Sunday, August 31, 2003

JIWA NEGARA

Empat bulan yang lepas, aku tengok rancangan "30 Minit" di TV1. Dato' Dr Syed Hussein al-Attas bercakap pasal "JIWA NEGARA". Aku catat isi kandung bicaranya dalam journal aku ("offline journal").

Kalau "jiwa negara" yang dia maksudkan itu "patriotisme", maka orang yang "patriotik" itu bukanlah orang yang kibarkan bendera pada bulan Ogos. Orang yang berjiwa negara (patriotik?) adalah orang yang mempertahankan negara daripada ancaman, menentang segala bentuk kezaliman, dan membantu orang yang dalam kesusahan. Yang patut kita bimbangkan sekarang bukan "kenapa orang tak kibarkan bendera?", sepatutnya kita bimbangkan "kenapa orang berdiam diri melihat kezaliman di depan mata?" dan "kenapa orang tidak membantu orang lain yang dalam kesusahan?". Itulah kayu ukur "jiwa negara" seseorang.

Sempena ulangtahun kemerdekaan ke-46, aku online-kan catatan tu. Kau mungkin setuju atau tak setuju dengan kata-kata dia.

Apapun, terimalah, JIWA NEGARA <--- klik, jangan tak klik!

Selamat Hari Kebangsaan.

Wednesday, August 27, 2003

ANAK & ADAT

Aku terbaca perbincangan ini dalam Forum Geng Jurnal.

Jasnita: Kenapa org suke sgt bersanding masa kahwin?

Hieroplant: Agama orang Melayu dulu kan Hindu... jadi terikut-ikut adat orang Hindu ni.

Paichowan: Betul la tuh.. adat kan.. isykk.. kita kena buang pepatah "biar mati anak jgn mati adat"... kan kan... heheheh

Aku bukan nak cakap pasal bersanding. Aku nak cakap pasal pepatah "biar mati anak jangan mati adat". Aku tak setuju dengan Paichowan.

Aku dah dengar ramai orang cakap pepatah tu perlu dibuang. Aku rasa, orang-orang ini cakap macam tu kerana pemahaman mereka terhadap kalimah "adat" itu terhad, mengikut skop yang digunakan pada hari ini. Skop "adat" pada hari ini telah disempitkan kepada upacara bersanding, menepung tawar, dan sebagainya.

Tapi, pepatah itu bukan dicipta pada hari ini. Kita boleh jumpa kata-kata "biar mati anak jangan mati adat" itu dalam buku Sejarah Melayu pun, yang ditulis oleh Tun Seri Lanang, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Itu 600 tahun yang silam. Disebabkan pepatah itu dicipta 600 tahun yang silam (atau lebih lama), maka kita perlu lihat kalimah "adat" itu mengikut skop 600 tahun yang silam, dan bukan mengikut skop hari ini.

Kalau kau pelajar undang-undang, kau akan belajar topik "Malay Customary Law" dalam subjek "Malaysian Legal System". Sebelum kedatangan Inggeris, undang-undang apa yang kita pakai? Sudah tentu bukan Common Law yang kita pakai pada hari ini. Masa tu kita pakai undang-undang adat. Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning, manakala Adat Temenggong diamalkan di negeri-negeri Melayu yang lain.

Adat Perpatih dan Temenggong ini bukan sekadar upacara "bersanding" dan "menepung tawar" saja, tapi merangkumi undang-undang secara seluas-luasnya -- Undang-Undang Perlembagaan, Undang-Undang Jenayah, Undang-Undang Keluarga, Undang-Undang Tanah, dan Undang-Undang Pewarisan Harta, sekadar menyebut beberapa contoh.

Dalam Undang-Undang Perlembagaan misalnya: Hari ini, untuk melihat sistem pemerintahan negara, orang rujuk Perlembagaan Persekutuan. Dulu-dulu, orang rujuk adat. Adat Perpatih mengamalkan sistem demokrasi kerana pemimpin atasan dipilih oleh orang bawahan (mamak melantik buapak, buapak melantik lembaga, lembaga melantik undang, undang melantik Yamtuan), manakala Adat Temenggong pula mengamalkan sistem autokrasi kerana pemimpin teratas melantik orang bawahan (Sultan melantik Bendahara, Temenggong, Laksamana, dan Penghulu Bendahari).

Dalam Undang-Undang Keluarga dan Pewarisan Harta misalnya: Hari ini, orang rujuk Akta atau Enakmen yang berkaitan. Dulu-dulu, orang rujuk adat. Adat Perpatih mengamalkan sistem "matriarchal" (berpihak kepada perempuan), manakala Adat Temenggong mengamalkan sistem "patriarchal" (berpihak kepada lelaki).

Begitu juga dalam Undang-Undang Jenayah: Hari ini, untuk melihat hukuman terhadap sesuatu kesalahan, orang rujuk Kanun Keseksaan. Dulu-dulu, orang rujuk adat. Adat Perpatih dan Temenggong menyenaraikan KESALAHAN dan HUKUMAN (sama juga Kanun Keseksaan pada hari ini). Hukuman dalam Adat Perpatih bersifat "restitution" dan "compensation", manakala hukuman dalam Adat Temenggong pula bersifat "punishment" dan "retaliation".

Kesimpulannya, kalimah "adat" pada 600 tahun yang silam adalah sama dengan kalimah "undang-undang" pada hari ini. Jadi, pepatah "biar mati anak jangan mati adat" itu adalah pepatah yang SANGAT-SANGAT BAGUS. Maksud pepatah itu: Jika kau orang yang berkuasa melaksanakan undang-undang, dan yang melanggar undang-undang itu adalah anak kau sendiri, kau kena laksanakan juga undang-undang itu. Biar anak kau mati, jangan undang-undang yang "mati" (tidak berfungsi).

Pepatah ini, sebenarnya, menentang amalan NEPOTISME dalam pelaksanaan undang-undang. Nah, hari ini ramai yang melaungkan rasa benci terhadap amalan nepotisme. Inilah pepatah yang paling tepat menggambarkan rasa benci itu -- "biar mati anak jangan mati adat!".

Orang sekarang keliru. Mereka menyangkakan pepatah "biar mati anak jangan mati adat" ini digunakan untuk justify amalan bersanding dan menepung tawar. Itu tidak benar sama sekali. Pepatah ini, sebenarnya, digunakan untuk menentang amalan nepotisme dalam pelaksanaan undang-undang.

Pepatah "biar mati anak jangan mati adat" ini, dan penentangan terhadap amalan nepotisme dalam pelaksanaan undang-undang, adalah selari dengan Islam. Dalam satu riwayat, Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya orang-orang yang sebelum dari kamu telah dimusnahkan, kerana mereka melepaskan orang yang berkedudukan bila mana dia mencuri, dan melaksanakan ketetapan hukuman Allah SWT ke atas orang yang lemah. Jika anakku Fatimah sendiri yang mencuri, nescaya aku akan potong tangannya!"

Jadi, pepatah "biar mati anak jangan mati adat" tak patut dibuang, ia cuma perlu digunakan dalam konteks yang betul.

Tuesday, August 26, 2003

DIA DATANG

[Nyanyi] Dia datang... (teng! teng! teng!) ...dengan lenggang lenggoknya! [/nyanyi]

Malam ini Dr Mahathir akan datang ke stadium universiti aku, sempena FESKEM (Festival Kemerdekaan), dan sempena ulangtahun ke... err, ulangtahun ke berapa entah, pengisytiharan ITM sebagai universiti.

Tahun lepas pun dia datang sempena acara yang sama. Tahun lepas aku pergi, dan dapat duduk di grand stand sebab masa tu aku masih di "tampuk pemerintahan". Malam ni kalau aku pergi (KALAU, aku bilang, KALAU), kena duduk tengah padanglah, sebab aku dah bersara. Agaknya, tahun depan, Dr Mahathir pun kena duduk tengah padang jugak kalau dia pergi mana-mana acara, sebab dia dah bersara (KALAU, aku bilang, KALAU).

Tahun lepas, Dr Mahathir bagi kami cuti. Harap-harapnya malam ni pun dia bagi kami cuti, esok. Kalau setiap kali Dr Mahathir datang, dia bagi kami cuti (KALAU, aku bilang, KALAU), aku harap dia datang sini hari-hari.

Malam esok, khabarnya, artis-artis (Akademi Fantasia, Ferhad, Misha Omar, etc) akan datang buat konsert kat stadium universiti. Malam ini, Dr Mahathir datang, pihak universiti buat "kerahan tenaga" wajibkan pelajar (terutama yang tinggal di kolej) untuk memenuhkan stadium. Malam esok, artis datang, pihak universiti tak payah buat "kerahan tenaga" pun, stadium mesti penuh punya! Kenapa 'ek?

Aku cakap ini berdasarkan pengalaman. Tahun lepas, masa FESKEM, kami buat tayangan "EMBUN". Penuh stadium tertutup, sebab Aqasha, Umie Aida dan Erma Fatima pun datang. Berdasarkan tepukan yang Timbalan Menteri Penerangan dapat sewaktu merasmikan tayangan, dengan tepukan yang pelakon-pelakon ni dapat, aku rasa mahasiswa kita menyanjung artis lebih daripada menyanjung pemimpin negara. Kenapa 'ek?

Tahun ni, khabarnya, ada tayangan "PALOH".

Tahun ini, aku tidak terlibat langsung dengan jawatankuasa penganjur mana-mana acara. Tidak macam tahun lepas. Hari tu, aku naik bas, duduk sebelah kawan perempuan yang sama-sama jadi AJK program itu ini. Dia tanya aku: "Ada kerja tak bulan September ni? Nak mintak tolong". Aku tanya dia: "Tolong apa?" Dia jawab: "Pilihanraya."

Fuhh... bulan Ogos: FESKEM. Bulan September: Pilihanraya Kampus. Bulan Oktober: FINAL EXAM (acara yang dinanti-nantikan). Sibuk anjur program, bila masa nak study? Tapi macam itulah cara hidup aku tahun lepas. Patutlah keputusan exam aku jatuh merudum. Nasib baik masa tiga semester pertama keputusan aku baik, jadi tak terduduk sangat CGPA aku (walaupun GPA aku dah tertiarap). Menurut Spyz, aku tengah makan pencen.

Aku jawab kat kawan aku dalam bas tu: "Tolong pilihanraya? Tak apalah, terima kasih."

Lepas tu, pak guard tahan bas tu masa kat pintu gerbang kampus. Pak guard naik atas tengok penumpang seorang demi seorang. "Mintak kad matrik," kata pak guard kat kawan aku tu, "turun!". Hmm... kena samanlah tu. Siapa suruh pakai baju ketat-ketat. (NOTA: baju ketat salah di sisi peraturan universiti.)

Harap-harap esok cuti. Dr Mahathir kan baik.

Saturday, August 23, 2003

TIRU

Tak. Aku tak meniru masa exam. Minggu lepas aku balik kampung, cuti seminggu. Hari Ahad (17/08/03) aku sampai Shah Alam, aku disambut oleh berita "gembira". Pika cakap: "Mat Jan, artikel Ijat masuk Akhbar Mahasiswa!"

Aku: "Baguslah!"

Pika: "Masalahnya, artikel Ijat saja yang keluar. Nama penulisnya orang lain. NIK HUSSIN NIK AHMAD. Dia curi tulisan Ijat. Hari tu, aku, Ijat dan Zumir pergi attack pejabat Akhbar Mahasiswa. Diorang janji nak mintak balik bayaran kat Nik Hussin, dan bayar kat Ijat. Kalau Nik Hussin tak mau bayar balik, diorang nak ambik tindakan undang-undang."

NIK HUSSIN ciplak bulat-bulat tulisan Ijat (Capsirim), Mengira Tingkat-Tingkat KLCC, dari laman Satu@rah Online. Lepas tu dia hantar kat Akhbar Mahasiswa -- "oleh Nik Hussin Nik Ahmad". Tak malu betul. Pika (Sam Ahmad) adalah editor Satu@rah Online.

Dalam isu 15 Ogos, Pika kutuk Nik Hussin dalam "Analog Editor" dan Ijat pulak kutuk Nik Hussin dalam kolum "Mesin Parut". Kalau Nik Hussin baca, mesti menangis punyalah. Entah apa-apalah Nik Hussin, kalau nak cedok pun, janganlah hantar kat Akhbar Mahasiswa atau Aliran, Siasah, Tamadun, Massa, Minda, atau Dewan Agama & Falsafah. Hantarlah kat Variasari ke, Mangga ke, majalah-majalah tu kami tak bacalah! Ini hantar kat penerbitan yang kami baca, kan dah kantoi!


BUNGA TELUR

Dulu-dulu pergi kenduri kahwin mesti dapat bunga telur.

BUNGA dan TELUR.

Tapi sekarang orang dah tak bagi bunga telur. Bunga diganti dengan kotak kecik. Telur diganti dengan gula-gula, atau benda lain.

Aku tengok dalam kereta Baba hari tu, dia pergi kenduri kahwin tak dapat BUNGA dan tak dapat TELUR. Dia dapat SABUN. Betul, dia pergi kenduri kahwin dapat kotak keemasan yang diikat dengan riben kuning, dan dalam kotak itu ada SABUN. Wangi. Tapi SABUN.

Apa rasionalnya?

Agaknya itu mesej daripada pengantin baru buat kawan-kawannya yang masih bujang: "Aku dah kahwin, dah ada isteri. Kau bujang lagi, main SABUN ajelah!"

Saturday, August 16, 2003

ULANGKAJI

Aku ada mid-term exam. Seminggu. Mungkin tak update Jongkang Jongket. Waktu aku ulangkaji pelajaran, kau boleh ulangkaji Jongkang Jongket.

Ini arkib tahun 2003:

+ JULAI 2003

+ JUN 2003

Aku pindah ke blogspot ni bulan Jun 2003. Jadi, catatan-catatan sebelum Jun 2003 ada kat tempat lain. Nanti aku kumpulkan dalam bentuk e-book. Sementara tu boleh baca petikan-petikan 2001 dan 2002 yang aku pos kat Forum Geng Jurnal:

+ PETIKAN 2001

+ PETIKAN 2001 LAGI!

+ LAGI-LAGI PETIKAN 2001 (DAN 2002 JUGA)

+ MIND YOUR (FRENCH) LANGUAGE

Dan akhir sekali, himpunan catatan 2000, dalam e-book JJ2K:

+ JONGKANG JONGKET 2000

Ulangkaji elok-elok. Nanti aku bagi soalan exam. Paper JKG101: Pengajian Jongkang Jongket. Kertas wajib bagi kurus Sarjana Muda Pentadbiran Weblog dengan Kepujian, BWA (Hons).

Tuesday, August 12, 2003

ULASAN FILEM: MISTIK

Satu hari, Zumir bawak balik vcd MISTIK (original lagi!), filem arahan Prof Madya A Razak Mohaideen.

Filem seram ini mengisahkan sekumpulan pelajar IPT yang diberi assignment oleh pensyarah mereka -- membuat kajian tentang misteri alam ghaib. Sebagai pelajar IPT, mereka boleh mencari bahan di internet, ataupun bagi yang rajin sedikit, boleh mendapatkan maklumat daripada Pameran Hantu Muzium Negara, rancangan tv Misteri Nusantara, majalah-majalah ala-Mastika, serta buku-buku karya Tamar Jalis dan Tok Awang Ngah. Tetapi mereka agaknya buta IT dan malas membaca (serta malas menonton tv juga), maka mereka telah memilih untuk mencari maklumat di hutan terpencil!

Mengapa mereka memilih hutan terpencil? Mereka, sekumpulan pelajar IPT lelaki dan perempuan, pergi ke hutan terpencil TANPA pensyarah pengiring. Adalah dipercayai mereka memilih tempat itu disebabkan port-port lain seperti taman tasik dan bawah tangga telah dihidu oleh pihak Edisi Siasat NTV7.

Pelbagai kejadian berlaku sepanjang filem seram ini, err, kecuali kejadian seram!!! Walaupun menguap tujuh lapan kali sepanjang cd satu, aku dan kawan-kawan terus jugak menonton hingga habis cd dua sebab classmate kami, Azlin aka Lin Potpet, jadi pelakon tambahan dalam filem ni.

Mungkin orang lain tak perasan. Pelakon-pelakon tambahan yang jadi classmates kepada budak-budak tu adalah pelakon-pelakon tambahan yang sama yang jadi puteri bunian. Hmm... agaknya itu sebenarnya misteri cerita MISTIK ni -- classmates budak-budak tu adalah puteri bunian! Uhh seramnyaa... puteri bunian pergi kelas... takuttt!!!



Di akhir cerita, apa hasil kajian pelajar-pelajar tersebut? TAK ADA HASIL LANGSUNG. Tapi mereka mesti dapat A+ punya. Sebab apa? Sebab ketua projek itu adalah Cico dan pensyarahnya pulak Uji Rashid. Ada unsur nepotisme di situ (Cico adalah anak Uji Rashid ;P).

Lupakan lagu "Tuai Padi Antara Masak" yang mendayu-dayu tu. Kini ibu-ibu mempunyai pilihan lain untuk mendodoikan anak -- filem MISTIK! Sesuai untuk mendodoikan seisi keluarga. Daripada tengok MISTIK, lebih baik tengok CAKARAMA TOK RIMAU.

Monday, August 04, 2003

AHAD

Aku pergi Bukit Jalil semalam. Main bowling dengan kawan-kawan Geng Jurnal.

Mie: Datang sorang aje? Mana budak-budak rumah kau?

Aku: Hari ni kan Ahad, so...

Cik Daun: So semua orang pergi dating?

Aku: Tak. So semua orang tak bangun pagi.

"Hari Ahad semua orang jadi Bilal bin Rabah," kata aku. Bilal bin Rabah sebut "Ahad! Ahad!" ("Yang Satu! Yang Satu!") bila kena siksa. Kita pulak sebut "Ahad! Ahad!" bila dikejut bangun pagi pada hari Ahad ;p


DARI PAGI KE PAGI

Aku main satu lane dengan orang-orang terror. Spyz, Tok Rimau, Cik Daun dan Toksik. Lane kami semua orang dapat 100 lebih masa second game.

Lepas main bowling, kami pergi makan kat Awan Besar. Lepas makan, aku pergi SOGO jumpa Jigo. Malam pulak makan-makan dan sembang-sembang dengan Jigo, Spyz, Tok Rimau dan Toksik kat Shah Alam (depan rumah lama aku).

Semalam aku keluar rumah pukul 9:00 pagi dan balik rumah pukul 1:00 pagi.

Saturday, August 02, 2003

BRUCE ALMIGHTY

Aku rasa mesej filem tu bagus.

Mesej pertama: Manusia bila dah dapat kuasa, akan salahguna kuasa untuk kepentingan sendiri. Jangan kata dapat kuasa jadi Menteri atau Ahli Majlis Perbandaran, kadang-kadang baru dapat kuasa jadi pak guard pun dah salahguna.

(Aku pakai UNIFORM! Aku boleh jerkah orang suka-suka hati! Bwahahaha!)

Apatah lagi kalau dapat kuasa jadi TUHAN. Hancur dunia.

Mesej kedua: Tuhan dah tadbir alam ni dengan baik. Jangan nak merungut tak tentu pasal. Bruce ingat Tuhan tak adil bila ada doa tak dimakbulkan. Bila Bruce jadi Tuhan, dia makbulkan doa semua orang. Dunia jadi kacau bilau.

Tuhan tahu apa yang terbaik untuk kita. Bila kita tak dapat apa yang kita hajat, mungkin ada hikmahnya, tapi kita tak tahu.

Tapi filem ni kena ban. Katanya sebab mempersendakan Tuhan. Yang sebenarnya mesej filem ni: JANGAN MEMPERSENDAKAN TUHAN.

Ada orang mahu filem ni diharamkan kerana takut iman penonton tergugat. "Sebenarnya iman diorang yang tergugat, sebab iman diorang tak kuat," kata Pika, "kalau iman kita kuat, tengok filem macam mana pun iman tak tergugat!"

Hahaha. Kami tengok Bruce Almighty sebelum sempat ditayangkan di pawagam (dan sebelum sempat diharamkan). Aku tak boleh cerita kat mana kami beli VCD pirate sekarang, takut nanti premis tu diserbu. Beli VCD macam beli dadah sekarang ni :)


KUASA TUHAN

Bila Tuhan nak "campak" Adam ke bumi pun, Dia bicarakan dulu. "Kenapa kamu makan buah khuldi itu? Bukankah Aku telah melarang kamu?" tanya Tuhan.

Setelah dengar hujah bela diri Adam, baru Adam diturunkan ke bumi.

Bila kita dibangkitkan di SANA nanti, kita dibicarakan dulu, sebelum dimasukkan ke syurga atau neraka. Setiap anggota badan disoal, setiap dosa pahala dihitung.

Tapi ada manusia yang kuasanya mengalahkan Tuhan. Boleh menghukum orang tanpa bicara. Tahanan tanpa bicara, tak diberi peluang membela diri di mahkamah terbuka.

Filem yang dikatakan "mencabar kuasa Tuhan" diharamkan. Bila pulak undang-undang yang mencabar kuasa Tuhan nak diharamkan?