Thursday, January 26, 2006

BURUNG BERDANGDUT

("Burung Banyak Bulu Berdangdut" ini adalah pengantar yang aku tulis untuk e-book Pika: "Selepas Ini... Krisis Identiti & Satu Evolusi".)

Satu: Pika ni burung banyak bulu.

Jangan fikir yang bukan-bukan. Aku tak maksudkan "burung" yang itu. Walaupun, mungkin, burung dia yang itu pun banyak bulu.

Orang putih kata "birds of the same feather flock together". Pipit flock dengan pipit. Enggang flock dengan enggang. Mana mungkin merpati flock dengan gagak. Empat tahun duduk serumah (2000-2004), Pika yang aku kenal (atau Zulfikar Samsuri atau Sam Ahmad yang kau kenal) adalah burung yang, agaknya, memiliki banyak jenis bulu, kerana dia flock dengan macam-macam jenis burung.

Sewaktu aku awal-awal kenal Pika, dia flock dengan jemaah tabligh, dan, pada masa yang sama, dia turut flock dengan gerakan muzik bawah tanah (underground). Mengenal Pika, aku mengenal apa itu "tabligh" dan "bayan" dan "keluar tiga hari". Mengenal Pika, aku mengenal apa itu "underground" dan "gig" dan "D-I-Y" dan "zine" dan idealisme "anti-kapitalis". Bayangkan, burung yang berkurta dan berminyak atar, adalah burung yang sama berkicau di atas pentas selaku vokalis Kqonsore (sebuah band punk).

Mengenal Pika juga, aku mengenal bacaan sosio-politik alternatif. Majalah Aliran. Harakah. Seruan Keadilan. Suara PRM. Memo (dan tabloid-tabloid Ahmad Lutfi yang lain). Majalah Detik. Tamaddun. Wasilah. Eksklusif. Siasah.

Majalah Siasah, aku kira, signifikan dalam hidup Pika. Selepas Siasah, Pika flock dengan burung-burung Jalan Telawi pula. Mengenal Pika, aku mengenal apa itu "IKD" dan "UBU" dan "Komunite Seni Jalan Telawi". Banyak betul bulu Pika ni.

Melihat senarai burung-burung yang Pika flock, tidak hairanlah, bila kau baca buku ini, himpunan catatan-catatan (entries) weblog dia, dari tahun 2000 hingga 2004, ada catatan dakwah, muzik, ideologi, dan politik. Dan tidak hairan juga, tulisan-tulisan dia, yang di luar weblog, tersiar dalam Tamaddun, Siasah, Akhbar Mahasiswa, Al-Islam, dan ROTTW -- majalah dan tabloid yang berbeza-beza sifat kandungannya (ada yang sosio-politik, ada yang agama, ada yang muzik).

Membaca catatan-catatan awal Pika buat aku terimbau masa silam. Nostalgik. Banyak sangat kenangan yang kami kongsi bersama. Geng "Kroni Cik Kiah" (lapan kawan baik: aku, Pika, Lan, Megat, Ikin, Owin, Sha, Malee). Rumah Abang Izu (yang kami sewa). Buka puasa di Masjid Shah Alam. Cyber cafe Campus Solution. Menonton teater (Gedebe, Bulan Madu, Proses, Lebih Kecoh, Vagina Monologue). Banyak.

Dua: Mari berdangdut.

Dalam catatan penutup "Tumit Achilles" (buku himpunan esei-esei Khalid Jaafar), Khalid Jaafar menulis: "...saya memilih untuk tidak membacanya kembali [himpunan esei-esei itu]. Saya bimbang akan menyuntingnya. Menyuntingnya bermakna saya menyunting diri saya pada masa lalu. Saya ingin berdepan dengan diri masa lalu saya dengan segala keaibannya, dari menyuntingnya..."

Pika, dalam membukukan himpunan catatan weblognya, aku kira, mengambil pendekatan yang serupa. Tidak ada suntingan. Dari segi kandungan, ejaan, dan sebagainya.

Frasa "satu evolusi" dalam judul buku ini (Selepas Ini... Krisis Identiti & Satu Evolusi), adalah sangat tepat. Membaca himpunan catatan Pika ini, dan membaca tulisannya sekarang (di dalam dan di luar weblog) adalah melihat evolusi isi kandungan, gaya tulisan dan corak pemikiran.

Dari segi isi kandungan: dia evolve dari catatan berbentuk diari peribadi (apa dia buat hari ini, ke mana dia pergi, dan sebagainya) ke catatan berbentuk ulasan, komentar dan karya kreatif.

Dari segi gaya tulisan: dia evolve dari tulisan "syok sendiri" (yang banyak heheheh dan chehhh) ke tulisan mesra pembaca. Dari catatan abai-tatabahasa, dengan ejaan Internet (dier, ader, citer) ke ejaan baku (dia, ada, cerita), dan catatan "tiga titik" (catatan yang transmisi ayat ke ayatnya hanya menggunakan elipsis (...), tiada koma dan noktah) ke catatan berkoma bernoktah berperenggan berhuruf-kecil-huruf-besar.

(Orang kata, untuk mengenal produk kulit babi, kulit babi ada banyak "tiga titik". Nampaknya babi tidak keseorangan (keseekoran?). Selain kulit babi, weblog pun ada juga yang banyak "tiga titik". Haha!)

Dari segi corak pemikiran: dia evolve dari yang, err, boleh aku kata "taksub pegangan"?, ke yang liberal dan terbuka. Dari "bawah tanah" ke "atas tanah". Dari terlalu idealis ke sedikit realis. Dari anti-kapitalis (dan cenderung ke arah sosialis) ke yang percaya tiada sistem yang sempurna, masing-masing ada baik-buruknya. Dan, paling kontroversi, dalam tulisan berkaitan agama, dari pendapat ahlus sunnah wal jamaah sahaja, ke pendapat yang di luarnya juga.

Evolusi, dalam penulisan dan corak pemikiran seseorang, adalah perkara biasa.

Lihat saja penulisan dan corak pemikiran Dr Mahathir dalam Malay Dilemma (baca catatan Pika bertarikh 7 Jun 2001). Siapa sangka itu Dr Mahathir yang kita kenal semasa menjadi Perdana Menteri.

Dan siapa sangka. M Nasir. Yang kita dengar hari ini. Dalam Andalusia dan Kias Fansuri. Dalam Phoenix Bangkit Dari Abu, Sahabat Gua, Masirah, Hijab Kekasih dan Raikan Cinta. Yang penuh falsafah kehidupan dan cinta. Yang penuh sirah dan maksud tersirat. Yang kita kagumi. Dahulunya bermula dengan lagu "Mari Berdangdut".

"Dangdut... dangdut... rentak iramaaa..."

Bagi yang mengenal Pika melalui tulisan-tulisan dia hari ini, yang lebih mesra pembaca dan lebih merangsang intelek, baik di internet mahupun di majalah dan tabloid, anggaplah buku yang kau baca ini sebagai "Mari Berdangdut" versi Zulfikar Samsuri. Selamat membaca.

Mat Jan
9 Disember 2005
Pulau Pinang

NOTA:

1) Khalid Jaafar dan M Nasir sengaja aku sebutkan di sini kerana kedua-dua mereka adalah idola Pika, dalam bidang masing-masing.

2) Klik link-link di bawah untuk download buku-buku Pika (format PDF):

+ Selepas ini... Krisis Identiti dan Evolusi
Himpunan catatan blog Pika dari tahun 2000 hingga 2004.

+ Kutipan Esei-Esei Sam Ahmad
Himpunan esei-esei Pika yang tersiar di majalah, tabloid dan laman web (ROTTW, Akhbar Mahasiswa, Al-Islam, Siasah, Jalantelawi.com, Satu@rah). Kata pengantar oleh Fathi Aris Omar.

3) Buku terjemahan Pika, "Kenapa Kapitalisme Berjaya Di Barat Gagal Di Tempat Lain" oleh Hernando de Soto, boleh beli di SINI.

4) Aku paste kat sini pengantar ni, yang aku tulis bulan lepas, sebab aku tak ada benda lain nak tulis, tapi nak update blog jugak :)