Tuesday, December 27, 2005
SUNDAL ROCK CILOK
Ini review 3-dalam-1. Macam syampu. Guna jari pun boleh.
1) PONTIANAK HARUM SUNDAL MALAM II
Bulu roma aku berdiri sepanjang filem ini. Dan aku menggigil-gigil.
Ketakutan? Tidak. Kesejukan!
Celaka punya panggung. Tak bolehkah tinggikan sikit suhu pendingin hawa?
Sebagai sebuah filem, PHSM II sebuah filem yang baik. Jalan ceritanya. Aksi lawan-lawan dan terbang-terbangnya. Rekabentuk setnya. Tempat-tempat dalam cerita ni (Paku Laris, Tepian Tersorok, Pasar Duma) aku nampak macam keseluruhan cerita ni dibuat di Indonesia. Sebenarnya tidak. Mereka buat di Ulu Yam, Bukit Cahaya Seri Alam, dan Taman Mini Melaka juga. Terror sungguh mereka buat tempat-tempat ni.
Tetapi, sebagai sebuah filem seram, aku rasa (diulang: AKU rasa) filem ni bukan filem seram yang baik. Filem seram yang baik adalah filem yang buat penontonnya rasa berdebar dan rasa tegang sepanjang filem. Filem ini cuma buat aku rasa berdebar dan rasa tegang di satu dua tempat saja. Babak paling mendebarkan: Maya Karin, yang pakai kutang kebaya, tunduk-tunduk dan nampak cleavage. Babak paling tegang: shot belakang Maya Karin dalam kain batik ketat. Dalam sejuk-sejuk dan tegang-tegang begini, melihat Maya Karin berkutang kebaya dan berbatik ketat, aku rasa macam nak err... minum koko panas :)
(Sensei Naga yang ajar.)
Lagu tema "Ku Seru" pun tak berhantu macam lagu "Pulangkan" dulu.
PHSM II menjelaskan benda-benda kabur dalam PHSM. Selepas Meriam mati, Maria dibesarkan di Kampung Tepian Tersorok. Zali lari dari rumah dan menjadi Joyo ("Aku Joyo, goblok!") bila tiba di Tepian Tersorok. Joyo, yang jatuh cinta dengan Maria (yang dirasuk Meriam) mencuri whip (cemeti?) Tok Guru. Lepas tu mereka berkelana dan tinggal sebilik. Perhatikan: Joyo, Maria, cinta, whip, tinggal sebilik. Aku syak mereka pengamal sadism & masochism :)
Di akhir cerita, Meriam keluar dari badan Maria. Maria dapat balik harta pusaka ibunya. Dendam pontianak berakhir. Semua orang hidup gembira selama-lama. Sayang sungguh. Sepatutnya, selepas dendamnya berakhir, pontianak tak harus sia-siakan kebolehan terbangnya. Dia sepatutnya mencontohi makhluk asing dari planet Krypton itu, yang menggunakan kebolehan terbangnya untuk kebaikan.
(Seperti Superman, Maya Karin juga akan tampak hebat dalam spender merah.)
2) ROCK
Zack, masa muda-muda nak jadi rocker, bila dewasa jadi posmen. Menonton filem ni buat aku teringat aku dan sepupu-sepupu aku. Masa kecil-kecil dulu nak jadi rocker, bila dah besar jadi lain (baca entry ROCK UUU). Tapi betul, masa tu semua orang nak jadi rockers. Semua orang nak ada band sendiri. Zack dan kawan-kawan Rimba Baranya dah habis sekolah, tu yang masuk Battle of the Bands tu. Aku dan sepupu aku, masa zaman tu, masih sekolah (rendah & menengah). Agaknya, kalau kami lahir 10 tahun lebih awal, kami pun masuk juga :)
(Sepuluh tahun kemudian, aku dah tak rock lagi. Aku dengar gangsta rap. Snoop Dogg. Dr Dre. Tupac. Ya, bunuh aku!)
Cerita Rock ini, arahan Mamat Khalid, macam telefilem arahan dia. Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel, Pukul Dua Petang, Pinang Durian, dan sebagainya. Cerita tentang cabaran-cabaran yang ditempuh dalam menuju destinasi. Lepas satu, satu. Kalau kau suka komedi Mamat Khalid di TV, kau mesti suka Rock.
Babak lagu "Dari Sinar Mata" berkumandang setiap kali Zack terlihat aweknya mengingatkan aku pada filem Buli -- lagu "Ayu" berkumandang setiap kali Nordin terlihat Dr Ika.
Babak-babak yang aku suka:
i) Klip video "Dari Sinar Mata". Kah kah! Teringat klip video Muzik-Muzik dulu-dulu. Macam itulah.
ii) "Eh, hensemnya mamat tu," anggota Foxy Ladies tunjuk Zack. Kawan dia jawab, "Orang nama Mamat memang hensem!". Lawak pengarah memuji diri sendiri.
iii) Lawak muntah. Seingat aku, lawak jijik dalam filem Melayu, lawak minum air kencing dalam Senario Lagi, dan lawak kahak dalam Lagi-Lagi Senario dan Biar Betul. Tiga-tiga filem Aziz M Osman. Dalam Rock, ada lawak muntah. Kalau kau baca introduction yang aku tulis dalam ebook JJ2001 (lawak taik), kau tahulah, aku pun pengamal lawak jijik :)
iv) Masa Zack pergi interview kerja gomen. Ada "orang dalam". Ada "surat sokongan". Ada dialog "Ayah kamu dah dapat tender yang pakcik luluskan?" dan "Interview ni rutin saja". Kronisme & nepotisme. Lepas tu kat dinding ada poster "Bersih, Cekap, Amanah". Pehhh... tajam menikam!
Pada aku, ini filem komedi tempatan terbaik untuk tahun 2005.
3) BAIK PUNYA CILOK
Penuh panggung masa aku pergi tengok. Aku tengok Rock pun masa hari pertama tayangan, tapi tak penuh pun panggung. Baik Punya Cilok ni, penuh panggung. Cerita ni macam cerita misteri la, siapa cilok siapa? Afdlin memang suka kot cerita-cerita macam ni, kau tengok VCD Kelibat?
Cerita dia okay. Tapi lawak dia, aku rasa, ada sikit kuranglah. Kalau banding dengan filem pertama Afdlin, Buli, aku lebih suka Buli. Baik Punya Cilok ni, lawak dia biasa-biasa saja. Lawak AC Mizal tak boleh cakap bohong tu macam lawak Jim Carrey dalam Liar Liar, sebijik. Aku lebih banyak gelak sewaktu menonton Rock. Menonton Baik Punya Cilok ni aku tak gelak, aku sengih-sengih saja.
Kalau kau memang peminat fanatik Afdlin Shauki, bolehlah tengok filem ni.
...
Sekian tiga filem tempatan terakhir yang aku tonton tahun ini. Aku sebenarnya happy tahun 2005 ni tengok filem-filem kita banyak yang best-best, dan ada kelainan berbanding filem-filem sebelum ni. Termasuk tiga filem yang aku "review" hari ni. Nampaknya, tahun 2005 ni, formula Datuk dan Profesor dah tak jalan. Aku dengar orang kata, tahun ni, Sembilu 2005, Gerak Khas 3, Cinta Fotokopi dan Lady Boss tak laku. Mereka tak boleh guna alasan "kami buat filem untuk penonton" lagilah :)
Harap-harap 2006 perkembangan ni berterusan. Labels: filem
# MJ | Permalink |
|