GGPP

Awek jual tiket wayang di kaunter GSC Gurney Plaza yang cun gila babi nak mampos. Kotak popcorn yang cantik, ada iklan "The Myth", filem Cina (lakonan Jackie Chan) yang ada aktres Hindi, Mallika Sherawat. Trailer "KL Menjerit 1" (prekuel, bukan sekuel, "KL Menjerit") yang babak lumba motornya hebat (siapa mamat yang rambut macam Rangga AADC yang berlakon cerita ni?). Trailer "The Legend of Zorro" yang menghiburkan, Antonio Banderas jadi Zorro tanpa misai, dan Catherine Zeta-Jones yang uuuhhh... ber-BAKAT besar.
Okay, sekurang-kurangnya aku dah menikmati empat perkara di atas, sebelum "Gila-Gila Pengantin Popular (GGPP)" start, kalau pun dia tak best. Itu yang aku fikir mula-mula, memandangkan GGPP tak ada review positif di Internet, berbanding "Gol & Gincu" yang berceragah orang review. Tapi, GGPP buat aku ketawa berdekah-dekah dalam pawagam!
GGPP adalah sindiran tajam menikam terhadap rancangan realiti tv Malaysia. Nama "Akademi Idola" sudah tentu dicedok dari Akademi Fantasia dan Malaysian Idol. Memikirkan sindiran ini dibuat oleh Aziz M Osman, menjadikannya lebih menghiburkan, kerana Aziz sendiri pun terlibat secara langsung dalam rancangan realiti tv paling hampeh di Malaysia -- Audition.
Erra Fazira membawa watak Sheera, Pengetua Akademi Idola. Norman Hakim pula menjadi penerbit rancangan itu. Norman Hakim (penerbit) digambarkan mengawal segalanya, dari pemilihan peserta, nama glamour peserta, hinggalah kepada perjalanan karier peserta. Erra (pengetua) hanya menjadi boneka. Ini mengingatkan aku pada isu kontroversi, Mawi dan Marsha dipilih oleh pengetua (M Nasir) dan tenaga pengajar, atau dipilih atas kehendak penerbit (ASTRO)?
Linda membawa watak Fatimah, juara Akademi Idola, yang berasal dari kampung, dan sudah bertunang. Bunyi familiar? Sibuk dengan show selepas menjadi juara, Fatimah menangguh perkahwinannya dengan Zul (Saiful Apek). Linda berlakon menggunakan suara orang lain, untuk cover accent Sabahnya mungkin.
Yusof Haslam cameo sebagai salah seorang pengkritik dalam Akademi Idola sewaktu Linda menyanyi, dan melafaz kembali komen (antara yang paling diingati dalam AF): "pesona bintang!"
Afdlin Shauki membawa watak Awin, bekas penyanyi kumpulan rock kapak 90-an, yang hilang populariti kerana terlibat dengan dadah, dan keluar masuk pusat serenti. (Saleem Iklim?). Menjadi seniman jalanan, Afdlin aku rasa mencipta skrip sendiri sewaktu menyanyi di tempat makan dan bus stop. Lagu-lagu dengan melodi yang sedap, tapi liriknya lawak merapu. Antara liriknya: "tidakkah kau takut dengan selesema burung?" dan "bayarlah sewa rumah, kalau tidak tuan rumah marah."
Satu lagi, ketika Afdlin menyelamatkan Erra dari dirogol. Cara penjahat tu attack Afdlin, aku tahu itu idea Afdlin. Dalam filem "Buli", Nordin (lakonan Afdlin) pernah cerita pada Dr Ika (Nasha Aziz) tentang "attack" cara itu, bila dia kena buli. Aku rasa, Afdlin banyak "menyelamatkan" cerita ini. Aksi dan kata-kata Afdlin yang banyak buat penonton ketawa.
Nora Danish. Housemate Erra dalam GGPP. Nora cuteeeeee! Tapi aku meluat cara dia bercakap. Macam budak tadika. "Kita panggil seeeeeemua orang datang."
"Lawak pekak" oleh bapa Linda (aku tak tahu nama pelakonnya), tidak menggeletek aku langsung. Lawak pekak mungkin menghiburkan dalam filem-filem P Ramlee, tetapi bila diulang-ulang dalam filem dari generasi ke generasi, dah tak ada kesan!
Tajam Menikam
Sindiran paling tajam, aku rasa, terhadap cara ASTRO mengaut keuntungan dalam AF3. Tak cukup dengan AFUNDI, depa buat AFVOKAL dan AFBAIK. Sewaktu Linda dalam dilema hendak berkahwin dengan siapa, GGPP menyindir benda ni.
Bila Fatimah (Linda) tak tahu nak kahwin dengan Herman (Norman Hakim) atau Zul (Saiful Apek) pun, stesen tv menyuruh penonton membuat undi SMS! (Ada benda yang buat aku ketawa berdekah-dekah ketika babak ini. Aku tak mau cerita, nanti aku spoil orang yang belum menonton.)
Selepas keputusan undi SMS, pengacara rancangan berkata, "Terima kasih kerana mengkayakan syarikat telekomunikasi!"
Poster Yang Celaka
Siapa yang reka poster GGPP? Aku nak sekeh kepala dia. Poster spoil jalan cerita! Linda dalam dilema antara Norman Hakim dan Saiful Apek. Kalau tak kerana poster, penonton bukan saja suspen siapa yang Linda kahwin, malah ramalan penonton lebih berat kepada Apek, kerana:
i) Apek mendapat undi SMS yang tinggi
ii) Norman Hakim cintakan Linda hanya setelah dia popular, tetapi Apek cintakan Linda semasa dia belum popular lagi
iii) Norman Hakim digambarkan hendak berkahwin dengan Linda kerana Linda boleh bantu dia buat duit, tetapi Apek hendak berkahwin dengan Linda kerana kejujuran dan keikhlasan (awww... how sweeeetttt!)
Tetapi, terima kasih kepada poster yang celaka, unsur kejutan dalam filem ini termusnah. Kita dah boleh agak siapa yang Linda kahwin. Penonton tidak suspen lagi, kerana dalam poster, dia dah susun tiga pasang pengantin. Norman Hakim dengan Linda, Saiful Apek dengan Nora Danish, dan Afdlin dengan Erra.
Kalau tak kerana poster, penonton akan lebih enjoy cerita ini.
Kesimpulan
Yang best:
- Jalan cerita yang original, bukan copy cerita Hollywood
- Lawak macam kartun (terutama Afdlin)
- Sindiran tajam terhadap Akademi Fantasia (dan rancangan adik-beradik dia)
- Nora Danish yang menyelerakan
Yang hampeh:
- Lakonan Erra dan Nora yang dok tang tu jugak.
- Lawak Apek yang biasa kita lihat dalam filem-filem lakonan Apek yang lain. Sekali tengok okay ah. Selalu sangat, bosan!
- Unsur kejutan dalam filem dirosakkan oleh poster.
GGPP menghiburkan. Tetapi bukan yang terbaik dalam siri Gila-Gila Pengantin. Yang terbaik adalah Gila-Gila Pengantin Remaja (GGPR), komedi dengan subliminal message pertentangan golongan muda dan golongan tua. GGPR membawa persoalan pro dan kontra dalam isu pertembungan generasi, melalui filem yang nampak ringan. (Bacaan tambahan tentang GGPR: entry "Imejan II" oleh Pika.)
Labels: filem

<< Home