menjadi titik tolak Rumah PENA digunakan sebagai "club house" Geng Jurnal. Atas sumbangan beliau menganjurkan diskusi itu, membuka ruang untuk Geng Jurnal mendapat pendedahan di akhbar, menganjurkan projek bersiri DIABLOG, dan memberi ruang kepada Geng Jurnal menggunakan Rumah PENA untuk beraktiviti, beliau dicalonkan untuk anugerah ini.

2) TOK RIMAU

Beliau tidak jemu-jemu menyumbang kepada Geng Jurnal khasnya, dan dunia weblog tanahair amnya, dengan cara beliau sendiri. Tahun ini, selain menjadi panel diskusi "Weblog: Ruang Ekspresi Idea & Sastera" di Rumah PENA, beliau turut mempublisiti nama Geng Jurnal di media cetak menerusi wawancara Berita Harian dengan beliau. Bukan itu sahaja, pada tahun ini, selain menganjurkan JURING, sebuah projek realiti-blog, beliau juga membentangkan kertas kerja berkaitan projek JURING berkenaan sebagai kaedah pengajaran bahasa melalui permainan, di sebuah seminar akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan Projek Terbaik kategori Luar Web tahun ini, buku JIWA KACAU, tentunya kesinambungan daripada Projek Terbaik tahun lepas, GANGGUAN TEKSUAL, inisiatif memindahkan catatan weblog ke atas kertas fizikal, hasil cetusan idea beliau. Begitu juga artikel Projek Basah 2.0 yang tersiar di majalah LIBUR dan REMAJA pada tahun ini, tentunya kesinambungan artikel Projek Basah tulisan beliau yang tersiar di majalah MINDA tahun lepas. Atas sumbangan, dan inspirasi, yang tidak putus-putus kepada Geng Jurnal, beliau dicalonkan untuk anugerah ini.

3) BASRI

Beliau bukan saja menganjurkan "Projek Basah 2.0: Jiwa Kental", bahkan menulis artikel berkenaan projek berkenaan, yang kemudiannya tersiar dalam majalah LIBUR dan REMAJA, keluaran Julai 2005. Secara tak langsung, Geng Jurnal mendapat pendedahan di media cetak. Selain Projek Basah 2.0 dan artikel berkenaan, tentunya inisiatif beliau membukukan catatan weblog, dan sumbangannya selaku Pengarah perhimpunan kali ini, wajar diberi pengiktirafan. Atas sumbangan dan inisiatif beliau, beliau dicalonkan untuk anugerah ini.

PEMENANG: NAZMI


ANUGERAH PENGHARGAAN GJ

Untuk individu yang berjasa pada GJ atas sumbangan tenaga, buah fikiran, dan material.

PENERIMA: WAKDIN

Wakdin merupakan Pengarah Projek Basah, Pengarah Gathering Geng Jurnal 2004, Timbalan Presiden Geng Jurnal 2004, dan Presiden Geng Jurnal 2005. Anugerah ini untuk menghargai sumbangan beliau tersebut.


ANUGERAH WEBLOG TERBAIK 2005

Untuk weblog yang best gila babi nak mampos. Calon-calonnya:

1) Buku Nota oleh Nazmi

2) Hikayat Naga Origami oleh Sinaganaga

3) Honeybiru oleh Sera

4) Pukul Berapa Datuk Harimau? oleh Tok Rimau

PEMENANG: PUKUL BERAPA DATUK HARIMAU OLEH TOK RIMAU


Tahniah kepada semua pemenang.

(Mulai esok: Ulasan Perhimpunan Perdana Geng Jurnal)