Sunday, October 03, 2004
BERITA HAIRAN
Sebuah laman web tempatan yang menjadi forum membincangkan isu semasa, dikesan gagal dikawal oleh pengendalinya, apabila ada pandangan yang dianggap menghina Islam turut disiarkan.
Paling terbaru, laman web itu, Screenshots di alamat www.Jeffooi.com, menyiarkan pandangan seorang peserta yang menyamakan Islam Hadhari dan politik wang dengan najis dan air kencing. -- Berita Harian 02/10/04
Pertamanya, Screenshots bukan laman forum, tetapi weblog. Keduanya, berbeza dengan media cetak, di mana pandangan/komen pembaca boleh dipilih oleh editor untuk disiarkan atau tidak, komen pembaca weblog (dan peserta laman forum pun) adalah di luar kawalan pengendalinya. Di internet, siapa-siapa pun boleh baca dan siapa-siapa pun boleh komen (secara "real-time").
Berita Harian (BH) pun tahu hakikat ini. Kalau tidak, kenapa di bawah ruangan komen laman web BH pun ada penafian (disclaimer) ini:
"E-MEDIA BHSB mengesahkan sebarang pendapat/pandangan tertera di bahagian 'Komen Anda!' adalah sumbangan daripada pembaca kami. Sebarang penyebaran, perkongsian, percetakan atau salinan bahan yang mengandungi ciri-ciri hasutan or pornografi atau lucah atau menghina agama atau bersifat fitnah atau melanggar sebarang undang-undang, peraturan atau hak intelektual atau mencabul sebarang hak pihak ketiga dalam apa jua bentuk adalah dilarang sekeras-kerasnya. Sesiapa yang melakukan sebarang daripada kesalahan disebut di atas, boleh didakwa dibawah undang-undang Malaysia berkaitan."
Hahaha! Lawak nak mampos. BH sendiri pun tak dapat mengawal komen berunsur negatif daripada tersiar di laman web mereka, tetapi BH menyelar Jeff Ooi kerana gagal mengawal pandangan berunsur negatif di laman web Screenshots. BH sendiri pun tak mahu bertanggungjawab ke atas komen pembaca di laman web mereka, tetapi akhbar ni mahu pengendali Screenshots bertanggungjawab di atas komen pembaca laman webnya.
Ini macam meludah ke langit terpalit ke muka sendiri. Atau memaku dulang paku serpih. Atau periuk kata cerek hitam. Berita ini hanya mencerminkan kebodohan dan memalukan.
"Dalam kes laman web www.jeffooi.com itu, saya memberi amaran kepada pengusahanya supaya menghentikan segera sebarang perbincangan mengenai isu sensitiviti berkaitan agama. Jika tidak, tindakan mengikut ISA boleh diguna pakai," katanya kepada Berita Minggu, semalam.
Naib Ketuanya, berkata walaupun bukan Jeff Ooi sendiri yang menulis perkataan yang menghina Islam itu, tetapi sebagai pengendali blok laman web berkenaan, beliau harus bertanggungjawab.
"Pemuda Umno rasa langkah paling wajar diambil pada masa ini ialah Jeff Ooi meminta maaf di atas komen yang dipaparkan dalam laman web itu," katanya ketika dihubungi semalam. -- Berita Minggu 03/10/04
Pertamanya, pengendali BLOG bukan pengendali BLOK. Keduanya, kalau ikut penafian di ruangan komen laman web BH pun, penghantar komen berunsur negatif boleh didakwa di bawah undang-undang Malaysia. Diulang: PENGHANTAR KOMEN dan bukannya PENGENDALI LAMAN WEB BH. Jadi, kenapa bila ada orang hantar komen berunsur negatif di laman web lain (contoh: Screenshots), pengendali laman web tu pula yang hendak dikenakan tindakan? Kenapa bukan penghantar komen? Sekali lagi akhbar ni buat lawak.
Pada aku, kalaupun ada pihak yang perlu meminta maaf atau dihadapkan ke muka pengadilan, orang tu bukannya pengendali laman web (Jeff Ooi), tetapi penghantar komen bernama "Anwar" tu. Kalau pihak berkuasa boleh menjejak "Asmah & the Gang" (penulis email layang Siti Nurhaliza), kenapa tidak Anwar?
Adalah tidak wajar Jeff Ooi dihukum kerana dia sendiri pun tak bersetuju dengan komen tu (aku baca jawapan balasnya). Malah Jeff Ooi telah ban "Anwar" dari ruangan komen Screenshots.
Daripada dok heboh pasal komen negatif "Anwar" yang tak dikenali asal-usul tu, lebih baik BH bincangkan komen positif yang ditulis oleh Jeff Ooi dalam entry "Islam Hadhari and Money Politics" tu. Islam Hadhari dan politik wang macam air dengan minyak, tak boleh bercampur. Kita tak boleh nak laksanakan Islam, dan pada masa yang sama, mengamalkan politik wang.
Amalan politik wang itu bukan tuduhan liar, tetapi dibuat oleh pemimpin UMNO sendiri. "Politik wang dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu adalah yang terburuk dalam sejarah UMNO," kata Menteri Infotainmen.
Tak tahulah sama ada itu kata-kata jujur seorang ahli parti atau kata-kata kecewa seorang yang kalah pemilihan MT.
# MJ | Permalink
|