Thursday, February 24, 2005
PANTUN PTPTN
Sekadar menghangatkan suasana semasa...
Pisang emas dibawa belayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hutang PTPTN dibawa mati.
Sorong papan tarik papan, Buah keranji dalam perahu, Suruh makan dia makan, Suruh bayar PTPTN dia tak mahu.
Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, Hancur badan dikandung tanah, PTPTN tak bayar juga.
Buah cempedak di luar pagar, Ambil galah tolong jolokkan, Saya budak habis belajar, PTPTN tolong halalkan.
Dua tiga kucing berlari, Mana nak sama si kucing belang, Dua tiga handphone dibeli, Habis belajar tak bayar hutang.
Kalau ada sumur di ladang, Boleh saya menumpang mandi, Walau ada kereta yang panjang, PTPTN tak bayar lagi.
Sambung... sambung... (sila respon entry ini dalam bentuk pantun juga, terima kasih)
DISCLAIMER: Catatan di atas untuk tujuan jenaka sahaja. Tidak ada niat untuk merosakkan keindahan dan keaslian pantun Melayu lama.
# MJ | Permalink
Wednesday, February 23, 2005
BAYAR BALIK
Macam-macam cara untuk suruh orang bayar.
Kalau tak bayar bil elektrik, TNB boleh potong bekalan elektrik. Kalau tak bayar bil air, pihak berkuasa air tempatan boleh potong bekalan air. Kalau tak bayar ansuran kereta, finance boleh tarik balik kereta. Kalau tak bayar hutang Ah Long ("Ah Long, bukan Along" -- kata suratkhabar Ahad hari tu), Ah Long boleh potong tangan atau kerat jari atau baling batu pecahkan tingkap rumah/tingkap kereta atau tanam anak/bini penghutang hidup-hidup atau bakar harta benda atau cabut kuku perlahan-lahan satu demi satu dengan playar atau kerat kepala mak penghutang dan pos kat dia dengan sekuntum mawar merah sebuah puisi. Di bulan Februari.
Tapi kalau tak bayar pinjaman PTPTN?
PTPTN tak boleh ikut cara TNB atau finance. Nak potong bekalan apa? Nak tarik apa? Pinjaman pelajaran, bukan boleh potong bekalan ilmu atau tarik balik ilmu yang mereka dapat. Melainkan PTPTN ikut cara Ah Long, potong tangan atau kerat jari atau cabut kuku atau tanam hidup-hidup saudara-mara peminjam, tak ada cara untuk buat mereka bayar balik cepat-cepat.
PM sudah marah. Dia suka marah-marah sejak dua menjak ni. Semua orang dia marah. Marah kakitangan awam yang tak efisien. Marah Khir Toyo. Marah orang Melayu yang suka sembang kosong. Marah Khir Toyo. Marah peminjam PTPTN yang tak bayar balik.
"Yang belum dapat kerja lagi, itu saya memahami... tapi yang sudah bekerja tak mau bayar balik ini satu perkara yang tak mudah dimaafkan. Macam mana boleh kita senang-senang dapat hutang, tak mahu bayar balik. Ini pada saya satu tabiat atau kelakuan yang tak baik langsung dan yang tak sepatutnya ada pada kita. Nak kemudahan iya-iya sangat, nak hutang iya-iya sangat, lobi orang itu, lobi orang ini, minta segala sokongan dan sebagainya. Selepas belajar tak mahu bayar balik. Kalau dok buat perangai macam ini, nanti hutang bank nak buat bisnes pun tak nak bayar, duit Mara pun tak mau bayar, apa nak jadi?" kata Encik PM.
Ha, sekarang baru Encik PM faham perasaan Ah Long. Kenapa depa marah sangat sampai bunuh-bunuh bila orang tak bayar hutang.
Nasib baik aku dapat biasiswa dulu. Tak payah bayar balik. Yay!
# MJ | Permalink
Friday, February 18, 2005
KENAPA EMPAT?
Tajuk al-Kuliyyah TV3 hari ini "Kenapa Empat?"
Aku ingat depa nak cakap pasal kahwin empat.
Rupa-rupanya pasal mazhab sunni yang empat: Shafie, Maliki, Hambali, Hanafi.
Hihi. Bila sebut "empat" aje ingat kahwin, apa da!
# MJ | Permalink
DONA JUAL SABUN?
Di suatu sesi YM di malam yang sepi. Mat Jan: Dona ko jual sabun sekarang ek? Aku tengok ada iklan kat tv bwahahaha! Dona: Tahik... ni musti tengok yang jenama Dona tu yang ada ubat gigi, mekap suma tu... Mat Jan: Lagu dia: "Donaaaaa segar selamanyaaaa... donaaaa" Dona: Jangan la nanyi woiii!!! Benci aku... nak gi pusat pendaftaran negara la nak tukar nama. Mat Jan: Muahahahaha!!! (Kenapa harus malu? Seharusnya kau berbangga kerana namamu menjadi jenama produk, muahahaha!)
# MJ | Permalink
Thursday, February 17, 2005
DUA TIGA HARI INI
Pergi Penang.
Pergi Kuala Kangsar melawat Pika (Entry lama: Kudung Tangan Kanan). Dia dah boleh jalan. Macam robot. Tapi boleh jalan. Aku gembira lihat Pika gembira.
[masukkan gambar Mat Jan dan Pika di sini] Mak Andeh ada di Alor Setar. Dinner dengan Mak Andeh (dan anak-anak dan maid) dan Purbe dan Mydinz (dan isteri dan anak) dan Cikgu Midad.
Sepanjang lima tahun blogging, dan setelah berjumpa-jumpa, aku dapati ada empat jenis blogger: - Pandai bercerita di dalam blog, tapi tak pandai bercerita di alam nyata.
- Tak pandai bercerita di dalam blog (boring gila babi nak mampos blog dia), tapi pandai bercerita di alam nyata.
- Tak pandai bercerita di dalam blog, dan tak pandai bercerita di alam nyata -- nama code: MAKHLUK BORING DUA ALAM (alam cyber dan alam nyata).
- Pandai bercerita di dalam blog, dan pandai bercerita di alam nyata.
Mak Andeh kategori yang keempat. Blognya sedap dibaca, dan cerita lisannya pun sedap didengar.
Tahniah pada Rudy. Dapat anak lelaki.
Purbe: "MJ, bulan ni kita banyak berjalan kan?"
Mat Jan: "Bukan tiap-tiap bulan ke kita banyak berjalan?"
# MJ | Permalink
Friday, February 11, 2005
KAHWIN
Mohamad Syafizan hari ini bukan lagi Mohamad Syafizan yang dulu. Mohamad Syafizan hari ini sudah kahwin.
Muahahaha! Rileks rileks, jangan menangis dulu gadis-gadis yang meminatiku (haha!), Mohamad Syafizan yang kahwin itu bukanlah aku, Mohamad Syafizan Mohamad Kasim, tapi adik Kak Pnut, Mohamad Syafizan Samsudin.
Magic sungguh. Nama aku Syafizan dan ada kakak nama Shafinaz. Kak Pnut pula nama Syafinaz dan adik lelaki nama Syafizan. Kebetulan inilah yang menyebabkan aku boleh kenal dengan Kak Pnut, dan jadi rapat macam adik-beradik. Kalau tak pernah wujud teknologi bernama internet, tentu aku dan Kak Max tak tahu kewujudan "kembar" kami ni.
Pergi kenduri kahwin Jan dengan Ayah, Mak, Kak Max, Abang Misai dan Purbe. Singgah juga rumah Kak Max dan Abang Misai di Laguna Merbok.
Selamat Pengantin Baru.
# MJ | Permalink
Thursday, February 10, 2005
CINDIA
Atan berbicara tentang Daniel, rakannya yang muka macam Melayu, tapi sebenarnya Cindia (Cina+India).
Atan: Daniel, nasib baik hang Cina+India, jadi CINDIA. Kalau hang CINA+BAI ???
Mat Jan & Purbe: Bwahahahaha!!!
Untuk Daniel, aku tujukan sebuah lagu berjudul CINDIA...
"CINDIA lah mana... tidak berkias... jalinnya lalu... rentah beribu... ewahh!!"
DISCLAIMER: Tulisan di atas untuk tujuan jenaka semata-mata. Tidak ada niat untuk mengguris perasaan mana-mana kaum.
# MJ | Permalink
CONSTANTINE
Macam MIB. Cuma MIB boleh kenal alien (yang berjalan dalam jasad manusia), tapi John Constantine boleh kenal malaikat dan syaitan (yang berjalan dalam jasad manusia).
Bumi, syurga, dan neraka berada di satu tempat yang sama, tapi dalam dimensi yang berbeza. Maka, kadang-kadang berlaku manusia, malaikat dan syaitan yang ter-cross dimensi. Aku sudah terbiasa dengan plot sebegini, dari permainan komputer seperti Diablo dan Doom.
Constantine, antara yang bertuah, memiliki deria langkau-dimensi. Kerjanya mengusir syaitan keluar dari tubuh manusia yang dirasuk. Kalau di Malaysia, dia dipanggil pawang.
Sesiapa yang memiliki "spear of destiny" dia akan dirasuk syaitan besar. Spear of destiny hilang selepas Perang Dunia Kedua. Dan tiba-tiba seorang pemuda terjumpa di bawah runtuhan gereja di Mexico, mata lembing itu dibalut bendera Nazi. Penonton akan berkata dalam hati, "ooo... patutlah Hitler jahat!" atau "ooo... George Bush yang pegang spear of destiny sekarang!"
Apa yang terjadi pada pemuda Mexico yang dirasuk syaitan besar itu? Kau perlu tonton sendiri itu.
Jenaka
Elemen jenaka ada dalam filem misteri ini. Constantine digambarkan kuat merokok. Ketika bertemu Malaikat Jibrail di sebuah gereja, dia bertanya tentang masa depannya.
"Kau mati muda," kata Jibrail, "dan kau masuk neraka!"
"Kenapa?" tanya Constantine.
"Kau mati muda sebab kau hisap 30 batang rokok sehari. Dan kau masuk neraka sebab itu, sebab kau membunuh satu nyawa!"
Aksi
Padat dengan aksi pertarungan. Manusia dengan syaitan. Syaitan dengan malaikat.
Constantine mati masuk neraka? Dia mati, tapi di saat-saat akhir, dia sempat buat satu pahala besar. Dan hampir-hampir masuk syurga, sebelum Lucifer mencengkam paru-parunya, mencabut pekat hitam nikotin dan tar, dan memberi peluang kedua untuk dia hidup (dan mati masuk neraka).
Malangnya, bila dia hidup kembali, dia berhenti merokok (dan ganti dengan chewing gum). Neraka kehilangan seorang penghuni berpotensi.
Kejutan
Seperti Shrek II, di mana Prince Charming dan Fairy God Mother yang selalu digambarkan baik dalam cerita dongeng, menjadi watak jahat. Begitulah juga plot twist dalam Constantine. Malaikat Jibrail tu rupa-rupanya, oops... pergi tonton sendiri.
KOMEN: Untuk penonton berfikiran terbuka. Mempunyai elemen agama Kristian, dan elemen kempen anti-merokok "TAK NAK!". Tiga bintang setengah.
# MJ | Permalink
Wednesday, February 09, 2005
GONG XI BIRTHDAY
Selamat Gong Xi Fa Cai pada kawan-kawan berbangsa Cina.
Selamat Happy Birthday ke-59 pada Ayah.
Lihat kad yang Ayah dapat dari kawannya. 2-in-1 maaa...
Siapa-siapa yang pernah datang rumah aku tentu maklum. Jiran-jiran aku Cina belaka. Blok kami, rumah kami saja rumah Melayu. Setiap tahun, kemeriahan Gong Xi Fa Cai memang terasa.
Masa kenduri Kak Max hari tu, kenapa khemah yang depan rumah kami bumbung putih tapi yang depan rumah jiran Cina sebelah bumbung merah? Kerana jiran Cina sebelah kahwin esoknya, maka kami kongsi khemah. Sebab tu khemah tak dibuka selepas kenduri Kak Max habis.
Dan hari ini, birthday ayah akan disambut meriah dengan mercun, gendang dan tarian singa ;p
Menariknya, kita sambut dua tahun baru dalam masa dua hari. Hari ini Tahun Baru Cina. Esok Tahun Baru Hijrah. Izinkan saya menyanyi lagu Maal Hijrah ya, ehem ehem...
Satu Muharam detik permulaan Perkiraan tahun Islam Hijrah Perpindahan Nabi dan umat Islam Dari Kota Mekah ke Kota Madinah
Atas keyakinan dan iman yang teguh Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu Rela berkorban harta dan nyawa Demi menegakkan Islam tercinta
Hijrah itu pengorbanan Hijrah itu perjuangan Hijrah itu persaudaraan Hijrah membentuk perpaduan
Oleh itu mari semua Kita sambut Maal Hijrah Tingkatkan semangat tegakkan syiar Islam Untuk sepanjang zaman
Untuk sepanjang zaman
Untuk seeepannnjanggg zaaamannnnnnnn Sekian terima kasih. Oh ya, Selamat Pengantin Baru pada Fariz dan Aida juga.
# MJ | Permalink
Friday, February 04, 2005
RAZALI NUBARI
Siapakah nama sebenar Tok Rimau? a) Ghazali Bunari b) Razali Nubari c) Puteri Binari
Beberapa hari yang silam, aku pergi Rumah Pena, mengikuti forum "Weblog: Ruang Ekspresi Idea dan Sastera". Ramai juga penulis blog dan penulis bukan-blog yang hadir. Ada muka-muka biasa dan ada muka-muka tak biasa. Selain Naga, aku juga jumpa buat pertama kali Pak Bear, Nesloice dan Superdiman.
Forum itu dipengerusikan oleh Nazmi, manakala panelnya Tok Rimau, Sri Diah dan Nisah Haron. Kertas kerja Kak Nisah hari tu terbit dalam Mingguan Malaysia esoknya (30/01/05). Dan berita tentang forum ini terbit dalam Berita Harian semalam (04/02/05) di ruangan "Sastera & Budaya". Publisiti besar untuk komuniti weblog.
Aku sudah baca laporan acara ini di beberapa blog hadirin. Tapi aku sendiri belum lagi menterjemahkan contengan-contengan aku semasa forum tu ke dalam bentuk teks boleh-baca. (Rukun 2: Jangan buat hari ini benda yang kamu boleh tangguh esok)
Dalam Berita Harian semalam, nama Tok Rimau "Ghazali Bunari" ditulis "Ghazali Nubari". Dan caption gambar tulis nama dia "Razali".
NOTA: 1) Soalan kuiz di atas aku ciplak dari Hang Buah. 2) Puteri Binari adalah jenama produk jamu. Hubungi Marilyn untuk testimoni pengguna.
BBQ & BOWLING
Siangnya forum, malamnya BBQ di tepi kolam renang, di rumah Basrie. Ramainya ahli Geng Jurnal (komuniti bloggers) dan Geng Mak Itam (komuniti YM-chatters) yang datang melantak dan melalak.
Esok petangnya (30/01/05), Mat Jan dan kawan-kawan pergi main bowling di Alamanda. Main lapan orang, dua lane. Ada juga kawan-kawan yang hadir sebagai penonton. Cik Daun riak sebagai juara keseluruhan. Kak Pnut riak sebagai orang pertama yang strike. Mat Jan riak sebagai juara lane kanan. Salina riak sebagai err, pembuat kuih lembik-lembik terbaik. Begitu jugalah pemain-pemain lain riak dalam bidang masing-masing.
Tengah malamnya, Tokey Pajak, Mat Jan dan Purbe pergi main second round. Tokey Pajak telah mendapat dua strike dan markah lebih 100 buat pertama kali dalam hidupnya. Akibatnya, dia telah menjadi sangat riak. Riak Cik Daun, Kak Pnut, Mat Jan dan Salina jika dikumpulkan hanya ibarat bebutir pasir di pantai. Tapi riak Tokey Pajak ibarat bebongkah batu di Himalaya.
Sejak 30/01/05 sehingga ke hari ini, Tokey Pajak belum habis-habis melafazkan ayat-ayat riak dan takabbur. Kami ahli PRTM (Persatuan Riak & Takabbur Malaysia) merakamkan rasa simpati kepada Puan Pnut kerana terpaksa menanggung azab mendengar ayat-ayat riak suami puan setiap hari.
# MJ | Permalink
Wednesday, February 02, 2005
APRESIASI
Naga tak bagi aku minum masa sesi pecah air batu. Dia kata Tok Rimau dan Nazmi dah lapar. Kami pergi makan di Restoran Kancil. Naga, seorang graphic designer, berbicara tentang nasib designer di Malaysia, yang katanya underpaid.
Naga: Kalau di luar negara, design simple-simple pun dibayar mahal-mahal. Tapi di sini, design lawa-lawa pun dibayar murah-murah. Sudahlah dibayar murah, dah siap design diorang komen lagi minta tambah itu ini.
Sambil makan, kami hangguk-hangguk.
Naga: Orang kita tak tahu menghargai seni. Hah... inilah akibatnya bila budak-budak sekolah tak diajar APRESIASI SENI. Subjek Pendidikan Seni di sekolah cuma ajar budak-budak melukis, tapi tak ajar menghargai seni.
Sambil hangguk-hangguk, kami makan.
Tok Rimau: Aku dengar kau cari lawyer?
Naga: Ahah. Tanah aku tu, diorang ambil buat highway bla bla bla... (masukkan soalan exam LAW 280: LAND LAW II di sini)
Mat Jan: Kalau ikut undang-undang kita bla bla bla... (masukkan jawapan exam LAW 280: LAND LAW II di sini)
Naga: Ooo... Aku tengok lawyer ni kerja dia senang saja. Dia buat benda yang sama berulang-ulang. Dokumen-dokumen semua dah ada template. Tapi dia charge mahal. Orang mintak kurang pun dia tak bagi. Kerja mudah, charge mahal, apalah...
Mat Jan: Hah... inilah akibatnya bila budak-budak sekolah tak diajar APRESIASI LAWYER...
Sambil makan, kami gelak-gelak.
# MJ | Permalink
|