Friday, January 28, 2005
SUTUN
Aku sedang ber-conference di YM tengah malam itu, bila RTM menayangkan drama Sutun. Aku beritahu kawan-kawan aku ada drama best di TV1. Dan masing-masing buat ulasan di YM selepas menonton.
Jarang-jarang ada drama best di RTM, selalunya drama best di slot Cerekarama TV3. Sayangnya drama Sutun ini tidak ditayang pada waktu perdana, tapi ditayang pada tengah malam. Ramai orang mungkin terlepas cerita yang bagus dan ada pengajaran ini.
Cerita:
Kisahnya Sutun ini pasal Adik, seorang budak lelaki lembut. Di sekolah kena buli dengan budak-budak jantan. Di rumah kena pukul dengan bapak yang malu anaknya lembut. Disebabkan jantan-jantan tulen ini (termasuk bapaknya sendiri) tidak mahu terima dia, maka dia berkawan dengan budak pompuan dan rapat dengan ibunya (kerana mereka menerima dia). Pergaulan dengan pompuan telah melembutkan lagi Adik yang telah sedia lembut.
Satu hari ada seorang budak jantan, Shuq, yang mahu berkawan dengan Adik. Maka budak-budak jahat telah membuat fitnah bahawa Shuq dan Adik adalah pasangan gay. Sampaikan Ustaz kat sekolah pun terpengaruh. "Mintak maaf cakap ya ustaz, golongan pandai agama ni tahu nak menghukum saja, bukan nak membetulkan!" kata seorang cikgu pompuan yang simpati dengan Adik. Cikgu pompuan yang cun ini turut menjadi faktor mengapa aku tonton drama ini sampai habis.
Akibat tak tahan dengan fitnah, Shuq pun tak mahu berkawan dengan Adik. Adik berasa sangat tertekan. Satu hari Adik berjumpa dengan seorang Abang Lembut (aku dah lupa namanya) yang baru pulang dari kota. Abang Lembut ajar Adik pakai lipstick dan pakai wig. Abang Lembut juga ajak Adik cari makan di kota.
Satu hari tu, Adik lari dari rumah. Pergi lorong belakang nak jadi pondan. Nasibnya baik sebab ada seorang pondan tua (lakonan Aziz Sattar) menasihatkan dia supaya balik. Dia pun balik. Bapaknya yang insaf menyambutnya dengan linangan air mata.
Ada sekali tu, budak jahat yang selalu buli Adik lemas kat sungai. Adiklah yang pergi menyelamatkan budak tu. Last-last ada scene bapak Adik menangis di kubur, ingatkan Adik mati, rupa-rupanya mak Adik mati 15 tahun kemudian. Adik dah besar, dah kahwin.
Masa credit title keluar, ada perbualan telefon antara Adik dengan mamat-yang-selalu-buli-dia-tapi-dia-selamatkan itu. Mamat tu kata: "Anak aku lembut macam kau!" (mungkin nak tunjuk kat kita balasan Tuhan?). Adik suruh mamat tu datang ke kliniknya (mungkin nak beritahu kita yang Adik jadi doktor? baca: orang lembut juga boleh berjaya). Tamat.
Komen aku:
1) Cerita ini bagus. Lakonan pun mantap. Memang meninggalkan impak selepas aku menonton. Sesuai ditonton oleh semua anggota masyarakat, termasuk Yaabbna. Golongan "keras" yang tak suka golongan lembut sepatutnya bergaul dan menerima mereka. Menghukum dan menghina hanya akan memburukkan keadaan.
2) Kenapa kita boleh buat drama tv yang best-best tapi tak boleh buat filem yang best-best? Kadang-kadang ada produser yang menghasilkan drama tv yang best, tapi bila dia buat filem... hampeh! Apakah ada syarat yang ditetapkan oleh mana-mana badan: produser yang menghasilkan drama tv yang best perlu menghasilkan filem yang hampeh juga.
NOTA: Aku tergerak menulis entry ini selepas membaca entry Mak Andeh semalam, dan komen Sultanmuzaffar untuk entry itu. Antara lain, Sultanmuzaffar kata: "yahoogroup filemkita dan beberapa forum tgh bercerita ttg drama tersebut". Aku baca perbincangan di yahoogroup filemkita, dan aku dapati ramai orang suka Sutun (kalau tak suka pun, pada ending-nya saja). Mereka puji-puji arahan dan lakonan, dan mahu Sutun di-VCD-kan.
(Aku teringin nak baca review orang lain, SM apa kata anda?)
# MJ | Permalink
CERPENIS & PENCERPEN
"cerpenis? aku ingatkan letak pangkal 'pe' ke depan je jadilah 'pecerpen' macam 'penulis', 'pelakon', 'penipu', 'perogol', 'perompak' etc. kalau camtu tukar la lakonis, tipuis, rogolis, rompakis." -- komen tujuh86 untuk entry aku semalam.
Aku rasa tak boleh kot. Kita tak boleh guna "pencerpen" seperti mana kita guna "penulis", "pelakon", "penipu", "perogol" dan "perompak". Sebab tulis, lakon, tipu, rogol dan rompak adalah kata kerja, sebab tu kita boleh pakai imbuhan "pe-" kat depan. Cerpen bukan kata kerja, jadi kita tak pakai "pe-".
Begitu juga kita tak boleh pakai "lakonis", "tipuis", "rogolis" dan "rompakis" seperti mana kita guna "cerpenis". Sebab lakon, tipu, rogol dan rompak bukan kata nama, jadi tak boleh pakai "-is" kat belakang.
Contoh:
Kalau orang tu kerjanya "tulis cerpen", kita boleh panggil dia: i) penulis cerpen (imbuhan "pe-" + kata kerja "tulis"); atau ii) cerpenis (kata nama "cerpen" + imbuhan "-is")
Kalau orang tu kerjanya "lukis kartun", kita boleh panggil dia: i) pelukis kartun (imbuhan "pe-" + kata kerja "lukis"); atau ii) kartunis (kata nama "kartun" + imbuhan "-is")
Kalau orang tu kerjanya "lakon drama", kita boleh panggil dia: i) pelakon drama (imbuhan "pe-" + kata kerja "lakon"); atau ii) dramatis (kata nama "drama" + imbuhan "-is")
Berdasarkan contoh-contoh tadi, dapat dilihat bahawa imbuhan "pe-" hanya dipasangkan dengan kata kerja (tulis, lukis, lakon), manakala imbuhan "-is" pula dipasangkan dengan kata nama (cerpen, kartun, drama). Jadi, perkataan "pencerpen" (atau "pengkartun" atau "pendrama") aku rasa salah tatabahasa. Begitu juga perkataan "lakonis" (atau "tulisis" atau "lukisis"), aku rasa tak betul.
Diharapkan dengan penjelasan ini, orang tak pertikaikan lagi kenapa "cerpenis" dan bukannya "pencerpen". Pun begitu, aku lebih selesa dengan "penulis cerpen" berbanding "cerpenis" atas sebab-sebab tertentu. Sekian kelas Bahasa Melayu untuk hari ini, ewahhh!!! :P
# MJ | Permalink
Tuesday, January 25, 2005
FORUM GJ
Tajuk:
Weblog: Ruang Ekspresi Idea dan Sastera
Moderator:
Nazmi Yaakub Wartawan Berita Harian, Cerpenis*, Novelis, Blogger
Ahli Panel:
Sri Diah Editor Kanan di Penerbitan Karangkraf, Novelis Alaf 21, Blogger
Nisah Haron Peguam, Cerpenis, Novelis, Blogger
Ghazali Bunari (Tok Rimau) Pensyarah Universiti, Presiden Geng Jurnal 2004, Blogger
Tarikh: Sabtu, 29 Januari 2005
Masa: 3:00 petang
Lokasi: Rumah PENA, Kuala Lumpur (Depan Wisma MAA, dekat Restoran Tupai-Tupai & Bangunan DBP)
Minum petang disediakan.
Marilah kita beramai-ramai memeriahkan majlis.
* cerpenis = penulis cerpen. tidak ada perkataan cervagina, harap maklum.
# MJ | Permalink
EPISOD AKHIR
Dia kahwin dengan Rosyam. Tamat.
# MJ | Permalink
Friday, January 21, 2005
10 ZULHIJJAH
Hari Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga Dan diturunkan ke bumi bertemu di Arafah Hari berakhirnya ibadat Haji Dan bermulanya ibadat korban Hari solat sunat Aidiladha ditunaikan Dan menziarahi tanah perkuburan Hari baju raya digayakan Dan memohon kemaafan Hari menjamah makanan Dan melawat saudara-mara serta kawan-kawan
SELAMAT HARI RAYA
# MJ | Permalink
Thursday, January 20, 2005
JUARA LAGU
Yaabbna menjerit-jerit setiap kali idolanya muncul di kaca tv. "Anuar Zainnn!!! Anuar Zainnn!!! Ahhhh!!!!!!!"
Aku terhibur dengan lawak double-meaning pengacara ber-BAKAT besar Sarimah dan pengacara berbakat rata Najip Ali. Menonton bersama kawan-kawan membolehkan aku ketawa tanpa sempadan. Kalau menonton bersama keluarga, aku mungkin ketawa dalam hati saja. Cuma kadang-kadang leteran pengacara meleret-leret dan aku menjadi bosan. Najip Ali, kadang-kadang, macam HAFAL skrip tapi tak faham apa yang dihafalnya. Maka selalu dia tertinggal satu-dua perkataan dalam ayatnya, contoh: "Anugerah Lagu 19" (sepatutnya: Anugerah Juara Lagu ke-19) dan beberapa lagi ayat yang jadi tak masuk akal.
"Kalaulah aku di tempat Cheryl Samad," kata Yaabbna bila Anuar Zain memegang tangan Cheryl dan menyanyikan Semua Untukmu.
Persaingan untuk kategori Irama Malaysia dalam Muzik-Muzik tahun lepas tidak sengit. Cuma 14 lagu bertanding, dibandingkan dengan 60 lebih lagu untuk Pop Rock dan Balada (betulkan aku jika salah). Bila 14 lagu saja bertanding untuk merebut 4 tempat di final, maka tidak hairanlah lagu dendangan Sharifah Zarina (siapa?) pun boleh masuk. Aku kira persaingan Irama Malaysia hanya antara Hatinya Tak Tahan (Noraniza Idris) dan Nazam Berkasih (Syura), lagi dua lagu aku anggap sebagai "pelengkap" saja. Maka kemenangan Erti Hidup (Dayang Nurfaizah) memang mengejutkan aku.
Persembahan Syura dan Sharifah Zarina ada unsur-unsur Noraniza-isme (i.e. penari satu kampung, serta penyanyi diarak dan dijulang). Takkan Irama Malaysia persembahannya mesti macam tu? Tak ada originaliti. Lagi, gaya nyanyian Syura macam Siti.
Karam Singh Walia adalah ikon alam sekitar. Maka budak-budak rap itu memancarkan Karam di skrin semasa persembahan selingan.
Hanya kemenangan Dayang untuk Irama Malaysia mengejutkan aku. Kemenangan Noraniza (persembahan terbaik), Misha Omar (vokal terbaik), Relaku Pujuk (Pop Rock) dan Pulangkan (Balada), pada aku, memang tepat dan layak. Cuma aku rasa pada tahun-tahun depan, perlu diasingkan Vokal Lelaki Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik... dan jika perlu, satu lagi kategori untuk penyanyi yang tak dapat dipastikan jantinanya. (Geng Jurnal mendahului hal ini dengan mewujudkan tiga kategori untuk Anugerah Weblog Terbaik :P).
Aku memang menjangka Relaku Pujuk, dan bukan Pulangkan, memenangi Juara Lagu kali ini.
Yaabbna menangis teresak-esak kerana Anuar Zain tak menang apa-apa.
# MJ | Permalink
Friday, January 14, 2005
BAHASA ISTANA 101
HARI ini kita akan belajar beberapa perkataan dalam bahasa istana.
 NOTA: dari perkataan itulah kompleks membeli-belah Alamanda di Putrajaya mendapat namanya. Sekian terima kasih.
# MJ | Permalink
SUKU ABAD
Mat Jan: SELAMAT HAPPY BIRTHDAY!!!
Cik Wan: Hehehe...
Mat Jan: Apakah perasaan anda menyambut ulangtahun jubli perak?
Cik Wan: Perasaan? Hehe... rasa makin muda hikhikhik!
Mat Jan: Tu bukan PERASAAN... tu PERASAN!
 Gambar: birthday party Cik Wan. "Tiap-tiap tahun potong kek, tahun ni potong orang pulak! Nyam nyam!" ujar Cik Wan.
# MJ | Permalink
Wednesday, January 12, 2005
PESONA PENGANTIN
 MESKIPUN pernikahan bagi penulis blog terkenal Kak Max, dan pasangannya Abang Misai, sudah tiga minggu berlalu, namun seri pengantin masih lagi kelihatan di wajah mereka. Mereka diijabkabulkan pada 18 Disember 2004, dan disatukan di atas pelamin pada 30 Disember lalu bertempat di kediaman keluarga Kak Max. Pasangan pengantin ini memilih ungu sebagai warna tema.
Atas permintaan ramai: KLIK SINI UNTUK MELIHAT 70 KEPING GAMBAR PENGANTIN.
Selain kisah perkahwinan Kak Max, majalah Pesona Pengantin bulan ini turut memuatkan kisah-kisah menarik yang lain -- Kisah & Teladan: Tiga tahun tipu kekasih, akhirnya kantoi sudah berkahwin anak enam. Kemusykilan Agama: Ustaz Ghazali Bunari menunjukkan cara-cara beristinjak dengan betul. Dan banyak lagi kandungan yang memikat sukma, dapatkan di pasaran!
# MJ | Permalink
Tuesday, January 04, 2005
BUKAN JAGUH KAMPUNG
Tahniah kepada pasukan Malaysia. Mereka bukan jaguh kampung seperti mana yang kita sangkakan...
...di kampung sendiri pun kita kalah hapa :)
# MJ | Permalink
|