Sunday, August 08, 2004
KUDUNG TANGAN KANAN
Minggu lepas aku chat dengan dia di YM. Bersungguh-sungguh dia bercerita tentang teater "Mayat" arahan Ijat yang baru ditonton di Unisel.
Pika mengingatkan aku pada Mat Som. Watak penulis sambilan karya Lat. Seperti Mat Som, Pika ada "Pak Samad"-nya: Rom di ROTTW, serta Khalid Jaafar dan Mustaqeem di IKD. Kalau Mat Som mendengar puisi tengah padang dengan Tongkat Waran dan konco-konconya, Pika pula dengan APUKE (Acara Baca Puisi Keliling) bersama Komunite Seni Jalan Telawi. Mat Som penulis sambilan di akhbar, Pika di majalah dan tabloid. Tulisan Pika keluar dalam Tamadun, Siasah, Akhbar Mahasiswa, Al-Islam, dan ROTTW. Cumanya, Mat Som ada Yam, Pika belum bertemu Yam-nya.
"Hang tak mau tulis teater pulak ka? Mintak Ijat arah," aku tanya Pika. Ijat, kawan kami, pensyarah kejuruteraan di sebuah IPT, juga dua kali Pengarah Terbaik Pekan Teater Johor. Kami kenal Ijat ketika selalu lepak di cyber cafe Amang. "Ada dalam perancangan. Teater aku tu bertajuk 'Penulis Kudung Tangan Kanan'," jawab Pika.
Tak. Bukan kisah penulis yang kudung tangan kanan secara fizikal. Tetapi kisah penulis berhaluan kiri.
Baru-baru ni aku dapat khabar sedih dari Zumir. Pika masuk wad. Kalau aku sebut apoplexy atau CVA (cerebrovascular accident) kau mungkin ternganga, jadi aku sebut angin ahmar atau stroke. Pika kena stroke.
Bayangkan kau, seorang yang aktif, tiba-tiba pada suatu pagi bila terjaga dari tidur, kau dapati sebelah kanan badan menjadi berat. Kau tak berdaya menggerakkan tangan atau kaki kanan. Sebelah kanan tubuh kau lumpuh.
Kau masih sedar dan faham percakapan orang, tapi tak berupaya melakukan aktiviti harian seperti memakai baju, makan, mandi dan ke tandas. Semalam kau boleh berdikari, hari ni kau bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan.
Stroke berpunca daripada arterosklerosis. Kepada mereka yang bukan adik doktor, "arterosklerosis" itu bermaksud pembuluh darah yang membawa oksigen dan nutrien ke otak tersumbat, atau pecah. Ini menyebabkan bekalan darah ke otak terputus dan sel-sel otak menjadi rosak.
Bila sel-sel otak rosak, fungsi otak terjejas. Otak tidak boleh menerima atau menghantar pesanan daripada atau kepada anggota lain. Kau lumpuh separuh badan dan pertuturan kau tak jelas. Orang yang menghidap sakit jantung, darah tinggi, dan kencing manis serta orang yang merokok berisiko diserang stroke.
Empat tahun aku tinggal serumah dengan Pika di Shah Alam. Pika memang sakit jantung. Dia sering mengadu rasa lemah, letih dan pening kepala. Bagaikan tajuk teater dalam perancangannya - "Penulis Kudung Tangan Kanan" - begitulah keadaan Pika sekarang. Pika lumpuh sebelah kanan dan hanya mampu menggerakkan anggota badan sebelah kiri.
Pika, aku harap kau sabar menempuh dugaan ini. Tuhan bersama orang-orang yang sabar. Aku di Kedah, belum berkesempatan melawat kau. Tahu keadaan kau pun dari mereka-mereka yang sudah melawat kau. Minggu ini aku ada urusan di Shah Alam. Sudah pasti aku akan ke Hospital Kelang melawat kau.
Hanya simpati dan doa dari aku. Semoga kau cepat pulih. Amin.
# MJ | Permalink
|