Sunday, November 02, 2003
GELAK KHAS
Dahagakan komedi Bahasa Melayu di tv, aku menonton GERAK KHAS (yang aku panggil GELAK KHAS). Kalau SENARIO gagal buat aku gelak sebab lawak dia tak lawak, GERAK KHAS pula sebaliknya berjaya buat aku gelak sebab benda yang tak sepatutnya lawak. GERAK KHAS, pada aku, tak real.
Satu: sebab PDRM ada Bahagian Narkotik, Bahagian Jenayah, Unit Anjing Pengesan, dan sebagainya. Tapi dalam GERAK KHAS, polis yang sama handle kes dadah, polis yang sama handle kes bunuh, dan agaknya polis yang sama juga jadi anjing pengesan. Tak ada muka lain.
Dua: tengok cerita polis orang putih, ada pintu pecah, tingkap pecah, cermin pecah. Tapi dalam GERAK KHAS, tak ada benda pecah langsung. Polis buat kerja dengan berhati-hati.
Tiga: polis tembak dengan pistol dan kena. Orang jahat tembak dengan machine gun tapi polis boleh elak. NEO bukan THE ONE aku rasa, ada sepuluh orang lagi boleh elak peluru macam dia -- polis GERAK KHAS.
Dalam satu episod namun, persepsi aku berubah.
Bila nampak nama Aziz Singah keluar sebagai pelakon undangan, sebelum drama bermula, aku dah teka: dia akan pegang watak orang kaya yang ada anak bermasalah. Dan ya, tekaan aku tepat. Dalam episod hari tu, Aziz Singah pegang watak Datuk yang ada anak hisap dadah. Nostradamus taklah hebat sangat, aku pun boleh ramal masa depan (bila menonton drama Melayu of course).
Anak Datuk ini lari dari rumah. Dan hisap dadah dengan kawan-kawan sebayanya. Diulang: SEBAYA. Datuk pergi report polis. Selepas itu, seperti dalam setiap episod, dua/tiga orang polis pun berjalan-jalan di koridor sambil bersembang: "Ya Mazlan, menurut Tan Sri KPN kita, 70% penagih yang terlibat dalam bla bla bla... kita mesti bertindak secara MESRA, CEPAT dan BETUL..."

Setelah menjalankan siasatan (dan bersembang di koridor), polis GERAK KHAS yang handal tu berjaya mengesan anak Datuk tadi tengah hisap dadah dengan kawan-kawan sebayanya. Kawan-kawannya digari dan dilayan kasar macam penjenayah. Tapi anak Datuk ini tidak digari, malah dinasihat oleh polis: "Kenapa adik berkawan dengan budak-budak jahat ini? Kasihan mak ayah adik. Mereka orang ternama. Insaflah bla bla..."
Mungkin nak tunjuk polis tu mesra dan betul.
Tapi cuba kau fikir, BETUL ke macam tu? Kenapa bila ANAK DATUK hisap dadah, dia TERSILAP JALAN. Tapi bila ANAK ORANG LAIN hisap dadah, dia BUDAK JAHAT? Kenapa bila ANAK DATUK hisap dadah, dia TIDAK DIGARI malah DINASIHAT. Tapi bila ANAK ORANG LAIN hisap dadah, dia DIGARI dan DILAYAN MACAM PENJENAYAH?
Kenapa? Katanya drama Gerak Khas nak menaikkan imej polis, tak ada watak polis terima rasuah dan sebagainya. Tapi, tidakkah babak amalan double-standard polis -- memberi layanan istimewa kepada anak orang berada/ternama, dan layanan kasar kepada anak orang lain (walaupun mereka semua melakukan kesalahan yang sama) -- telah menjatuhkan imej polis? Sepatutnya, polis itu memberi layanan sama rata kepada penagih dadah tu tak kira dia anak siapa.
Adakah ini kelemahan atau memang disengajakan? Adakah Yusof Haslam cuba memaparkan realiti?
Entahlah. Tapi sekurang-kurangnya, kalau babak ini memang disengajakan, persepsi aku terhadap drama Gerak Khas dah berubah. Selama ini aku anggap Gerak Khas tak real. Nampaknya, masih ada unsur real dalam drama ini. Mungkin ;)
(NOTA: Ini bukan kritikan terhadap PDRM. Ini kritikan terhadap drama GERAK KHAS. Polis Malaysia semua baik-baik.)
# MJ | Permalink
|