Friday, September 16, 2005

KL MENJERIT 1


Bukan saja meninggalkan Honda dan Yamaha untuk anak-anak Melayu merempit dan mati tengah jalan, penjajah Jepun juga mewariskan amalan rogol berjemaah kepada mat-mat rempit kita. Ini yang aku belajar dari menonton filem kita, Embun, Janji Diana, dan yang terbaru, KL Menjerit 1.

Khatijah (lakonan Sheera, anak Aznah Hamid), pelajar perubatan yang cemerlang pada tiga tahun pertama pengajian, tapi merosot prestasi akademik pada tahun ke-4. Bukan sebab dia terlalu aktif dengan kegiatan kokurikulum seperti, err, seorang mamat yang aku kenal tu. Tapi sebab depresi mental selepas pengalaman traumatik dirogol beramai-ramai oleh sekawan mat rempit. Inilah, adik-adik, risiko ber-boyfriend-kan mat rempit. Uuu...

Seperti Intan Sarafina dalam Janji Diana, yang bercinta dengan mat rempit, dan dirogol berjemaah oleh kawan-kawan boyfriend-nya, Khatijah dalam KL Menjerit 1 juga bercinta dengan mat rempit, Sam (Zulhuzaimi), dan diratah berjemaah. Lebih menyayat hati, acara ratah berjamaah Khatijah diimamkan oleh boyfriend-nya sendiri. Uuu...

Meski akhbar (Harian Metro terutamanya) sering memaparkan kisah anak gadis kita dirogol beramai-ramai oleh mat rempit, Janji Diana dan KL Menjerit 1 memainkan peranan suci, memberi harapan kepada anak-anak gadis kita, yang dalam banyak-banyak kaki tebuk itu, masih ada "MRM" (mat rempit mulia). Intan Sarafina dalam Janji Diana dipertemukan dengan MRM Fazley, manakala Khatijah (KL Menjerit 1) diaturtemukan dengan MRM Ku (lakonan Que Haidar). Jadi, adik-adik, janganlah bimbang bercinta dengan mat rempit, boyfriend adik mungkin dari golongan MRM ini.

Que Haidar. Yang rambut macam Rangga AADC tu. Que Haidar.

Selain "mat rempit" dan "rogol berjemaah", persamaan KL Menjerit 1 dan Janji Diana adalah "Rosyam dan Erra". Dalam KL Menjerit 1, sekali lagi Rosyam (sebagai Shahrol) dan Erra (Nina) dipasangkan sebagai mamat dan minah yang bawa motor besar.

Menyamar

Dalam "KL Menjerit 2" dulu, Faizal Hussein yang berlumba dengan Shahrol (Rosyam) itu rupa-rupanya pelumba profesional yang menyamar sebagai mat rempit untuk rekrut Shahrol sebagai pelumba negara. Dalam "KL Menjerit 1" pula, Nina (Erra) yang berlumba dengan Shahrol rupa-rupanya (o'oh spoiler) polis yang menyamar sebagai minah rempit untuk menyelesaikan kes rogol Khatijah!

Aduh. Agaknya kalau ada KL Menjerit 3, KL Menjerit 4, KL Menjerit 15, KL Menjerit 78 nanti, orang-orang yang berlumba dengan Shahrol itu mungkin wartawan Edisi Siasat, pensyarah universiti, exco Pemuda UMNO, atau Pengarah Jabatan Agama Islam, yang menyamar sebagai mat rempit untuk mencari bahan siaran, membuat kajian PhD tentang kegiatan lumba haram, merekrut ahli Putera atau memberi bantuan tuala/selimut/sabun/vitamin/susu kepada mat rempit.

Eh, sekejap, entah-entah negara kita tak ada pelumba haram pun. Yang kita tengok malam-malam itu sebenarnya orang-orang yang menyamar sebagai mat/minah rempit atas kehendak tugas. Woahhh...

Terahsia

Dalam cerita ni, kisah Khatijah dirogol ramai-ramai tak diketahui keluarga, pensyarah dan rakan pengajiannya! Bukannya tak report polis, dia report. Bukan dia kena dalam hutan, tapi kat Dataran Merdeka sewaktu sambutan malam merdeka. Takkanlah cerita tu tak masuk surat khabar. Bukankah berita "rogol ramai-ramai" pelaris surat khabar, mengetepikan berita tokoh negara seperti Pak Lah dan Mawi?

Atau cerita tu masuk suratkhabar, tapi keluarga/pensyarah/rakannya tak baca? Mustahil. Ahli keluarga/pensyarah/rakan yang lelaki mesti baca berita rogol. Oit oit, kau boleh skip berita Katrina, atau keganasan Selatan Thai, tapi pantang anak jantan skip berita rogol!

Tapi mujurlah, Khatijah, sekurang-kurangnya, mengalami depresi mental setelah dirogol beramai-ramai. Tidak seperti Embun. Kontra dengan apa yang nenek kita cerita, zaman Jepun anak dara tak keluar rumah, Embun bukan saja keluar sidai baju berkemban, malah pergi ke markas Jepun pakai kebaya ketat dan jarang. Lepas kena rogol ramai-ramai dengan Jepun pun, masih boleh rileks berkawan dengan askar Jepun (Aqasha) tu. Lalala!

Dalam KL Menjerit 1, Khatijah digambarkan trauma, peristiwa hitam itu sentiasa terbayang dan mengganggu fikiran. Berkawan dengan Ku, mat rempit mulia, pun dibayangi ketakutan.

Anti Penuaan

Filem ini adalah prekuel kepada KL Menjerit yang terbit tahun 2002. Sebagai prekuel, Shahrol patut kelihatan lebih muda kan? Tapi sebab Rosyam semakin tua, maka Shahrol pun nampak lebih tua ketika mudanya.

Okaylah, nak sedapkan cerita, kita bayangkan saja, Shahrol dalam sekuel (KL Menjerit 2) itu cucuk botox dan vitamin C supaya nampak lebih muda :)

Dialog

Skema sangatlah. Kalau longgarkan sedikit, tak terlalu ke-buku-an, akan lebih menarik. Que dan Sheera nampak terikat sangat dengan skrip. Tengok Zulhuzaimi, walaupun babak dia sedikit, tapi lafaz dialognya nampak natural.

Dan kalau Rosyam dan Que bersembang sesama mereka dengan sedikit bunyi utara kan bagus. "Aku-kau" jadi "aku-hang" misalnya. Sebab dalam cerita ni, kedua-duanya kawan sekampung, dari Perlis. Que okaylah memang kerja di KL. Rosyam tak pernah keluar kampung, tiba-tiba pergi KL, bercakap "aku-kau" dengan Que.

Kalau aku pergi KL dan "cakap KL" dengan kawan senegeri, mau kena terajang.

Dan Apek, seperti biasa, muncul dengan aksi dan dialog yang tak menyumbang apa-apa kepada jalan cerita, sekadar menyuntik komedi. Okaylah, tersengih jugalah aku dengan lawak dia kali ni.

Aksi

Ketepikan jalan ceritanya yang biasa dan boleh-agak. Ketepikan unsur kitar semula Janji Diana (mat rempit rogol berjemaah) dan kitar semula KL Menjerit 2 (mat rempit menyamar). Ketepikan unsur tak logik (kena rogol ramai-ramai tapi orang tak tahu, dan Shahrol yang anti-penuaan). Ketepikan dialog lemah. Masih ada yang best dalam KL Menjerit 1. Aksi perlumbaan dan kemalangannya nampak real dan shot diambil dari sudut-sudut yang menarik. Ini memang kepakaran Bade, aku terhibur tengok scene lumba dan accident dalam KL Menjerit (1 & 2) dan dalam Gangster.

KL Menjerit 2 karya Bade menang Filem Terbaik dalam FFM ke-16 menewaskan Embun (karya Erma, isteri Bade). Bukan sebab dia bagus sangat. Tapi sebab tahun 2002 dulu filem lain teruk-teruk. Untuk KL Menjerit 1 mengulang kejayaan ini tentulah sukar, sebab sekarang ada filem kita yang lebih best.

Kesimpulan: Jika kau enjoy aksi lumba motor dan langgar-langgar, tapi tak berpeluang menontonnya di jalan raya, bolehlah layan cerita ini. Kalau tidak, better spend duit tiket tu makan nasi kandar. Berapa bintang aku kasi? Lima bintang! (Untuk nasi kandar of course)

Labels: