Tuesday, March 08, 2005
DADAH HARAM JADAH
Dulu musim "perpaduan nasional", sekarang musim "dadah" pula. Debat Perdana TV1 menjemput ahli politik dan bijak-pandai membincangkan isu dadah. (Perhatikan: aku asingkan "ahli politik" dan "bijak-pandai" haha!)
Yang menarik dalam debat baru-baru ini adalah, wakil Majlis AIDS Malaysia mencadangkan langkah "harm reduction". Sekarang penjualan jarum suntikan dikawal undang-undang. Disebabkan susah mendapatkannya, maka penagih terpaksa berkongsi jarum. Akibatnya, risiko HIV. Bukan saja kepada penagih, malah kepada bukan-penagih -- isteri (atau suami) dan anak dalam kandungan. Dengan melonggarkan penjualan jarum suntikan, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan salah satu risiko dadah -- HIV.
Katanya, adalah sukar untuk membanteras dadah di Malaysia, kerana (1) Malaysia dekat dengan "golden triangle" (kawasan pengeluaran dadah di Asia Tenggara); dan (2) Malaysia sebuah semenanjung (baca: kita dikelilingi laut, maka susah nak sekat kemasukan). Maka, di samping meningkatkan penguatkuasaan membanteras dadah, kita perlu juga ambil langkah "harm reduction" (contoh: jualan jarum suntikan), untuk mengurangkan risiko HIV. Ini supaya dadah dapat dimusnah, dan rakyat tidak punah.
Ahli politik pembangkang sebelah dia menyokong langkah ini. Katanya, nak suruh orang berhenti merokok pun susah, apatah lagi nak suruh orang berhenti hisap dadah. Jadi, biarkan mereka hisap dadah tapi kurangkan risikonya. Pada masa yang sama, penguatkuasaan membanteras diteruskan. Dengan ini, kita keluarkan kos untuk pemulihan penagihan, tapi kita dapat kurangkan kos pemulihan HIV.
Jual jarum suntikan secara terbuka. Sekali dengar macam tak masuk akal. Tapi bila kaji dalam-dalam ada baiknya juga.
Punca
Hujah paling dangkal pernah aku dengar, tentang punca penagihan dadah, adalah oleh wakil DAP minggu lepas. Katanya, sekatan undang-undang terhadap orang muda banyak sangat. Masuk gerakan politik, kena tangkap. Masuk pertubuhan sosial, kena tangkap. Berdua-duaan berpegangan tangan pun, kena tangkap. Sebab tak ada cara lain nak release tension, orang muda pun memilih untuk hisap dadah.
Ya Rabbi, hujah jenis apakah itu? Sebab buat benda lain kena tangkap, maka orang pun hisap dadah. Habis tu, hisap dadah tak kena tangkap? Macamlah tak ada sekatan undang-undang untuk menagih dadah, sampai orang jadikan penagihan dadah sebagai escapism dari pelbagai sekatan lain. Dah tua pun bodoh.
Kalau pun kurang setuju dengan sekatan undang-undang yang terlalu banyak, mengatakan itu sebagai punca orang muda menagih adalah tidak tepat.
Didikan
Lagi satu point bijak-pandai yang aku dok fikir: orang menagih kerana kurang didikan Islam.
Masalahnya, 70% penagih adalah orang Melayu-Islam. Aku rasa golongan ini lagi tinggi didikan Islam-nya dari golongan bukan Islam. Di sekolah dapat didikan Islam, di rumah pun dapat. Berbanding dengan anak Cina dan India yang tak dapat didikan Islam langsung, baik di sekolah mahupun di rumah. Kalau betul "kurang didikan Islam" punca penagihan dadah, secara logiknya orang bukan Islam-lah majoriti penagih. Tidak?
Wallahualam.
Sila beri pendapat anda tentang:
1) Langkah harm reduction: jual jarum suntikan secara terbuka.
2) Orang muda menagih kerana terlalu banyak sekatan undang-undang terhadap mereka.
3) Orang menagih kerana kurang didikan Islam.
# MJ | Permalink
|