Monday, October 04, 2004
RUMAH GHAZALI
(Kisah ini berlaku di negara Pasir Berdengung)
Nama saya Ghazali. Saya ada rumah. Saya bebas buat apa saja dalam rumah saya, asalkan tidak melanggar undang-undang. Pada suatu hari, ada orang masuk rumah saya dan melakukan jenayah. Bila saya nampak penjenayah itu, saya tengking. Dia pun lari. Saya pun pasang pintu besi supaya orang itu tidak boleh buat jenayah dalam rumah saya lagi.
Tanpa pengetahuan saya, ada orang melaporkan peristiwa itu kepada akhbar Berita Pungkoq Hang. Esoknya, di muka depan akhbar Berita Pungkoq Hang ada cerita ini:
"KUALA SELUT: Sebuah rumah di alamat 123 Taman Dotkom, dikesan gagal dikawal oleh tuan rumah, apabila penjenayah masuk ke dalam rumahnya.
Exco Belia AMPU, Datuk Badigol Sood, berkata: "Adalah tidak wajar penjenayah masuk ke dalam rumah. Sehubungan itu, perlu ada mekanisme yang jelas dan tegas bagi memastikan rumah di Pasir Berdengung bersih daripada jenayah. Saya mencadangkan supaya kerajaan membakar semua rumah yang berpotensi dimasuki penjenayah. Dengan terbakarnya rumah-rumah itu, tidak ada lagi rumah untuk penjenayah masuk."
Timbalan Menteri Dalam Jamban, Datuk Kepala Hotak berkata: "Tuan rumah ini sengaja bermain api. Kita tidak akan teragak-agak bertindak terhadap tuan rumah itu. Saya memberi amaran kepada semua tuan rumah, kalau rumah dia dimasuki penjenayah, tuan rumah itu akan dipenjara!"
Sementara itu, Belia AMPU meminta Ghazali, tuan rumah itu supaya meminta maaf kepada rakyat Pasir Berdengung kerana ada jenayah berlaku dalam rumahnya.
Naib Ketuanya, Piem Saninlo, berkata: "Walaupun bukan Ghazali yang melakukan jenayah itu, tetapi sebagai tuan rumah berkenaan, beliau harus bertanggungjawab."
Kementerian Komunis-Kasi Dan Mati-Mudah sedang mengkaji bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap tuan rumah itu, Ghazali, berhubung jenayah yang dilakukan oleh penjenayah bernama samaran "Faizul".
Menterinya, Datuk Tai Khoo Cheng, berkata: "Saya sudah dimaklumkan mengenai isu ini. Saya sudah mengarahkan pegawai saya melakukan kajian mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap tuan rumah itu."
Berita ini menghias muka depan Berita Pungkoq Hang selama tiga hari berturut-turut, malah menjadi tajuk utama akhbar itu pada hari kedua dan ketiga. Akhbar berbahasa Jawa, My aSs Times (MST), turut memuatkan berita ini. Begitu juga siaran Buletin Pak Hang dan Warta Mak Hang di tv.
Tuan-tuan rumah lain, dan kawan-kawan yang selalu bertandang ke rumah kami berasa hairan. Kenapa penjenayah bernama samaran "Faizul" itu tidak diburu? (kalaupun dia melakukan jenayah). Kenapa pula tuan rumah yang dipersalahkan atas jenayah yang dilakukan oleh orang lain?
Saya belajar tiga benda baru hari ini.
SATU: Kalau rumah dimasuki penjenayah, kita tangkap tuan rumah, dan biarkan penjenayah itu bebas.
DUA: Supaya penjenayah tidak boleh masuk rumah-rumah lain, kita kena bakar kawasan perumahan.
TIGA: Di negara Pasir Berdengung ni, orang bodoh pun boleh jadi Menteri.
# MJ | Permalink
|