Saturday, September 13, 2003

LIMA PULUH SEN

Benda paling menarik aku tengok dalam Buletin Utama baru-baru ni adalah "Undian SMS" tentang khidmat ATM Maybank. Soalannya lebih kurang begini:

    Wajarkah Maybank mengenakan caj 50 sen untuk setiap
    transaksi ATM?

    a) Wajar. Setiap perkhidmatan perlu ada upah.

    b) Tidak wajar. Bank telah banyak membuat keuntungan.

    Hantarkan SMS anda kepada bla bla bla...


Yang lawaknya, di bawah soalan tu ada tulis kecik aje:

    Setiap SMS dikenakan caj 50 sen.

Hahaha! Lawak, lawak!

Bukan aku nak membela Maybank, aku pun tak suka caj 50 sen Maybank tu. Tapi sekurang-kurangnya Maybank mengenakan caj di atas perkhidmatan yang ditawarkannya. Tapi TV3? Mereka buat survey, untuk dapatkan maklum balas daripada penonton. Sepatutnya, orang yang beri maklum balas itulah yang dapat imbuhan. Ini tidak, sudahlah penonton beri maklum balas, dia kena bayar 50 sen pulak untuk maklum balas yang dia beri tu. Ada ke patut?

Aku rasa TV3 tak ikhlas buat "Undian SMS" tu. Mereka bukan nak dapatkan maklum balas penonton sangat pun, tapi mereka nak dapatkan KEUNTUNGAN. Kalau betul ikhlas nak dapatkan maklum balas, kenapa tak pakai sistem SMS kadar biasa, seperti yang dibuat oleh RTM dalam rancangan "Bersama Norman" misalnya? Kenapa nak pakai sistem "ala-AFUNDI" dengan kadar 50 sen?

ASTRO untung banyak melalui AFUNDI, jadi TV3 pun nak jugak. Tapi ASTRO tak apalah, penonton mereka kaya-kaya (orang miskin mana pasang ASTRO kat rumah). Ini TV3 sudahlah stesen percuma, isu dalam "Undian SMS" tu pulak melibatkan orang berpendapatan rendah. Sebab Maybank cuma kenakan caj 50 sen tu kepada pelanggan yang jumlah simpanannya tak sampai RM5,000. Nah, orang-orang miskin inilah nanti yang berlumba-lumba jawab "TIDAK WAJAR" untuk Undian SMS TV3 tu. TV3 dapat keuntungan dengan menindas/mengeksploitasi orang berpendapatan rendah. Kejam kan?

Kalau aku tauke Maybank, aku akan buat UNDIAN PERCUMA kat laman web Maybank. Soalannya:

    Wajarkah TV3 mengenakan caj 50 sen untuk setiap SMS
    maklum balas penonton?

    a) Wajar. Sebab orang berpendapatan rendah memang
        dilahirkan untuk ditindas/dieksploit.

    b) Tidak wajar. Orang yang ada SMS tidak cukup miskin
        untuk ditindas, mereka masih mampu beli telefon bimbit.
        Sepatutnya, tindaslah peminta sedekah di tepi jalan!


Sebenarnya, baik Maybank mahupun TV3, kedua-duanya sama saja. Caj 50 sen Maybank ke atas pelanggan dengan simpanan kurang RM5,000, dan caj 50 sen TV3 ke atas SMS maklum balas penonton berkaitan isu ini, telah mengajar kita realiti hidup: orang berpendapatan rendah sentiasa jadi mangsa penindasan/ eksploitasi golongan kaya untuk mendapatkan keuntungan.

Selamat datang ke planet bumi.

* Setiap respon dikenakan caj 50 sen, hahaha!