Tuesday, August 12, 2003

ULASAN FILEM: MISTIK

Satu hari, Zumir bawak balik vcd MISTIK (original lagi!), filem arahan Prof Madya A Razak Mohaideen.

Filem seram ini mengisahkan sekumpulan pelajar IPT yang diberi assignment oleh pensyarah mereka -- membuat kajian tentang misteri alam ghaib. Sebagai pelajar IPT, mereka boleh mencari bahan di internet, ataupun bagi yang rajin sedikit, boleh mendapatkan maklumat daripada Pameran Hantu Muzium Negara, rancangan tv Misteri Nusantara, majalah-majalah ala-Mastika, serta buku-buku karya Tamar Jalis dan Tok Awang Ngah. Tetapi mereka agaknya buta IT dan malas membaca (serta malas menonton tv juga), maka mereka telah memilih untuk mencari maklumat di hutan terpencil!

Mengapa mereka memilih hutan terpencil? Mereka, sekumpulan pelajar IPT lelaki dan perempuan, pergi ke hutan terpencil TANPA pensyarah pengiring. Adalah dipercayai mereka memilih tempat itu disebabkan port-port lain seperti taman tasik dan bawah tangga telah dihidu oleh pihak Edisi Siasat NTV7.

Pelbagai kejadian berlaku sepanjang filem seram ini, err, kecuali kejadian seram!!! Walaupun menguap tujuh lapan kali sepanjang cd satu, aku dan kawan-kawan terus jugak menonton hingga habis cd dua sebab classmate kami, Azlin aka Lin Potpet, jadi pelakon tambahan dalam filem ni.

Mungkin orang lain tak perasan. Pelakon-pelakon tambahan yang jadi classmates kepada budak-budak tu adalah pelakon-pelakon tambahan yang sama yang jadi puteri bunian. Hmm... agaknya itu sebenarnya misteri cerita MISTIK ni -- classmates budak-budak tu adalah puteri bunian! Uhh seramnyaa... puteri bunian pergi kelas... takuttt!!!



Di akhir cerita, apa hasil kajian pelajar-pelajar tersebut? TAK ADA HASIL LANGSUNG. Tapi mereka mesti dapat A+ punya. Sebab apa? Sebab ketua projek itu adalah Cico dan pensyarahnya pulak Uji Rashid. Ada unsur nepotisme di situ (Cico adalah anak Uji Rashid ;P).

Lupakan lagu "Tuai Padi Antara Masak" yang mendayu-dayu tu. Kini ibu-ibu mempunyai pilihan lain untuk mendodoikan anak -- filem MISTIK! Sesuai untuk mendodoikan seisi keluarga. Daripada tengok MISTIK, lebih baik tengok CAKARAMA TOK RIMAU.