Monday, April 04, 2005
ANUGERAH BINTANG POPULAR
 Jika Anugerah ERA kita dikejutkan dengan kemenangan Mirwana dan Nassier Wahab, serta kekalahan Siti, Anugerah Bintang Popular (ABP) semalam tak ada kejutan langsung. Jadi aku tak mahu ulas senarai pemenang.
Secara keseluruhannya aku berpuas hati dengan perjalanan ABP. Aku paling suka persembahan "Baik Punya Cilok" oleh Afdlin Shauki, AC Mizal, Hans Isaac dan Awie.
Aku terhibur bila Salih Yaccob mengajuk suara orang. Salih biasanya ajuk Nordin Ahmad. Semalam lepas Rabbani menang, Salih cakap macam Nik Aziz. Dan Salih ajuk cakap Pah Bedah juga ("Pah Bedah" watak drama "Orang Gaji 41").
Namun, sebagai seorang Mat Jan, mesti ada benda yang aku tak puas hati. Ini antaranya:
Tak puas hati #1: mikrofon tak berfungsi. Sekali ketika Reshmonu menyanyi. Sekali lagi ketika Yusof Haslam nak berucap. Nasib baik Ogy dan Salih profesional. Pengacara yang baik, pada aku, bukan saja pengacara yang pandai bercakap tapi pandai menyelesaikan masalah tak diduga.
Tak puas hati #2: aku, yang menonton tv, tak puas hati bila Misha Omar nyanyi medley Uji Rashid tiba-tiba terpotong untuk iklan. Sekali lagi masa persembahan penutup Kembara. Tengah M Nasir nyanyi Hati Emas tiba-tiba rancangan habis. Tak sukanya aku. Macam tengah sedap-sedap makan tiba-tiba tergigit buah pelaga!
Tak puas hati #3: bentuk "treble clef" trofi. Sama macam trofi Juara Lagu (JL). JL tak apalah, memang pertandingan lagu, sesuailah treble clef. Tapi ABP kategorinya PELBAGAI: penyampai radio, pengacara tv, artis komedi, penyanyi, pelakon. Pada aku, trofi treble clef tu tak sesuai kerana bersifat "muzikal" saja. Trofi kalau bentuk bintang, atau ada motif bintang, lebih sesuai dengan Anugerah BINTANG Popular.
Bukan Melayu
Selepas Francisca Peter menang kategori "Penyanyi Wanita Popular" pada 1987, tidak ada lagi artis bukan Melayu menang apa-apa kategori dari tahun 1988 hingga 1997. Bukan saja nak menang, nak tersenarai dalam Top 5 pun susah. Supaya mereka tak terus tersisih, Berita Harian (BH) memperkenalkan kategori "Artis Bukan Melayu Popular" mulai 1998. Kategori itu dimenangi oleh Sathiya (1998-2001), Hans Isaac (2002-2003) dan Vince (2004).
Tetapi melihat calon-calon yang tersenarai pada tahun ini, aku berpendapat kategori berasaskan kaum ini tak perlu wujud lagi. Artis bukan Melayu tak tersisih lagi. Mereka tersenarai dalam Top 5 pelbagai kategori. Calon-calonnya adalah:
Artis Baru Lelaki Popular: Vince. Artis Baru Wanita Popular: Jaclyn Victor. Pelakon Filem Lelaki Popular: Hans Isaac. Pelakon Filem Wanita Popular: Tiara Jacquelina. Penyanyi Lelaki Popular: Reshmonu & Vince.
Malah Vince dan Jac masing-masing menang kategori Artis Baru Lelaki dan Wanita Popular mengalahkan artis-artis Melayu!
Ini satu perkembangan yang sihat, memandangkan calon Top 5 dan pemenang ABP diundi oleh pembaca BH, yang majoritinya Melayu. Malah kemenangan Vince dan Jac dalam Akademi Fantasia (AF) dan Malaysian Idol (MI) pun berasaskan undi penonton. Majoriti penonton AF Melayu. Majoriti penonton MI Melayu dan Cina, tapi yang menangnya India. Kesimpulan: rakyat Malaysia sekarang tidak menilai seseorang, atau sesuatu, dari mata perkauman (kecuali, of course, YB Dungun dan YB Ketereh).
Kategori "Bukan Melayu" perlu dimansuhkan. Ketika menang kategori ini tahun lepas, Hans Isaac menyatakan hasrat yang sama. Ketika menjadi tetamu rancangan "Halim Othman Live" di ASTRO, sekali lagi Hans menyatakan perkara itu. Artis bukan Melayu tak tersisih lagi. Mereka sudah mampu bersaing.
Sekarang sebenarnya, yang tersisih dan tak mampu bersaing ialah: penyanyi wanita yang bukan Siti! Sejak 1996 hingga 2004, tak ada siapa boleh menandingi Siti dalam kategori ini. Mungkin kita perlu kategori "Bukan Siti" pula. Berita Harian perlu wujudkan kategori: "Penyanyi Wanita Bukan Siti Popular" :P
Paling Popular
Tahun ini Siti menang "Artis Paling Popular" (lagi!). Kejayaan tak putus-putus. Kalau betullah "penyanyi veteran" itu yang tulis email layang Siti (KALAU, aku bilang, KALAU), mesti sekarang ni dia tengah sakit hati. Sudahlah Siti baru dihujani tahniah selepas konsert Royal Albert Hall, sekarang menang ABP pula.
Tahniah Siti! Tahniah! Hang memang terra!
ULASAN LAIN: - Sultanmuzaffar - Nazmi
# MJ | Permalink
|