Thursday, October 30, 2003
DATANG & PERGI
 ... dipecat ... meninggal dunia
 ... bersara ... diculik makhluk asing
Pemimpin datang dan pergi. Datangnya pelbagai cara, perginya pun begitu juga.
Muhammad wafat tanpa meninggalkan pesan siapa yang harus menggantikannya sebagai pemimpin umat. Selepas pertikaian dan perdebatan, Abu Ubaidah dan Basyir bin Saad mencadangkan Abu Bakar. Umar menyokong. Demikian juga yang lainnya. Abu Bakar dilantik menjadi pemimpin atas PILIHAN MAJORITI.
Pada hari-hari terakhir pemerintahannya, Abu Bakar meminta Uthman menuliskan wasiat bahawa penggantinya kelak adalah Umar. Dan Umar menjadi pemimpin setelah DILANTIK OLEH PEMIMPIN SEBELUMNYA.
Umar pula meninggalkan enam nama, untuk dipilih sebagai penggantinya. Empat orang mengundurkan diri. Tinggallah Uthman dan Ali. Setelah pungutan suara dijalankan, Uthman naik sebagai pemimpin.
Uthman seorang yang kaya dan dermawan. Walaupun banyak jasanya -- memperbesar Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, menyelesaikan pengumpulan naskah al-Quran, dan menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan China -- tetapi dia ada kelemahan yang ketara. Uthman mengamalkan dasar kronisme dan nepotisme. Uthman terlalu banyak mengangkat keluarganya memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Uthman melantik kroninya Marwan bin Hakam sebagai Setiausaha Negara. Amr bin As, Gabenor Mesir yang cemerlang telah dipecat oleh Uthman, dan digantikan dengan Abdullah bin Sarah (ahli keluarganya). Untuk jawatan Gabenor Iraq, Azerbaijan dan Armenia, Uthman melantik saudara seibunya, Walid bin Ukbah menggantikan tokoh besar Saad bin Abi Waqas. Namun kroni dan kerabat Uthman tak mampu menjalankan pemerintahan secara baik. Ketidakpuasan menjalar ke seluruh masyarakat. Gerakan revolusi tercetus.
Ramai mendesak Uthman supaya berundur. Namun Uthman menolak. Ali mengingatkan Uthman supaya kembali ke landasan Abu Bakar dan Umar. Muhammad bin Abu Bakar menghayunkan pedang. Al-Ghafiki menghentak besi ke kepala Uthman, sebelum Sudan bin Hamran menusukkan pedang. Setelah Uthman mati dibunuh, gerakan revolusi menaikkan Ali sebagai pemimpin. Dan Ali menjadi pemimpin MELALUI REVOLUSI.
Namun kucar-kacir tetap wujud pada zaman pemerintahan Ali. Ada pihak yang mahu Ali dihadapkan ke muka pengadilan, mereka mahu dia bertanggungjawab atas kematian Uthman. Umat Islam berpecah dan berperang sesama sendiri. Satu kumpulan diketuai oleh Ali, satu lagi diketuai oleh Aisyah.
Dan Ali, sebagaimana Uthman, mati dibunuh. Selepas itu Kerajaan Bani Umaiyah muncul. Pemimpin naik SECARA MONARKI. Anak menggantikan bapa.
Pemimpin Datang Pelbagai Cara
Kita belajar daripada sejarah. Kenapa Tuhan tak naikkan semua khalifah secara pilihan majoriti? Tuhan seakan memberi petunjuk, pemimpin boleh naik melalui pelbagai cara: 1) Pilihan Majoriti 2) Dilantik Oleh Pemimpin Sebelumnya 3) Melalui Revolusi 4) Secara Monarki
Sehingga ke hari ini kita dapat melihat, ramai pemimpin di seluruh dunia dilantik melalui cara yang pertama (pilihan majoriti).
Pak Lah pula, yang akan memulakan tugas sebagai PM kita mulai esok, dilantik melalui cara yang kedua. Pak Lah dilantik oleh Dr M, sebagaimana Umar dilantik oleh Abu Bakar.
Di Perancis, Russia dan Iran, kita dapat melihat pemimpin yang naik melalui cara yang ketiga, setelah Raja Perancis, Shah Iran dan Tsar Russia digulingkan melalui revolusi. Begitu juga Marcos di Filipina digulingkan oleh gerakan revolusi Lakas Sambayanan (kuasa rakyat). Di negara kita, walaupun satu ketika pernah berlaku gerakan seakan sama, yang menuntut pemimpin kita berundur, tapi gerakan itu dapat dipatahkan.
Dan masih ada lagi negara yang mengamalkan cara keempat (monarki). Malah, di negara kita sendiri, selain monarki dalam Raja-Raja Melayu, berlaku juga "monarki bentuk baru" (meminjam istilah Dr Munis Paran, pensyarah aku masa matrikulasi dulu). Contoh "monarki bentuk baru" ini: Onn Jaafar -> Hussein Onn -> Hishamuddin Hussein, dan Tun Razak -> Najib Tun Razak. Tak mustahil jika satu hari nanti rakyat akan memilih anak Dr M menjadi pemimpin, sebagaimana mereka memilih anak Tun Hussein dan anak Tun Razak. Di Amerika Syarikat juga berlaku "monarki bentuk baru" -- George Bush -> George W Bush Jr. Kedua-duanya suka menyerang negara orang. Bapak borek anak rintik.
Dan sejarah mencatatkan Aisyah yang naik menjadi ketua perang menentang kumpulan Ali. Kenapa Tuhan tak naikkan lelaki menjadi ketua perang itu? Sekali lagi, Tuhan seakan memberi petunjuk yang wanita juga layak menjadi pemimpin. Sehingga ke hari ini kita dapat melihat ada negara yang memilih wanita menjadi PM atau Presiden: di Britain, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Filipina. Di negara kita belum ada wanita yang jadi PM, tapi dah ada yang jadi menteri, dan dah ada yang jadi presiden parti politik (Wan Azizah). Pak Lah belum lantik TPM lagi, mungkin antara tiga Naib Presiden UMNO. Tapi kalau aku jadi Pak Lah (KALAU, aku bilang, KALAU), aku mungkin lantik Rafidah Aziz :)
Pemimpin tak semua benar, tak semua salah
Dalam menceritakan sejarah Khalifah ar-Rasyidin di atas, aku sengaja menceritakan kisah Uthman panjang sedikit daripada tiga khalifah yang lain. Sebab aku nak tunjukkan yang setiap pemimpin itu pasti ada benar dan salahnya. Uthman banyak jasanya. Ada dasarnya yang bagus, dan ada juga yang tidak (nepotisme misalnya). Ada yang membencinya (hingga mencetus revolusi mendesak dia berundur), dan ada yang menyokongnya (hingga melancarkan perang menuntut bela kematiannya).
Jarang-jarang ada pemimpin yang DISUKAI OLEH SEMUA ORANG. Dia mesti seorang pemimpin yang SANGAT AGUNG jika semua orang sukakan dia.
Dr M tak terkecuali. Bak kata A Samad Said dalam sajaknya Dirgahayu Dr Mahathir:
Memang ada yang sentiasa ingin membencimu, dan sesekali, soal bahasa yang mampu, aku juga begitu. Tapi, daun bakti yang lain wajar jua dikira; pemimpin tak semua benar, tak semua salah.
Ya. Pemimpin tak semua benar, tak semua salah. Begitu juga Dr M. Dalam kes A Samad Said, baris ...soal bahasa yang mampu, aku juga begitu... aku rasa dia tak suka dasar "Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris" Dr M, kerana pada dia Bahasa Melayu itu mampu sebagai bahasa ilmu. Dasar Dr M seakan menafikan kemampuan itu.
Bagi sasterawan dan pejuang Bahasa Melayu, mereka tak dapat terima dasar yang itu. Bagi pengamal undang-undang dan pejuang hak asasi, mereka tak dapat terima sesetengah dasar politik dan keselamatan dalam negeri (termasuk dasar tinggalan penjajah) yang Dr M teruskan. Bagi golongan agama, mereka mungkin tak dapat terima dasar Dr M tentang sekolah agama rakyat misalnya. Ada golongan tak suka dasar meritokrasi, dan ada pula yang tak suka dasar kuota/subsidi. Bagi penyokong fanatik parti pembangkang, mereka tak suka semua dasar Dr M :)
Pasti ada golongan itu dan golongan ini yang tak suka Dr M disebabkan dasar itu dan dasar ini. Adatlah. Dr M sendiri pun masa Tunku jadi PM banyak juga tak bersetuju dengan dasar Tunku. Kritik itu kritik ini. Aziz Shamsuddin, dalam rancangan "MAHATHIR 6 EPISOD" cakap: "Mahathir mengkritik Tunku bukan dia menentang, tapi dia mengingatkan!". Sewajarnya juga, bila ada rakyat mengkritik dasar Dr M, janganlah anggap mereka menentang, tapi anggaplah mereka mengingatkan. Sebab Dr M sendiri juga yang cakap: Melayu Mudah Lupa. Jadi apa salahnya kita saling mengingatkan.
Kalau kita baca buku Dr M, The Malay Dilemma, kita tengok banyak dasar kerajaan dan dasar UMNO yang dia kritik. Namun setelah dia sendiri jadi PM dan Presiden UMNO, ada dasar-dasar yang dikritik itu dia teruskan juga :)
Tapi bagi mereka yang membenci, tak sewajarnya membenci dia habis-habisan. Bak kata A Samad Said, ...daun bakti yang lain wajar jua dikira...
Dr M banyak jasanya. Seragamkan waktu Semenanjung dan Sabah/Sarawak, Dasar Pandang ke Timur, Kereta Nasional, Malaysia Boleh!, Penerapan Nilai Islam, Wawasan 2020, MSC, pendiriannya terhadap IMF/WTO/Globalisasi, pendiriannya terhadap sikap Yahudi, dan banyak lagilah kalau nak sebut. Banyak dasarnya yang wajar kita sokong.
Kalau kau tanya aku, apa yang akan buat aku rindu pada Dr M? Aku akan jawab: His sense of humour.
Pemimpin Pergi
Pemimpin datang, pemimpin pergi. Pemimpin datang pelbagai cara: pilihan majoriti, dilantik pemimpin sebelumnya, melalui revolusi, dan secara monarki. Pemimpin pergi pun pelbagai cara juga: digulingkan, kalah pilihanraya, dipecat, meninggal dunia, dan bersara.
Esok hari terakhir Dr M meneraju negara kita. Kita akan kehilangannya. Tapi bak kata pepatah: yang patah tumbuh, yang hilang berganti. Teringat aku catatan Encik Khairul di blognya, tentang kasutnya yang hilang. Katanya kehilangan kasut itu mungkin ada hikmahnya -- dia dapat pakai kasut baru bagi menggantikan kasutnya yang dah lama tu.
Jadi, aku nak kaitkanlah dengan kehilangan Dr M. Kehilangan Dr M itu ada hikmahnya -- kita akan dapat pemimpin baru bagi menggantikan pemimpin yang dah lama tu.
Selamat bersara Dr M. Selamat bertugas Pak Lah. Semoga Malaysia dilindungi Allah sentiasa. Amin.
# MJ | Permalink
|