Monday, June 30, 2003

MEREKA YANG TERLAMPAU

Tauke filem dan tauke VCD halal patut berterimakasih pada pramugara dan dramatis terlampau. Tauke-tauke tu kena berterimakasih pada suratkhabar juga, terutama Harian Metro, sebab buat pendedahan. Kalau tak kerana pramugara dan dramatis terlampau, mungkin sekarang ni VCD haram masih berlambak di pasaran.

Kebanyakan kita sebenarnya tak terkejut sangat bila Harian Metro dedah pasal pramugara terlampau. Sebab kebanyakan kita dah tahu lebih awal pasal VCD tu. Bila Harian Metro dedah pasal dramatis terlampau pun kebanyakan kita tak terkejut, malah tak tertanya-tanya pun siapa dramatis tu, sebab kebanyakan kita dah tahu. Tapi bila Harian Metro kata ada 16 artis yang ada VCD lucah, kebanyakan kita tertanya-tanya: "Siapa lagi sebelas?"

Kebanyakan kita baru tahu lima :)

Sekarang ni lebih susah nak dapat VCD cerita wayang daripada VCD pramugara/artis terlampau. Sebab VCD cerita wayang tak boleh dapat di internet. Tapi VCD pramugara/artis terlampau, tak payah cakaplah.

Polis boleh buat operasi di kedai dan pasar malam. Ada peruntukan dalam Akta Hakcipta, Akta Penapisan Filem dan Kanun Keseksaan tentang bahan cetak rompak dan bahan lucah. Benda ni keluar kat suratkhabar pun. Tapi bolehkah polis buat operasi di internet? Ada peruntukan undang-undangkah? Sebenarnya ada, tapi tak keluar kat suratkhabar.

Dua semester lepas, aku ambik paper Cyber Law. Batch aku batch pertama yang ambik paper elektif ni. Ini paper baru. Pensyarah aku, Encik Adlan, pernah ajar pasal Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

(Maaf, aku tak ada naskhah Bahasa Melayu akta ini.)

Seksyen 211 pasal "prohibition on provision of offensive content". Menurut sub-seksyen (1), kita tak boleh "...provide content which is indecent, obscene, false, menacing, or offensive in character with intent to annoy, abuse, threaten or harass any person..."

Menurut sub-seksyen (2) sesiapa yang langgar sub-seksyen (1) di atas boleh didenda RM50,000 dan/atau dipenjara tak lebih setahun, dan tambahan RM1,000 sehari jika kesalahan itu diteruskan juga walaupun selepas didakwa.

Okay, hari ni aku nak bagi nasihat guaman percuma kepada pemilik-pemilik laman web lucah tempatan, kalau-kalau kau didakwa mengikut seksyen di atas. Sila ambil nota: seksyen 211(1) kata kau tak boleh "...provide content which is OBSCENE in character WITH INTENT TO ANNOY..."

Jadi, kau cakaplah pada mahkamah: "Ya, saya memang provide OBSCENE materials dalam laman web saya, tetapi bukan WITH INTENT TO ANNOY. Saya provide the materials WITH INTENT TO PLEASURE..."

Hahaha. Kalau aku yang jadi hakim, mungkin kau lepas :)

Saturday, June 28, 2003

DUNIA BELUM BERAKHIR

Azman dan Zack kena dismiss dari universiti sebab masalah akademik. Azman, selepas SPM, buat diploma dulu baru buat ijazah. Tapi Zack, selepas SPM, buat matrikulasi dan terus diserapkan ke program ijazah.

(Dalam catatan hari ini, "matrikulasi" merujuk kepada matrikulasi kelolaan universiti, dan bukan matrikulasi kelolaan Kementerian Pendidikan.)

Walaupun dengan mengambil matrikulasi kita boleh buat ijazah lebih awal (kerana tempoh pengajian yang lebih pendek daripada program diploma) dan lulus lebih mudah (berbanding STPM kerana sistem peperiksaan semester-demi-semester, dan bukannya sistem belajar-dua-tahun-dan-exam), tetapi kalau kita kena dismiss sewaktu buat ijazah, kita lebih malang.

Bagi orang yang ada STPM atau diploma, mereka boleh gunakan sijil dan diploma tersebut untuk apply kursus/universiti lain peringkat ijazah juga. Tapi bagi yang buat matrikulasi, mereka tidak ada sijil. Kelayakan akademik tertinggi adalah SPM. Kalau mahu apply kursus/universiti lain, terpaksa mengambil kursus peringkat diploma. Ini sangat merugikan, apatah lagi kalau kena dismiss lepas dua tiga tahun dah belajar.

Bukan setakat itu saja, bagi pemegang STPM dan diploma, kalau mereka kena dismiss di peringkat ijazah dan tak berminat lagi belajar, mereka boleh dapat kerja dengan tangga gaji yang lebih tinggi (berbanding tangga gaji pemegang SPM). Bagi pelajar matrikulasi yang kena dismiss di peringkat ijazah, kalau mintak kerja dapat gaji SPM sajalah.

Sebenarnya lebih selamat buat STPM atau diploma daripada buat matrikulasi. Walaupun yang buat matrikulasi adalah pelajar bumiputera yang cemerlang dalam SPM, berbanding dengan yang buat diploma atau yang buat STPM, tetapi bila bersaing di peringkat ijazah tidak ada jaminan yang lulusan matrikulasi akan lebih cemerlang. Kita tak tahu masa depan kita -- masalah peribadi, masalah kesihatan, masalah sibuk kat tempat lain -- adalah antara faktor-faktor yang boleh buat prestasi akademik kita terjejas.

Azman dan Zack kena dismiss selepas exam semester lepas. Mereka buat rayuan. Keputusan rayuan keluar bulan depan. Aku dan kawan-kawan dah start masuk kelas semester ni, mereka belum. Mereka kena tunggu keputusan rayuan.

"Sekarang kau kena berdoa banyak-banyaklah mintak rayuan kau diterima. Dunia belum berakhir Zack, kau masih ada Tuhan dan Nabi," kata Salim, "Azman untung sikit -- dia ada Tuhan, Nabi dan diploma!"

Aku tersengih dengar ayat tu.

Sunday, June 22, 2003

Sempena menyambut ulangtahun Jongkang Jongket yang ketiga, aku hadiahkan kau buku sulung aku -- JONGKANG JONGKET 2000. Buku ini adalah himpunan catatan aku di Jongkang Jongket pada tahun 2000. Sila ambil nota yang buku ini adalah himpunan catatan aku pada tahun 2000, iaitu TIGA TAHUN YANG SILAM, sewaktu aku SEMESTER SATU. Tahap pemikiran dan perangai aku seperti mana digambarkan dalam buku ini adalah tahap pemikiran dan perangai aku TIGA TAHUN YANG SILAM. Sesetengah benda yang aku buat pada waktu itu tidak tergamak aku buat pada masa sekarang. Pengalaman mematangkan kita.

Tujuan penghasilan buku ini adalah untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pendapat aku dengan para pembaca sekalian. Ada catatan yang boleh buat kau sengih dan gelak. Tak kurang juga catatan yang boleh buat kau menyampah dan nak termuntah. Jika kau ada pengalaman yang seakan sama, atau ada pendapat yang berbeza dengan pendapat aku, boleh dikongsi bersama di sini. Respon kau dialu-alukan.

Kau boleh dapatkan buku ini secara PERCUMA di http://jj2k.cjb.net.

Khabarkan pada teman-teman, sahabat-handai, saudara-mara, musuh ketat, jiran depan, ayah ibu, pakcik makcik, datuk nenek, abang adik, Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, sepupu dan rakan sekerja tentang buku ini. Jika ramai yang suka, himpunan catatan 2001 - 2003 akan menyusul. Sekian, terima kasih.

Friday, June 20, 2003

Aku (dalam guestbook): Apa masalah dengan Blogger aku entah. Aku update tapi tak keluar kat blog. Lapan puluh kali dah republish. Orang lain boleh pulak update kat Blogspot. Hangin satu badan. Aku nak tukar button "POWERED BY BLOGGER" kat bawah tu dengan "POWERED BY ANGER".

Kak (dalam email): Nah. Powered by anger :)

Thursday, June 19, 2003

HARI GENG JURNAL MELAWAT SHAH ALAM

Hari ini aku isytiharkan sebagai "Hari Geng Jurnal Melawat Shah Alam".

Petang tadi Mie datang Shah Alam. Mie tak tahu jalan ke Seksyen 6, tempat baru aku, jadi aku tunggu dia kat Kompleks PKNS. "Perang dah habis kan?" aku tanya Mie. Lepas tu kami makan di McDonald's.

Aku beli tiga helai t-shirt Geng Jurnal. Dua untuk aku, satu untuk Kak Max. Sepatutnya harga RM21 sehelai, tapi Mie jual kat aku RM20. "Harga kawan-kawan," kata Mie.

"Oh, ni kira harga pelajarlah ni?" tanya aku, yang masih berstatus pelajar.

"Err, tak. Kalau harga pelajar RM18. Aku jual harga kawan-kawanlah RM20," kata Mie.

Malam pulak Zaza datang Shah Alam. "Aku ada kat Kolej Melati ni. Teman member aku hantar barang adik dia," sms Zaza.

"Aku ada kat Seksyen 6," sms aku.

"Seksyen 6 tu kat mana pulak?" sms Zaza.

"Seksyen 6 tu dua tiga roundabout aje dari ITM," sms aku.

Zaza call, "assalamualaikum, banyak la hang punya roundabout!"

NOTA: Shah Alam banyak roundabout.

Ada Geng Jurnal lain nak datang Shah Alam?


SCREW DRIVER & TORCHLIGHT

Jiran depan: "Mat Jannn!!! Ada screw driver takkk???"

Mat Jan sibuk main game Pinball kat PC.

Zumir: "Ada. Yang bunga ke apa?"

Jiran depan: "Bunga? Err, entah!"

Zumir explain kat jiran depan, ada dua jenis screw driver, nak pinjam yang mana satu?

Mat Jan masih sibuk main Pinball.

Jiran depan: "Yang bunga."

Sepuluh minit kemudian...

Jiran depan: "Orang depannn!!! Ada torchlight takkk???"

Mat Jan main Pinball.

Zumir: "Tak ada bateri."

Jiran depan: "Tak apalah."

Yay! 9,647,767! Markah Pinball Mat Jan. Paling tinggi dalam rumahnya.

Jiran depan: "Zumirrr..."

Hmm... aku rasa jiran depan tak nak beli screw driver dan torchlight atas sebab yang sama kami tak nak beli peti sejuk.


KAMI, AZHAR & MOTOSIKAL

Azhar, teman serumah lama kami, pergi latihan pramugara sejak beberapa bulan lepas. Dia tinggalkan motosikal dia untuk kegunaan kami. Semalam Azhar telefon, dia kata dia nak ambik balik motosikal dia.

Zumir: "Kau dah terbang ke belum?"

Azhar: "Dah!"

Zumir: "Err, kau dah 'terlampau' ke belum?"

Azhar: "Esok aku nak ambik balik motor aku."

Kalau Azhar ambik balik motosikal dia, payahlah sikit kami nak bergerak. Selama ni kami guna motosikal dia untuk pergi beli makanan.

(Oh ya, jiran depan dah hantar nasik goreng ;p)

Tuesday, June 17, 2003

Aku: Kat sini tak ada langsung VCD haram. Kami pergi kedai VCD yang selalu, amoi tu cakap dia nak jual tupperware pulak.

Kak: Tupperware tu ori ke palsu?

Saturday, June 14, 2003

Mie:

AHLI JAWATANKUASA GENGJURNAL 2003

Presiden : Cik Easy
Naib Presiden : Tok Rimau
Setiausaha : Cik Daun
Bendahari : Kaezrin

AJK Pusat
Toksik, Spyz, Amyz, Jigo, Nana, Pipet, Mukeh

BAHAGIAN UTARA [Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak]
Kak Max

BAHAGIAN TIMUR [Kelantan, Terengganu, Pahang]
Aidil

BAHAGIAN SELATAN [Negeri Sembilan, Melaka, Johor]
Fajar

BAHAGIAN BARAT [Sabah, Sarawak, Labuan]
Mohd Najib

BAHAGIAN LUAR NEGARA
Rafthah


Syafizan:

Assalamualaikum dan salam mesra. Terlebih dahulu tak terlewat kiranya saya mengucapkan tahniah kepada saf kepimpinan baru geng jurnal.

Ada satu kemusykilan namun, kenapa bahagian Sabah/Sarawak dipanggil bahagian BARAT? Sabah/Sarawak adalah Malaysia Timur, Semenanjung yang Malaysia Barat. Sabah/Sarawak dapat cahaya matahari lebih awal dari negeri-negeri lain di Malaysia, kerana mereka lebih timur. Imsak lebih awal dan buka puasa lebih awal juga.

Rasanya tidak sesuai Sabah/Sarawak dipanggil bahagian BARAT. Atau mungkin ada alasan lain untuk nama itu. Saya mengharapkan penjelasan.

Terima kasih.


Saharil:

Syafizan, kalau kita start dari Kuala Lumpur, pas tu kita gi barat naik helikopter tak henti-henti, lama-lama sampai juga la ke Sabah Serawak. Tu yang dipanggil barat tu..


Syafizan:

Okay.

Friday, June 06, 2003

RUMAH BARU (PART 2)

Hostel. Satu lagi alternatif. Ayah cadangkan ini. Tapi aku tak mahu. Ada lima sebab aku tak mahu.

PERTAMA: Ada 45,000 pelajar di universiti aku. Hostel cuma mampu menampung 13,000. Lima puluh peratus pelajar (+/- 22,500 orang) bersaing untuk mendapat 13,000 tempat. Keutamaan akan diberikan kepada pelajar aktif dan pelajar miskin. Aku mungkin boleh dapat tempat pelajar aktif, tapi kalau aku masuk, aku mungkin menutup peluang seorang pelajar miskin -- yang menyewa satu rumah pangsa dua puluh orang, yang tidur atas kotak sebab tak mampu beli tilam, yang kalau makan tengah hari berlauk akan makan malam tanpa lauk -- aku rasa mereka lebih berhak.

KEDUA: Aku tak ada kawan sekursus kalau aku tinggal di hostel. Kawan-kawan sekursus aku sama ada tak cukup miskin atau tak cukup aktif untuk tinggal di hostel. Ini akan menyusahkan aku bila ada group assignment atau nak buat discussion.

KETIGA: Kalau tinggal ramai-ramai di rumah sewa KURANG privacy, maka tinggal di hostel pula TIADA privacy langsung. Kes kecurian pun tinggi -- duit, pakaian, handphone adalah barang kegemaran. Aku tak berani bawa laptop kalau aku tinggal di hostel.

KEEMPAT: Cara hidup di hostel yang aku tak suka. Penghuni hostel biasanya digunakan sebagai pemeriah majlis. Bila orang besar datang rasmi program di universiti, bila tv buat lintas langsung di universiti, dan sebagainya. Paling tak tahan, bila dijadikan pemeriah majlis di luar universiti, jadi pendengar ceramah politik. Kadang-kadang kena pegang banner yang orang lain buat, dan esok masuk paper dengan tajuk "Mahasiswa Menyokong Kita".

KELIMA: Curfew.

. . . . .

Rumah berkembar dua tingkat ditolak. Hostel pun ditolak. Aku "rujuk" balik dengan teman-teman serumah lama. Aku masuk rumah pangsa juga. Jauh memang jauh. Tapi perjuangan Rasulullah mula menyinar setelah baginda berhijrah jauh.

Rumah lama dulu jiran kiri kanan orang berkeluarga. Rumah baru sekarang tiada jiran kiri kanan tapi ada jiran depan. Dan jiran depan bukan orang berkeluarga tapi orang bujang juga. Pelajar di tempat yang sama juga. Yang bezanya, orang bujang rumah depan dari spesis lain. Spesis yang terpaksa bangun lebih awal daripada kami, untuk pergi kelas pada waktu yang sama, kerana nak berbedak dan bergincu. Perempuan.

Rumah baru datang sekali dengan rutin baru. Malam-malam kami jadi "ahli mesyuarat pintu". Berkumpul depan pintu "bermesyuarat" dengan orang rumah depan. Grille rumah buat suasana macam banduan berbicara dengan banduan sel depan. Kami mungkin tak akan beli peti sejuk walaupun kami mampu, sebab nanti kurang satu alasan untuk ketuk rumah depan -- nak pinjam ais kiub! Walaupun tahu Lan akan bawa balik suratkhabar malam nanti, itu tidak menjadi halangan untuk Zumir pinjam suratkhabar rumah depan.

Setakat ini belum ada "lauk lebih" dan "kuih lebih" yang dihantar oleh rumah depan. Tapi aku yakin, tak lama lagi akan ada. Experience teaches you well.

Tuesday, June 03, 2003

RUMAH BARU (PART 1)

Rumah lama dulu rumah teres dua tingkat. Tuan rumah duduk bawah, kami menyewa kat atas. Sewa yang kami bayar termasuk api dan air. Kau guna lampu elektrik atau guna pelita minyak tanah, bayarannya sama. Kau mandi tujuh kali sehari atau mandi tujuh hari sekali, bayarannya sama.

Rumah baru sekarang rumah pangsa. Sewa yang kami bayar TAK termasuk api dan air. Kami tinggal berlima, sewa boleh bahagi sama. Bil api dan air mungkin boleh mengundang sengketa.

Aku kata pada Ayi: "Kita mandi lama. Tak adil pada kawan-kawan yang mandi sekejap kalau bil air dibahagi sama rata."

Ayi kata pada aku: "Adil. Walaupun kita mandi lama, tapi kita tak basuh baju. Mereka mandi sekejap, tapi mereka guna air berbaldi-baldi untuk merendam dan membilas baju."

Aku gelak.

Tapi itu dulu. Dulu kedai dobi depan rumah.

. . . . .

Rumah lama dulu ada dua baris kedai di depan. Kedai makan, kedai fotostat, kedai gambar, kedai gunting rambut, kedai runcit, pengurup wang asing, cyber cafe, kedai komputer, pereka hias dalaman, bengkel motosikal, klinik, klinik gigi, kedai vcd haram, kedai dobi, semua ada depan rumah.

Rumah baru sekarang jauh di ceruk rantau. Nak makan, kena berjalan jauh ke utara. Nak naik bas pergi kelas, kena berjalan jauh ke selatan. Kedai dobi jauh, cyber cafe jauh. Semua-semua pun jauh.

Ada rumah kosong yang dekat dengan rumah lama. Rumah berkembar dua tingkat. Kena sewa satu rumahlah, tak boleh sewa atas saja macam rumah lama. Sewa empat angka, kena duduk ramai-ramai. Aku hampir-hampir "bercerai" dengan teman serumah lama, sebab nak duduk rumah ni dengan teman-teman baru. Yang aku kenal cuma seorang dua, yang lain-lain aku tak kenal. Bukan aku tak suka teman-teman lama, tapi aku tak suka duduk jauh-jauh.

Teman-teman lama tak mahu duduk ramai-ramai. Bila ramai -- kau masuk bilik aku, aku masuk bilik kau -- kurang privacy. Sebab itu teman-teman lama mahu masuk rumah pangsa, walaupun lokasinya jauh tapi sewanya tiga angka, jadi boleh duduk berlima sahaja.

Rumah berkembar dua tingkat itu, tuan rumahnya mahu sewa sebulan + deposit dua bulan + utiliti (setengah bulan sewa). Beribu-ribu ringgit perlu dibayar sekaligus. Kami baru ada 11 orang. Dan majoritinya pelajar yang "melanjutkan" pelajaran (dalam erti "extend" bukan "further"), tiada lagi wang pinjaman dan biasiswa. Kerana gagal mendapatkan penghuni tambahan untuk menampung bayaran sewa + deposit + utiliti, rumah berkembar dua tingkat itu terpaksa dilupakan.