Monday, December 19, 2005

ROCK UUU

Masa tu aku dan Ayi sekolah rendah. An dan Abang Di sekolah menengah. Tentunya An dan Abang Di lebih maju. Mereka pakai seluar jeans ketat dan kasut Aliph Hi-Cut Rider. Aku dan Ayi hanya telan air liur dan bercita-cita, "bila besar nanti kami nak jadi macam An dan Abang Di". Abang Di kata lepas sekolah nanti dia nak simpan rambut panjang dan jadi rocker.

Kami dengar Search, Wings, Lefthanded, May, Bumiputra Rockers. Wings yang kami paling dengar. An, yang paling kreatif antara kami, bertukang buat gitar karan bercabang daripada papan. Papan ambil kat bangsal belakang rumah tok. Gitar bercabang tu dicat corak harimau belang tapi warna merah dan biru (sebab cat warna tu saja yang ada kat bangsal). Dawai langsir bilik Mak Teh, An ambil buat tali gitar. Paku satu di hujung, paku satu di pangkal. Toing toing saja bunyinya bila dipetik.

Aku. Guitarist.

Ridhwan, yang belum sekolah, set permainan bowling plastiknya kemudian tak cukup dua pin. Sebab An ambil buat kayu drum. Set drum? Meja solek Mak Teh. Bila diketuk-ketuk dengan pin bowling Ridhwan, bunyinya macam drum jugalah.

An. Drummer.

Radio Pak Su. Boleh record. Ambil kaset Pak Su lama-lama, macam Blackout oleh Scorpions yang gambar kulitnya orang menjerit dan cermin pecah itu, dan anggapkannya kaset kosong. Masukkan ke dalam deck. Record.

Abang Di. Vocalist.

Dum degedum degedum degedum degedum! Toing toing toing! "Hiiidup bagaikan pentas opeeera! Tirai hi..."

"Weiii... aku nak main apa?" tanya Ayi. Yang paling muda antara kami. Yang tersisih. Yang selalunya tersisih.

Tekan stop. Rewind. "Emmm... ha!". An ambil pemegang lilin (candle holder) tembaga bercabang empat, dan dua batang sudu. "Hang ketuk ni dengan camca!". Ting tong ting tong bunyinya. Macam, err, gamelan.

Ayi. Gamelanist.

Tekan record. "Three four". Dum degedum degedum degedum degedum! Toing toing toing! Ting tong ting tong! "Hiiidup bagaikan pentas opeeera! Tirai hidup dibukaaa... Cerita pun bermulaaa... Wo wo wo wo!"

Selepas sembilan setengah lagu (setengah, sebab kaset habis), siaplah album sulung kami. Rock dengan suntikan elemen tradisional (gamelan). Buang kulit Blackout. Potong kertas ikut saiz kulit kaset. Ambil pen merah dan pen biru.

An. Designer.

An: "Apa nama band kita?"

Abang Di: "Emmm... RAFALS!" (dieja "Rafals" disebut "Refels")

An tulis "RAFALS" di kulit album, dengan rekabentuk nama kumpulan rock yang macam kita lihat di kulit album. Warna merah ber-outline biru. Siap.

An: "Err... Rafals tu apa?"

Abang Di: "Senapang la, senapang!"

Aku: "Rifles la!" (aku, yang paling pandai mengeja, antara kami)

Abang Di, yang paling tua antara kami, mungkin tercalar egonya, ditegur aku yang lebih muda. Abang Di: "Saja eja macam ni, sebab err, R tu Rozaidi (nama Abang Di), AF tu Ahmad Farhan (nama An), A tu err Ayi! L, aaa... L, aaa... haaa, L tu Loq Setaq bandar kelahiran band kita, dan S tu Syafizan (nama aku)"

Aku: "Awat yang lain nama penuh tapi Ayi dak? Sepatutnya Zubairi. Dan, sejak bila Alor Setar dieja Loq Setaq? Kalau ikut macam tu, jadi RAFZAS, bukan RAFALS!"

Abang Di: "Hang ni banyak tanya la! Nak jadi rocker ka nak jadi loyer?"

Lepas sekolah. Teka, siapakah antara kami yang akhirnya, mencapai cita-cita menjadi rocker?

Aku, pergi law school. Out!

An, industri makanan. Out!

Ayi, Diploma Latihan Chef (kini dikenali Diploma Seni Kulinari). Out? Belum lagi. Sebab, kemudiannya, Ayi buat Ijazah Sarjana Muda Muzik, major instrument: gitar dan viola. Dia semakin hampir. Adakah dia menjadi rocker? Tidak. Dia buat MLM sepenuh masa. Dialah yang nak jual viola tu. (Di Shah Alam orang panggil dia "Abang Ali" sempena nama tuan rumah Kasim Selamat, kerana gaya cakapnya macam M Zain). Out!

Abang Di, pergi Politeknik, buat Diploma Kejuruteraan. Dan, kemudiannya, ke United Kingdom, buat Ijazah Kejuruteraan. Pulang ke Malaysia, menjadi jurutera, sekejap saja. Berhenti. "Tak sesuai dengan jiwa aku la!". Ya, akhirnya!

Adakah Abang Di menjadi rocker, berseluar ketat, berambut panjang, seperti dikatanya ketika sekolah?

Tidak.

Abang Di masuk sekolah pondok. Dan kini, menjadi ustaz, berjubah dan berserban.

Ohh... hiiidup bagaikan pentas opeeera... muzik hidup bergemaaa... aksi insan bermulaaa... wo wo wo wo!

NOTA: Ridhwan, dalam SUKMA yang lepas, gagal mendapatkan pingat untuk negeri, dalam acara bowling, sebab jatuhan pin tertingginya adalah 8. Tidak salahkan dia, masa kecil dulu dia berlatih dengan 8 pin saja.