Wednesday, April 27, 2005
WAWANCARA: KAMAL FILEMKITA
Laman web ini antara laman web paling informatif di Malaysia. "Filem Malaysia" (www.filemkita.com), tanpa ragu, adalah pangkalan data filem Malaysia paling lengkap di web. Data yang terdapat di laman ini bukan setakat maklumat filem cereka, malah merangkumi filem pendek, dokumentari, telefilem dan vcd. Selain teks, laman ini mengandungi gambar dan poster. Pangkalan datanya bersifat "mesra pengguna". Kita boleh mencari data filem yang dikehendaki mengikut abjad atau mengikut dekad (dari 1930-an hingga 2000-an). Juga terdapat ruangan interaktif untuk kita bertukar fikiran tentang filem tempatan.
Lebih mengkagumkan, laman hebat ini bukan digerakkan oleh mana-mana organisasi tetapi oleh seorang individu! Menghargai usaha dan sumbangan pengendalinya, saya mengambil keputusan untuk mewawancara beliau. Dalam wawancara ini, Kamal bercakap tentang diri, filemkita.com, filem Malaysia, dan blog.
Tentang Diri
MJ: Boleh saudara ceritakan serba sedikit tentang diri saudara? Adakah saudara dalam industri filem?
Kamal: Saya tidak terlibat secara langsung dalam industri filem. Saya bukanlah seorang pembikin filem tetapi cumalah seorang penonton filem. Dikenali dengan nama Kamal dan menggunakan nickname khys, saya juga bukanlah seorang penuntut dalam jurusan perfileman tetapi telah berkecimpung dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) sejak 8 tahun yang lalu. Dilahirkan di pulau mutiara dan kini meneruskan kehidupan di negeri jelapang padi. Meminati muzik, filem dan juga membaca (termasuk blog).
Tentang filemkita.com
MJ: Apakah yang mendorong saudara untuk membina laman ini? Bagaimana saudara memulakan projek ini? Bila tarikh mulanya?
Kamal: Dorongan untuk membina sebuah laman web mengenai filem tempatan bermula dengan minat terhadap dunia filem secara umumnya. Walau bagaimanapun, saya hanya mula mengikuti perkembangan filem tempatan pada tahun 1993. Apabila bercambahnya "industri VCD haram" pada penghujung 90-an, pengetahuan saya terhadap filem-filem luar negara, lama dan juga baru, semakin bertambah, dan ini banyak dibantu oleh laman web IMDB.com yang amat menarik kerana dipenuhi dengan segala bentuk maklumat mengenai sesebuah filem. Saya menjadi ahli IMDB dan cuba mengemaskini senarai filem Malaysia setakat yang termampu kerana tidak semua maklumat boleh dimasukkan.
Sambil itu saya berharap ada pihak yang akan mewujudkan sebuah laman web khusus untuk filem Malaysia. Sepucuk surat pembaca (bukan daripada saya) telah tersiar dalam Utusan Malaysia mencadangkan supaya diwujudkan sebuah laman web khusus untuk filem tempatan. Malangnya masih tiada usaha dilakukan selepas itu. Saya yang telah mula mengumpul maklumat filem tempatan sejak 1993 mula terfikir untuk cuba membangunkan sebuah laman web sedemikian kerana saya sendiri agak susah untuk merujuk bahan-bahan dalam simpanan saya kerana semuanya tidak tersusun dan berkemungkinan besar akan hilang atau rosak begitu saja. Jadi, pada Ogos 1999 saya memulakan tugas menyusun semua maklumat filem dan mula membina laman web filemelayu.cjb.net pada bulan September. Pada 15 Oktober 1999, laman web Filem Melayu mula dibuka.
Sejarah filemelayu.cjb.net: http://www.filemkita.com/khys/filemelayu_01.html
MJ: Masa ".cjb.net" dulu, laman saudara guna nama "filemelayu". Bila dah "dot com" ni, laman saudara guna nama "filemkita" pula. Sekadar bertanya, ada sebab tersiratkah di sebalik pertukaran nama "filemelayu" ke "filemkita" itu?
Kamal: Semasa laman web filemelayu.cjb.net dimulakan dulu (Ogos 1999), hampir kesemua filem yang dihasilkan ketika itu tergolong dalam kategori filem Melayu. Istilah Filem Malaysia seakan tidak wujud kerana boleh dikatakan kesemua filem terutamanya yang dikeluarkan dalam dekad 90-an disasarkan kepada penonton Melayu semata-mata. Jadi, pemilihan nama Filem Melayu (diringkaskan menjadi filemelayu) pada masa itu dirasakan tepat. Pada Julai 2000, muncul sebuah filem digital yang memperkenalkan istilah "filem independen" iaitu Lips to Lips arahan Amir Muhammad. Walaupun filem itu tidak ditayangkan secara meluas di pawagam (malah saya sendiri belum pernah menontonnya hingga kini), saya mengambil keputusan untuk menyenaraikannya dalam satu kategori kecil (Tayangan Terhad) disamping beratus-ratus filem Melayu lain.
Lips to Lips bukanlah sebuah filem Melayu yang menggunakan judul Inggeris sepertimana No Problem (2001), I Know What You Did Last Raya (2004) dan Gangster (2005) - sekadar menyebut beberapa judul. Jadi, kehadiran Lips to Lips dalam senarai filemelayu dan kemudiannya menyusul beberapa buah filem lain seperti Ah Beng Returns & Snipers (arahan James Lee, menggunakan bahasa Kantonis) dan juga filem bahasa Inggeris Spinning Gasing & The Deadly Disciple, kesemuanya dalam tahun 2001, telah menimbulkan pertanyaan sama ada masih perlukah lagi sebuah laman web Filem Melayu? Ketika itu saya baru tersedar dan mula terfikir mengenai pentingnya Filem Malaysia berbanding Filem Melayu. Pada Februari 2002, laman web filemelayu telah menghentikan operasinya secara tidak rasmi.
Akhirnya pada 5 November 2003 laman web Filem Malaysia (www.filemkita.com) mula dibuka. Pemilihan nama domain tersebut adalah bersesuaian dengan istilah Filem Malaysia (iaitu filem kita semua, tanpa mengira bangsa), juga mengambil kira penerimaan ungkapan "filem kita" yang sudah sering diguna oleh orang ramai bagi merujuk kepada filem tempatan.
The Making of FilemKita.com: http://www.filemkita.com/khys/filemkita_01.html
MJ: Di laman lama (filemelayu) ada pangkalan data pelakon dan pengarah. Tapi di Filem Kita, hanya ada data filem. Ruangan "Karyawan/Seniman/Seniwati" masih belum online. Kenapa belum online? Dan bila akan online?
Kamal: Mengikut perancangan awal, ruangan "Karyawan/Seniman/Seniwati" sepatutnya mula dibina selepas laman web filemkita.com mula dibuka. Disebabkan kesibukan tugas, ditambah pula dengan kemunculan berpuluh-puluh buah filem baru, maka pembangunan ruangan tersebut terpaksa ditangguhkan. Keutamaan telah diberikan kepada pengumpulan maklumat-maklumat filem. Walau bagaimanapun, maklumat ringkas berkaitan pelakon dan pengarah akan cuba disiarkan menjelang ulangtahun ke-2 filemkita.com pada penghujung tahun nanti.
Tentang Filem Malaysia
MJ: "Perang" Aziz M Osman dan Ku Seman membangkitkan pelbagai isu. Antaranya:
i) Apa itu "filem sampah"? Dan apa pula "filem bermaruah"?
ii) Menurut Ku Seman, "untuk menjadi popular dan mengaut sedikit untung, karyawan filem Melayu terpaksa melakukan pengorbanan yang paling besar: menghina intelek penonton dan menjaja sampah sarap!"
Soalan: jika kita buat filem yang "terlalu intelek" sehinga penonton tak faham, tidakkah itu juga "menghina intelek penonton"?
Lagi: salahkah jika sesuatu filem itu dihasilkan untuk jadi "filem popular"?
iii) KARYAWAN berusaha membawa khalayak yang bebal menjadi sedikit cerdik. USAHAWAN berusaha mencari keuntungan maksimum dengan modal minimum. Soalan: Pembikin filem itu karyawan atau usahawan?
Apa pendapat saudara tentang dilema ini? Antara hujah Aziz dan Ku Seman, saudara di pihak mana?
Kamal: Saya boleh bersetuju dengan Aziz M Osman dan Ku Seman pada masa yang sama. Hujah kedua-dua mereka memberi sesuatu untuk kita semua fikirkan, walaupun hujah Aziz lebih kepada membangkang artikel Ku Seman tersebut (Apa perlu filem Melayu? - Utusan Malaysia 28 Feb 2005), tetapi beliau juga ada tanggungjawab terhadap filemnya. Masalah ini timbul bila Ku Seman menggunakan istilah "filem sampah" dan "filem bermaruah" iaitu antara hujahnya yang Aziz (dan saya sendiri) tidak senangi. Ku Seman (dengan disedari atau tidak) berjaya mengelirukan orang ramai dengan istilah-istilah tersebut yang tak sepatutnya wujud (pernah kita dengar lagu sampah atau lagu bermaruah? Iklan sampah, iklan bermaruah? Jenama sampah, jenama bermaruah?).
Seterusnya Ku Seman mengatakan pula yang filem popular "menghina intelek penonton". Ku Seman mahu PEMBACANYA percaya yang "filem popular" menghina intelek MEREKA dan wajar DITOLAK. Sedangkan sebenarnya "filem popular menghina intelek para cendekiawan/bijaksana/golongan atasan/pengkritik filem yang arif" - itu yang dimaksudkannya. Ku Seman terlupa yang setiap filem ada golongan sasarannya sendiri, dan filem Aziz (atau lain-lain filem popular) juga ada penontonnya sendiri yang tidak pernah sekali pun merasakan intelek mereka dihina. Jadi, apabila golongan bijaksana menonton filem-filem popular tersebut, tentulah mereka berasa intelek mereka dihina, kerana mereka bukanlah penonton sasaran yang dimahukan oleh pembikin filem tersebut. Filem popular itu sememangnya bukan untuk mereka, jadi tak perlulah melenting. Sebaliknya pula apabila muncul sebuah filem yang mengandungi falsafah, pemikiran, dan segala macam ilmu pengetahuan - filem itu lantas digelar filem bermaruah? (walaupun ramai yang tidak faham atau mahu menontonnya). Bolehkah "filem bermaruah" itu juga dikatakan menghina intelek penonton kerana mereka sukar menerimanya? Sudah tentu tidak, kerana "filem bermaruah" itu juga ada penonton sasarannya sendiri, dan penonton bukan sasaran sudah tentu tidak dapat menerimanya (tetapi mereka tidaklah pula menggelarkannya "filem sampah" seperti Ku Seman). Jadi, adalah tidak wajar meneruskan penggunaan istilah-istilah tersebut.
Tidak salah sesebuah filem dihasilkan untuk jadi popular dan akhirnya mendapat sambutan ramai penonton. Masalahnya ialah apabila filem itu sepatutnya jadi popular tetapi akhirnya masih tidak mampu menarik perhatian ramai (mungkin masalah skrip, promosi mahupun pemasaran yang gagal), tentu ada banyak yang tidak kena di situ.
Mengenai pembikin filem yang sepatutnya menjadi karyawan berbanding usahawan, sebenarnya ia perlu seimbang. Menjadi usahawan filem itu penting, kerana filem dibuat untuk ditonton. Sekiranya tiada penonton, bermakna sebahagian daripada matlamat pembikinan filem itu telah gagal. Apa yang perlu usahawan filem lakukan ialah memahami pembikin filem dan filem itu sendiri. Usahawan filem tidak boleh memikirkan perniagaan filem ini sepertimana perniagaan barangan-barangan lain. Filem adalah "barang" yang menjual idea, seni dan kreativiti. Begitu juga dengan karyawan, mereka sepatutnya menghasilkan filem untuk penonton yang ramai, dan pada masa yang sama tidak mengabaikan elemen seni dan kreativiti dalam membentuk cerita mereka.
MJ: Puteri Gunung Ledang (PGL) ditayangkan 35 hari, di 39 pawagam, dengan kutipan RM2.87 juta. Berdasarkan jumlah hari, jumlah pawagam dan jumlah kutipan, PGL dikira "berjaya" ikut standard filem Malaysia. Tetapi jika faktor modal diambilkira, PGL filem Malaysia paling rugi! Pendapat saudara tentang PGL khasnya, dan filem bermodal besar amnya?
Kamal: PGL tidak dibuat untuk pasaran pawagam Malaysia semata-mata. Kerana itu penerbitnya berani mengeluarkan modal yang begitu besar. Penerbit PGL bercita-cita memasarkan filemnya di seluruh dunia, sekurang-kurangnya menjual hak tayangan untuk televisyen di beberapa buah negara. Itu antara rancangan asalnya walaupun hingga kini kita masih belum mendengar berita mengenai pulangan modal di luar negara.
Saya tertarik dengan analisis "kejayaan" PGL mengikut standard filem Malaysia tu. Saya terfikir adakah filem PGL yang telah kita saksikan itu sebenarnya mampu dihasilkan dengan modal sekitar RM3 - 4 juta sahaja? Kenapa perlu modal yang begitu besar? Benarkah setiap ringgit yang dibelanjakan itu benar-benar menyumbang kepada hasil akhir filem PGL itu? Saya tidak berharap untuk melihat sebuah lagi filem bermodal RM20 juta dari Malaysia, kecuali penerbitnya benar-benar tahu mengenai pasaran dalam dan luar negara. Begitu juga dengan filem-filem komedi yang bermodalkan RM1 - 2 juta. Kenapa perlu sebanyak itu cuma untuk sebuah filem komedi yang kebanyakannya sebenarnya tidaklah begitu menghiburkan.
MJ: Saya lebih suka drama Melayu di TV daripada filem Melayu di pawagam. Drama TV ceritanya lebih bagus dan lakonannya lebih mantap. Kadang-kadang produser yang sama menghasilkan drama TV yang bagus tetapi menghasilkan filem yang hancur. Apa pendapat saudara berhubung isu "drama vs filem" ini?
Kamal: Saya pula sebenarnya kurang menonton drama TV (telefilem), kerana sukar memberi perhatian akibat gangguan iklan. Walau bagaimanapun, memang diakui telefilem sebenarnya lebih bagus berbanding filem dari segi penceritaannya. Sebenarnya bukan tidak ada skrip-skrip filem yang mantap (Kaki Bakar juga asalnya sebuah telefilem, begitu juga Rabun dan Min), masalahnya ialah apabila kurangnya keyakinan di kalangan para penerbit filem untuk mampu menjual cerita itu di pawagam. Sedangkan penerbit yang sama tidak menolak untuk menghasilkan skrip tersebut untuk siaran TV yang mana risiko untuk menanggung kerugian itu adalah kecil. Siaran telefilem sudah ditetapkan bayarannya oleh stesen TV dan para penerbit boleh mengawal kos penerbitan mereka supaya tidak rugi, tetapi cabaran di pawagam adalah jauh berbeza di mana pulangannya tidak menentu dan hanya penerbit yang "pandai" menjual filem mereka akan mendapat keuntungan.
Para penerbit telefilem tidak sepatutnya menukar cara kerja mahupun pemilihan skrip mereka sekiranya ingin membuat filem, kerana apa yang berlaku sekarang, mereka seakan terdesak untuk membuat keuntungan dengan menghasilkan filem-filem yang rendah mutunya. Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya para penerbit ingin membuat sebuah filem cereka sepertimana kisah-kisah dalam telefilem. Mereka cuma perlu pandai menjualnya.
MJ: Saya, walaupun berminat untuk menonton karya mereka, jarang berpeluang kerana karya mereka tidak ditayang di pawagam. Pendapat saudara tentang pembikin filem generasi baru seperti Amir Muhammad, Ho Yuhang dan James Lee?
Kamal: Saya telah berpeluang menonton filem-filem arahan Amir Muhammad dan James Lee dan kemudiannya bertemu sendiri dengan mereka. Ho Yuhang dan James Lee juga terlibat dalam filem Visits (2004). Sementara filem The Beautiful Washing Machine arahan James Lee juga akhirnya telah diedarkan di pawagam digital di KL dan Penang mulai 7 April 2005. Mereka semua bukannya tidak mahukan penonton dengan tidak menayangkan filem-filem mereka secara meluas di pawagam. Mereka suka dan mahukan penonton menonton filem-filem mereka. Mereka sememangnya membuat filem untuk para penonton. Cuma, apa yang saya dapat katakan, buat masa sekarang mereka membuat filem dan menayangkannya dengan cara mereka sendiri. Saya percaya satu hari nanti (dan mungkin juga sekarang ini) usaha mereka ini akan diberi perhatian dan membuka peluang yang lebih besar lagi.
Cara mereka ini - yang digelar independen - adalah satu cabang baru dalam industri filem Malaysia. Sebelum ini jalan terbaik untuk terlibat dalam pembikinan filem ialah memulakannya melalui telefilem (untuk TV atau VCD), dan kini kita sudah ada ramai penuntut jurusan perfileman yang mahu terlibat dengan mula membikin filem pendek, dan filem-filem yang tidak ditayangkan di pawagam. Ia cumalah satu cara untuk terlibat sepenuhnya dalam industri filem ini pada masa hadapan. Faktor lain yang menyebabkan pembikin filem generasi baru lebih suka terlibat secara independen ialah kerana kebebasan berkarya dan bereksperimen. Proses peralihan dari generasi lama ke generasi baru ini sedang berlaku perlahan-lahan dan dengan sokongan para penonton, suatu hari nanti filem-filem yang beracuankan komedi dan cinta seperti sekarang ini pasti akan menjadi suatu sejarah.
MJ: Tentang LPF. Ada yang kata salah satu punca filem kita tak bermutu kerana LPF mengekang kreativiti. Tetapi ada juga yang kata kekangan itu sepatutnya membuat kita jadi kreatif. Contoh: filem Iran, filem Tibet, bermutu walaupun negara itu lebih banyak kekangan. Apa pendapat saudara tentang LPF? Dan tentang isu kekangan vs kreativiti?
Kamal: Masalah sebenar Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia ini ialah double standard. Bukan hanya double standard dalam menilai filem tempatan dengan filem luar negara, tetapi lebih teruk lagi double standard dalam menilai filem tempatan dengan tapisan yang berbeza-beza. Ia seolah-olah suatu tugas yang tidak konsisten dan hampir tiada peraturan yang sepatutnya. Filem luar boleh menggambarkan hantu tanpa adegan mimpi, boleh membuat adegan khayalan melampau, boleh menggambarkan realiti perang yang sudah semestinya ada pembunuhan dan keganasan. Tapi filem Malaysia? Terikat tanpa diikat. Penulis skrip tak mampu berkreatif, kerana memikirkan tentang LPF. Penerbit filem takut menerima skrip yang akan bermasalah dengan LPF. LPF secara tidak langsung kelihatan seperti membentuk hasil filem kita. Walau bagaimanapun, memang diakui bahawa sebuah skrip yang bagus tidak semestinya perlu ada elemen-elemen negatif. Mungkin penulis skrip kita masih belum sampai ke tahap itu. Pada pendapat saya, kekangan tidak melahirkan kreativiti. Mungkin kekangan membantu orang mencari jalan lain untuk melakukan sesuatu. Itu memang bagus, tetapi lebih bagus sekiranya orang sudah pun menemui jalan lain itu tanpa perlu melalui kekangan.
Lagi satu isu mengenai double standard LPF yang belum saya jelaskan tadi ialah bagaimana sesebuah filem yang perlu ditapis untuk tayangan di pawagam, tetapi boleh pula diedarkan melalui VCD tanpa melalui sebarang tapisan? (contohnya Spinning Gasing dan Sepet. Filem Fantasia juga pernah diedarkan versi asal tanpa tapisan). Perkara tersebut amat mengelirukan mengenai peraturan yang sepatutnya diikuti oleh pembikin filem. Sekiranya ia dibolehkan, kenapa penerbit filem Buli dan Gila-Gila Pengantin Remaja (kedua-duanya Lulus Dengan Potongan untuk siaran pawagam) tidak mengedarkan VCD yang mengandungi salinan asal filem mereka tanpa potongan? Atau terdapatnya pengecualian tertentu yang membolehkan sesebuah filem mendapat 2 kelulusan yang berbeza? Sekiranya boleh, pembikin filem tidak lagi perlu risau sekiranya filem mereka perlu melalui berapa puluh tapisan sekali pun, kerana penonton akhirnya akan boleh menyaksikan filem asal tersebut melalui VCD.
MJ: Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) tak segempak anugerah muzik (contoh: AIM, Anugerah Era, etc). FFM tak dinanti-nantikan rakyat Malaysia. FFM tak diperkatakan lama. Apakah agaknya sebabnya?
Kamal: Masalah pengurusan. Sama juga dengan wajah RTM selepas penjenamaan semula, tiada apa yang akan berubah kecuali nama dan logo, persembahannya akan kekal begitu saja dengan cuma sedikit perubahan isi kandungan. Kenapa FFM "macam tu saja"? Kenapa KL World Film Festival (dan tidak lama dulu ada Penang East Asia Film and Television Festival 97) cuma bertahan sekali sahaja? Kenapa tiada KL International Film Festival (Jakarta, Bangkok dan Singapore sudah ada)? Jawapannya kerana kita (saya tidak tahu siapa sebenarnya) tidak tahu menganjur sebuah festival filem. Mungkin itu juga sebabnya Festival Filem Asia Pasifik yang sudah wujud sejak zaman Jalan Ampas dulu, akan cuma dianjurkan oleh Malaysia buat kali ke-4 September nanti (setelah 46 kali dianjurkan negara lain). Nampak sangat yang "kita" bukanlah penganjur festival filem yang bagus.
Saya memang sudah lama mengharap penganjuran FFM akan setanding dengan AIM yang begitu profesional dan mungkin boleh dikata berprestij. Tapi, selagi pengurusan FFM masih mengikut acuan lama, lengkap dengan kontroversi dan pertelingkahan, selagi itulah FFM akan cuma jadi acara penyampaian hadiah. Sebarang perubahan yang cuba dilakukan terhadap FFM pasti mengundang isu yang akan ditimbulkan oleh Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Pekerja-Perkerja Filem Malaysia, Persatuan Sutradara Malaysia, Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia, Persatuan Pemamer Filem Malaysia, Persatuan Post Produksi Malaysia, Persatuan Penulis Skrip Malaysia dan akhir sekali Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM). Banyak sangat "kepala".
MJ: Saya suka Ali Setan, Azura, Gila-Gila Remaja. "Filem remaja" sekarang tak meninggalkan kesan. Setuju atau tidak?
Kamal: Kebanyakan pembikin filem tidak memahami remaja. Mereka membuat filem mengikut apa yang mereka bayangkan. Yang disebut tadi adalah contoh filem-filem remaja yang meninggalkan kesan. Filem-filem baru seperti SH3, Bisikan Remaja dan Kuliah Cinta (sekadar menyebut 3 judul) adalah bukti yang pembikin filem tersebut tidak memahami remaja dengan memaparkan kehidupan remaja yang tidak asli. Masalahnya bukan kerana pengarah dan penulis skrip itu tidak lagi seorang remaja (pembikin filem Ali Setan, Azura dan Gila-Gila Remaja juga bukan remaja), tapi masalahnya ialah kerana mereka tidak cuba memahami perwatakan dan dunia remaja. Semuanya kerana skrip yang tidak diberi perhatian yang sewajarnya berbanding dengan matlamat utama iaitu membuat keuntungan dengan memaparkan pelakon & penyanyi popular.
MJ: Tentang sarikata (subtitle) di pawagam dan tv yang tak bermutu. Lain yang dimaksudkan, lain yang ditulis. Pendapat saudara?
Kamal: Memang ini antara masalah yang dipandang remeh oleh pihak pawagam dan stesen TV. Mungkin tiadanya penyelia yang melakukan tugas memantau kerja penulis sarikata. Atau sememangnya penulis sarikata tidak diberi bayaran yang bagus, jadi tugasnya dibuat sambil lewa. Mungkin juga jawatan penulis sarikata tidak memerlukan sebarang kelayakan, sesiapa saja dianggap boleh membuat kerja itu. Dan alasan yang paling saya suka sekali: penulis sarikata itu sememangnya sengaja memberi maksud lain pada sarikatanya atas sebab-sebab tertentu! (dia tahu dia tidak akan dipecat walaupun berbuat demikian). Sila rujuk filem pendek Mona oleh Amir Muhammad. Sarikatanya adalah yang terbaik pernah saya lihat bagi kategori komedi.
MJ: Tentang tayangan filem Melayu di TV. TV asyik tayang filem klasik hitam putih saja. Tapi tak lagi tayang filem Rahim Razali, Jins Shamsuddin, Yusof Haslam, Othman Hafsham, Badul, etc. Apa pendapat saudara?
Kamal: Stesen TV ingin menjimatkan kos dengan mengulang tayang Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang dan lain-lain, sedangkan setiap rumah yang mempunyai pemain VCD telah pun mempunyai salinan filem itu yang lebih bagus kualitinya dari siaran TV. Pihak stesen TV seharusnya sedar yang mereka tidak menyokong filem tempatan dengan hanya mengulang tayang filem-filem melayu klasik itu sahaja. Saya tidak tahu sebesar mana kos yang perlu untuk menyiarkan filem-filem 80-an yang bagus-bagus. Tetapi perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan dengan segera. Dalam seminggu ada beberapa buah tayangan filem berbahasa Inggeris, begitu juga filem Hindi dan Cina. RTM lagi bagus apabila menyiarkan filem-filem Asian (Filipina, Thailand dan sebagainya), tetapi tidak ada satu pun stesen TV yang menyedari "kehilangan" filem-filem tempatan untuk siaran atau ingin mewujudkan semula slot Teater Malaysia (RTM) ataupun Panggung Anugerah (ntv7).
Walau bagaimanapun, sudah tentu setiap stesen TV tak pernah lupa untuk mengulang tayang filem-filem popular terkini pada hari raya dan perayaan, terutama sekali pada waktu yang tidak sesuai. Semua ini meninggalkan persoalan sama ada wujudnya peraturan atau sememangnya polisi stesen TV yang tidak membenarkan tayangan filem Malaysia pada hujung minggu kecuali pada hari-hari perayaan sahaja?
MJ: Dalam Anugerah Sri Angkasa, "Miftahul Jamilah" diangkat sebagai telefilem terbaik. Dalam FFM: Telefilem Terbaik ialah "Sekeras Kerikil". Saya sendiri berpendapat "Sekeras Kerikil" dan "Cinta Penggali Kubur" lebih kuat daripada "Miftahul Jamilah". Pendapat saudara?
Kamal: Seperti mana dijelaskan dalam persoalan mengenai drama TV yang bagus berbanding filem, pasti dapat diagak yang saya tidak menonton kesemua telefilem yang dinyatakan tadi. Walau bagaimanapun, kesemuanya itu bergantung kepada citarasa pihak juri yang telah memilih para pemenangnya mengikut kriteria yang telah mereka tetapkan untuk setiap anugerah.
Tentang Blog
MJ: Adakah saudara membaca blog? Jika ya, blog apa yang saudara baca? Apa pendapat saudara tentang blog ulasan filem seperti "SKRIN" oleh Mahhass dan "TONTONFILEM" oleh Fadz?
Kamal: Saya memang suka membaca blog. Ada folder "Blog" dalam Favorites/Bookmark saya, dan saya akan mengunjungi senarainya satu persatu bagi melihat entry terkini dalam setiap beberapa hari sekali. Antara senarai blog tersebut sudah tentunya Jongkang Jongket (sejak maskot korek hidung lagi), masa tu juga saya mengikuti jurnal Saharil dan Honeybiru. Selain itu, blog beberapa ahli Geng Jurnal juga turut menarik perhatian saya. Blog Sultanmuzaffar juga saya rasakan penuh dengan informasi (walaupun saya akan skip entry berkaitan AF). Untuk isu yang lebih serius, saya akan menyemak pula Screenshots, dan satira TV Smith juga menarik. Bukan itu saja, blog yang macam diari kehidupan seharian juga saya ikuti kalau tulisannya menarik.
Blog ulasan filem Skrin dan TontonFilem memang menarik kerana ia memberi dan mengupas idea-idea menarik dari filem-filem yang mereka tonton. Membaca apa yang mereka fikirkan terhadap sesebuah filem memberi sebuah pandangan yang berbeza sekiranya kita telah menonton filem itu. Ia bukanlah seperti ulasan rasmi dalam akhbar dan majalah, malah mereka sedia bertukar-tukar fikiran melalui ruangan komen yang disediakan. Secara peribadi saya sendiri telah menemui Mahhass dan Fadz dan merasakan yang blog mereka sememangnya patut dibaca oleh para peminat yang betul-betul meminati filem sebagai sebuah karya dan bukan hanya menonton filem untuk hiburan semata-mata.
MJ: Terima Kasih.
Kamal: Sama-sama. Kerana wawancara ini, juga kerana prihatin terhadap perkembangan laman web Filem Malaysia... filemkita.com
Penghargaan istimewa juga kepada para karyawan, pelakon dan pengarah filem Malaysia yang sudi membantu menambah dan membetulkan maklumat dalam laman web ini. Begitu juga kepada para penyumbang maklumat dan bahan-bahan, yang terlibat secara langsung ataupun tidak, terutama sekali pemilik poster-poster filem lama seperti Robby, Yati dan juga pemilik laman web FarahAqil. Sorang lagi, Jean-Claude Michel peminat filem seram dari Perancis yang telah banyak berkongsi maklumat filem-filem Melayu klasik. Dan kepada para siswa-siswi: tolong jangan hantar lagi dah soalan-soalan tugasan anda untuk saya jawab, ok :)
# MJ | Permalink
Tuesday, April 26, 2005
PUSAT PAYUDARA
(Nazmi nak kahwin bulan depan.)
Nazmi: Kat mana pusat payudara?
Tipah: Soalan spesis apakah ini?!?!? (*mata terbeliak*)
Baiduri: Err... kat tengah kan?
Superdiman: Aku tak mau jawab soalan kau...
Lan: Kat puting kot?
Salina: Aku rasa Nazmi ni patut dijuring saja.
Kucin: Bergantung kepada geometrinya... (*sengih-sengih*)
MJ: Payudara ada dua. Tengah-tengah ada lurah. Pusat payudara di lurah kot?
Basri: Pusat di perut, payudara di dada. Tapi bergantung jugak pada rezeki kau.
Nazmi: Hahaha! Semua salah. Sebenarnya pusat payudara kat UIA. (*tunjuk gambar*)
 Ramai-ramai: Hahahahahaha!!! Budus!! Budus!!! Hahahahahaha!!! Adeh.. kejang perut aku gelak!!! Hahahahahahaha!!! Hampeh tul!!! Hahahahahaha!!!
# MJ | Permalink
Thursday, April 21, 2005
KARIPAP
# MJ | Permalink
Thursday, April 14, 2005
EDISI ILMIAH: MONARKI
"Orang-orang Monarki" dapat banyak pendedahan di media semenjak dua menjak ni. Perkahwinan Charles dan Camilla. Kemangkatan Raja Monaco. Cucu Sultan Johor grad Akademi Tentera India (Majalah 3). Ini telah inspire Abang MJ untuk research pasal monarki di Internet.
Adik-adik, "monarki" adalah bentuk pemerintahan di mana pemerintah sesebuah negeri atau negara datang dari satu keluarga saja. Takhta diserahkan dari satu generasi ke satu generasi. Bila "raja" (atau apa gelaran yang dipakai) itu mangkat, takhta biasanya diserahkan kepada anak sulung (atau dalam sesetengah monarki: anak lelaki sulung). Kalau tak ada anak, diserahkan kepada adik. Kalau tak ada adik, diserahkan kepada sepupu, atau saudara-mara yang lain.
Ada 43 monarki yang masih wujud hari ini. Dan, SEMBILAN daripadanya ada di Malaysia! Berikut disenaraikan monarki yang masih wujud:
EROPAH: Sweden (King Carl XVI Gustaf), Norway (King Harald V), Denmark (Queen Margrethe II), Belanda (Queen Beatrix), Belgium (King Albert II), Britain (Queen Elizabeth II), Luxembourg (Grand Duke Henri), Liechtenstein (Prince Hans Adam II), Sepanyol (King Juan Carlos I), dan Monaco (Prince Rainier III - baru mampos).
AFRIKA: Maghribi (King Mohamed VI), Lesotho (King Letsie III), dan Swaziland (King Mswati III).
ARAB: Jordan (King Abdallah II), Arab Saudi (King Fahd bin Abdulaziz), Kuwait (Sheikh Jabir al-Ahmad al-Sabah), Bahrain (Sheikh Hamad bin Isa al-Khalifa), Qatar (Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani), Oman (Sultan Qabus bin Said), dan Emiriah Arab Bersatu [UAE] (Ada 7 monarki. Abu Dhabi: Sheikh Zayid bin Sultan al-Nahyan, Dubai: Sheikh Maktoum bin Rashid al-Maktoum, Sharjah: Sheikh Sultan bin Mohammed al-Qassimi, Ajman: Sheikh Humaid bin Rashid al-Nuaimi, Umm al-Quwain: Sheikh Rashid bin Ahmed al-Mu'alla, Ras al-Khaimah: Sheikh Saqr bin Mohammed al-Qassimi, dan Fujairah: Sheikh Hamad bin Mohammed al-Sharqi).
ASIA (yang bukan Arab): Nepal (King Gyanendra Bir Bikram Shah), Bhutan (King Jigme Singye Wangchuck), Thailand (King Bhumibol Adulyadej), Brunei (Sultan Hassanal Bolkiah), Jepun (Emperor Akihito), Kemboja (King Preah Baht Samdach Preah Norodom Sihanuk Varman), dan Malaysia (Ada 9 monarki: Raja Perlis, Sultan Kedah, Sultan Perak, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Pahang, Sultan Terengganu, dan Sultan Kelantan.)
LAIN-LAIN (pulau-pulau kecik): Tonga (King Taufa'ahau Tupou IV), dan Samoa (King Malietoa Tanumafili II).
Ada juga monarki yang sudah pupus. Antaranya: monarki Perancis dan Russia yang digulingkan gerakan revolusi.
Dalam 43 monarki yang disebut tadi, empat adalah "monarki mutlak": Arab Saudi, Brunei, Nepal dan Swaziland. Maksudnya, raja (dan keluarga raja) sendiri menggubal dan melaksana dasar negara. Di negara-negara Arab seperti Jordan, Maghribi, Qatar dan Kuwait, walaupun ada Parlimen dan Perlembagaan, raja ada kuasa yang banyak juga ("monarki separa-mutlak"). Di Liechtenstein, ada badan menggubal dan melaksana dasar, tapi raja ada kuasa veto.
Di negara-negara lain, monarkinya adalah "monarki berperlembagaan". Raja hanya bertindak sebagai simbol dan "rubber stamp" saja. Mereka tidak menggubal dan melaksana dasar. Di Malaysia, anak raja suka kawan dengan artis.
Sekian Edisi Ilmiah buat hari ini. Abang MJ harap adik-adik dapat informasi yang berguna. Jangan nakal-nakal tau. Tata!
(*bunyi muzik riang-ria dan keluar credit title*)
# MJ | Permalink
Wednesday, April 13, 2005
KRITIKAN & STRATEGI MENDIAM
Walaupun mereka dalam parti yang sama, kadang-kadang mereka tak sependapat juga. Terbaru isu RIMA. Rais Yatim kritik. Adnan Yaakob komplen.
Kalau Kadir (Menteri Penerangan) nak suruh mereka diam senang saja. Dia kena jawab macam ni: "Okeylah. Saya dah tak berminat nak ikut apa-apa perkembangan pasal isu RIMA ini lagi. Saya cadangkan mereka yang banyak kritik ini untuk uruskan radio pada masa akan datang. Anda lebih bijak dari saya."
Lepas tu Menteri lain kena sokong dia: "Ya Kadir, tahun depan kita kasi diorang pulak yang banyak komplen ni. Biar diorang tahu dan faham sikit tugas RTM tu cam mana. Tak payah nak pertikai dan masing-masing nak tunjuk pandai. Tahun depan kita kasi peluang untuk diorang ni pulak. Saya minta Parlimen yang mulia ini kunci perbincangan ini!"
Aku baru belajar strategi ini. Berkesan. 
Jika anda jenis tak suka kritikan, apa pula strategi anda?
# MJ | Permalink
Monday, April 04, 2005
ANUGERAH BINTANG POPULAR
 Jika Anugerah ERA kita dikejutkan dengan kemenangan Mirwana dan Nassier Wahab, serta kekalahan Siti, Anugerah Bintang Popular (ABP) semalam tak ada kejutan langsung. Jadi aku tak mahu ulas senarai pemenang.
Secara keseluruhannya aku berpuas hati dengan perjalanan ABP. Aku paling suka persembahan "Baik Punya Cilok" oleh Afdlin Shauki, AC Mizal, Hans Isaac dan Awie.
Aku terhibur bila Salih Yaccob mengajuk suara orang. Salih biasanya ajuk Nordin Ahmad. Semalam lepas Rabbani menang, Salih cakap macam Nik Aziz. Dan Salih ajuk cakap Pah Bedah juga ("Pah Bedah" watak drama "Orang Gaji 41").
Namun, sebagai seorang Mat Jan, mesti ada benda yang aku tak puas hati. Ini antaranya:
Tak puas hati #1: mikrofon tak berfungsi. Sekali ketika Reshmonu menyanyi. Sekali lagi ketika Yusof Haslam nak berucap. Nasib baik Ogy dan Salih profesional. Pengacara yang baik, pada aku, bukan saja pengacara yang pandai bercakap tapi pandai menyelesaikan masalah tak diduga.
Tak puas hati #2: aku, yang menonton tv, tak puas hati bila Misha Omar nyanyi medley Uji Rashid tiba-tiba terpotong untuk iklan. Sekali lagi masa persembahan penutup Kembara. Tengah M Nasir nyanyi Hati Emas tiba-tiba rancangan habis. Tak sukanya aku. Macam tengah sedap-sedap makan tiba-tiba tergigit buah pelaga!
Tak puas hati #3: bentuk "treble clef" trofi. Sama macam trofi Juara Lagu (JL). JL tak apalah, memang pertandingan lagu, sesuailah treble clef. Tapi ABP kategorinya PELBAGAI: penyampai radio, pengacara tv, artis komedi, penyanyi, pelakon. Pada aku, trofi treble clef tu tak sesuai kerana bersifat "muzikal" saja. Trofi kalau bentuk bintang, atau ada motif bintang, lebih sesuai dengan Anugerah BINTANG Popular.
Bukan Melayu
Selepas Francisca Peter menang kategori "Penyanyi Wanita Popular" pada 1987, tidak ada lagi artis bukan Melayu menang apa-apa kategori dari tahun 1988 hingga 1997. Bukan saja nak menang, nak tersenarai dalam Top 5 pun susah. Supaya mereka tak terus tersisih, Berita Harian (BH) memperkenalkan kategori "Artis Bukan Melayu Popular" mulai 1998. Kategori itu dimenangi oleh Sathiya (1998-2001), Hans Isaac (2002-2003) dan Vince (2004).
Tetapi melihat calon-calon yang tersenarai pada tahun ini, aku berpendapat kategori berasaskan kaum ini tak perlu wujud lagi. Artis bukan Melayu tak tersisih lagi. Mereka tersenarai dalam Top 5 pelbagai kategori. Calon-calonnya adalah:
Artis Baru Lelaki Popular: Vince. Artis Baru Wanita Popular: Jaclyn Victor. Pelakon Filem Lelaki Popular: Hans Isaac. Pelakon Filem Wanita Popular: Tiara Jacquelina. Penyanyi Lelaki Popular: Reshmonu & Vince.
Malah Vince dan Jac masing-masing menang kategori Artis Baru Lelaki dan Wanita Popular mengalahkan artis-artis Melayu!
Ini satu perkembangan yang sihat, memandangkan calon Top 5 dan pemenang ABP diundi oleh pembaca BH, yang majoritinya Melayu. Malah kemenangan Vince dan Jac dalam Akademi Fantasia (AF) dan Malaysian Idol (MI) pun berasaskan undi penonton. Majoriti penonton AF Melayu. Majoriti penonton MI Melayu dan Cina, tapi yang menangnya India. Kesimpulan: rakyat Malaysia sekarang tidak menilai seseorang, atau sesuatu, dari mata perkauman (kecuali, of course, YB Dungun dan YB Ketereh).
Kategori "Bukan Melayu" perlu dimansuhkan. Ketika menang kategori ini tahun lepas, Hans Isaac menyatakan hasrat yang sama. Ketika menjadi tetamu rancangan "Halim Othman Live" di ASTRO, sekali lagi Hans menyatakan perkara itu. Artis bukan Melayu tak tersisih lagi. Mereka sudah mampu bersaing.
Sekarang sebenarnya, yang tersisih dan tak mampu bersaing ialah: penyanyi wanita yang bukan Siti! Sejak 1996 hingga 2004, tak ada siapa boleh menandingi Siti dalam kategori ini. Mungkin kita perlu kategori "Bukan Siti" pula. Berita Harian perlu wujudkan kategori: "Penyanyi Wanita Bukan Siti Popular" :P
Paling Popular
Tahun ini Siti menang "Artis Paling Popular" (lagi!). Kejayaan tak putus-putus. Kalau betullah "penyanyi veteran" itu yang tulis email layang Siti (KALAU, aku bilang, KALAU), mesti sekarang ni dia tengah sakit hati. Sudahlah Siti baru dihujani tahniah selepas konsert Royal Albert Hall, sekarang menang ABP pula.
Tahniah Siti! Tahniah! Hang memang terra!
ULASAN LAIN: - Sultanmuzaffar - Nazmi
# MJ | Permalink
Saturday, April 02, 2005
RADIO, DIABLOG & BANDWIDTH
 Dari kiri: Razali Endun (bertudung putih), Faizal Tehrani, Maharram Mamat. Eh, belakang tu banner program minggu lepas daa! Yang sebenarnya: Tipah, SM, MJ. Ingat 15 April tahun lepas? Aku dan Kak Pnut jadi panel jemputan untuk rancangan IT di Radio 1. Bercakap pasal Weblog. Yang telefon radio masa tu semua kawan-kawan GJ. Panggilan demi panggilan tak putus-putus. Kita buat rancangan tu macam rancangan kita. Studio tu macam kita yang punya.
27 Mac tahun ni kita buat lagi. Diablog (dialog blog). Kita buat Rumah PENA macam Rumah GJ. Berdialog, makan, minum, tengok tv macam rumah sendiri. Nasib baik kita tak tanggalkan gambar-gambar bekas Presiden PENA di dinding dan gantung gambar-gambar bekas Presiden GJ.
Secara peribadinya, aku lebih suka Diablog ini dari rancangan radio dulu.
Satu: rancangan radio dulu setengah jam saja. Aku bila bercakap, 10 minit pertama aku nervous. Bila dah syok menggoreng, sedar-sedar dah habis. Diablog ini 2 jam. Aku ada 10 minit untuk nervous, dan 1 jam 50 minit untuk menggoreng hangit. Yay!
Dua: rancangan radio dulu DJ bertugas bukan blogger. Jadi, dia macam tak tahu apa yang dia tanya. Diablog ini moderatornya Tipah, blogger juga. Dia tahu apa yang dia tanya. Aku cadangkan kalau radio atau tv nak buat rancangan pasal weblog, ambil Tipah jadi pengacara. Dia ada rupa, ada suara dan ada bakat. Dia ada DUA bakat! (Maksud aku, bakat menulis blog dan bakat mengacara :p)
Tiga: rancangan radio dulu siaran langsung seluruh Malaysia. Aku kena kawal lawak-lawak yang aku buat. Diablog ini tertutup. Penontonnya "kita-kita aje" (sumpah Tipah, tak ada niat menyindir). Jadi lawak aku agak out of control. Minta maaf kalau ada yang tersinggung :p
(Zhoulsz pernah labelkan Mat Jan "bapa provokasi dan kontroversi")
Rupa-rupanya Faisal yang aku jumpa dengan Anne dulu Elmaaniq. Selama ni aku link blog Elmaaniq di ruangan "yang aku belum jumpa". Padahal aku dah pernah jumpa dia. Masa di Rumah PENA baru aku tahu.
Apa yang aku dan SM kelentong hari tu? Sebenarnya, aku nak cerita banyak di sini. Serta cerita lepak-lepak di A&W PJ dengan Nazmi, Superdiman, Salina, dan Nida malam sebelum tu. Dan cerita main bowling ramai-ramai di Flamingo lepas Diablog tu. Dan cerita makan-makan dan sembang-sembang di kedai nasi ayam Linda Onn.
Tapi seminggu tak boleh access kroni.biz buat semangat aku luntur, dan hasrat aku terbantut. Lagipun cerita tu macam dah basi. Takkan nak hidang makanan basi kat orang kan?
Yang best-nya ada orang tanya aku: "MJ, apa jadi dengan blog hang? 'Bandwidth Limit Exceeded'"
Sebenarnya, dia dah jawab soalan dia sendiri. Soalan: Apa jadi dengan blog aku? Jawapan: Bandwidth Limit Exceeded.
Aku beli kroni.biz share dengan kawan-kawan. Bulan ni kroni.biz exceed bandwidth limit. Semua blog di kroni.biz tak boleh access: blog aku, Nordin, Amyz, Cappuchinoz, Saljubiru, Encik Khairul, Zhoulsz. Awal bulan dia reset bandwidth 0 balik. Tak tahulah bulan ni dapat bertahan sampai 30 April atau tidak.
Nanti kalau ada mood, aku explain apa itu bandwidth.
[Gambar oleh Pak Bear: KLIK SINI]
# MJ | Permalink
|