Wednesday, July 23, 2003

POLIGAMI

Poligami dibenarkan dalam Islam. Tiada keraguan di situ. Diwahyukan dalam al-Quran pun:

"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman."
(Surah an-Nisa, ayat 3)

Tetapi poligami bukan dibenarkan sewenang-wenangnya. Ayat di atas diturunkan selepas perang, di mana ramai isteri menjadi janda, dan anak-anak menjadi yatim. Baca betul-betul: "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap ANAK YATIM, maka berkahwinlah... DUA, TIGA ATAU EMPAT". Kalimah "adil" dalam ayat ini bermaksud KEADILAN SOSIAL. Kebenaran berkahwin dua, tiga atau empat diberi untuk membela nasib JANDA dan ANAK YATIM.

Kalau kita takut ada JANDA yang terabai dan ANAK YATIM yang teraniaya disebabkan mereka tiada suami/bapa, maka kita kahwinlah DUA, TIGA ATAU EMPAT (dengan janda terabai yang ada anak teraniaya tu). Tapi zaman sekarang ni, di mana kebanyakan wanita sudah bekerja, dan mereka masih mampu hidup walaupun ketiadaan suami; dan wujudnya Jabatan Kebajikan Masyarakat serta rumah anak yatim di mana anak-anak yatim boleh meneruskan hidup walaupun tanpa bapa; keperluan untuk berkahwin DUA, TIGA ATAU EMPAT tu sebenarnya sudah berkurang.

Masalahnya, ada orang sekarang ni bukan berkahwin DUA, TIGA ATAU EMPAT dengan janda anak ramai (yang tidak bekerja dan hilang mata pencarian akibat kematian suami), tapi berkahwin DUA, TIGA ATAU EMPAT dengan anak dara yang cantik jelita. Akan berlaku KETIDAKADILAN SOSIAL di sini bila Datuk-Datuk yang kaya-raya berkahwin DUA, TIGA ATAU EMPAT dengan anak dara yang muda-muda -- habis lelaki bujang yang muda-muda nak kahwin dengan siapa? :P

Lebih menyedihkan lagi bila golongan di atas berkahwin DUA, TIGA ATAU EMPAT atas alasan "ikut sunnah Nabi". Tak betul tu. Sepanjang 25 tahun, Rasulullah cuma ada SEORANG isteri. Selepas kematian Khadijah, baru baginda kahwin dengan Aisyah dan isteri-isteri lain. Dan Aisyah satu-satunya isteri baginda yang anak dara, isteri-isteri lain semuanya janda (yang terabai, yang ada anak teraniaya, akibat ketiadaan suami/bapa). Kalau betullah nak ikut sunnah Nabi, lepas isteri pertama matilah baru kau kahwin lain. Dan kahwin dengan sorang aje anak dara, yang lagi DUA, TIGA DAN EMPAT tu kau kahwin dengan janda (terabai) yang ada anak (teraniaya).

Rasulullah sendiri tidak membenarkan menantunya Ali berpoligami. "Aku tak benarkan mereka (Ali dan anak pompuan Hisham ibn al-Mugirah) berkahwin kali ni, dan aku tak akan benarkan mereka berkahwin pada masa depan, melainkan setelah Ali ibn Abi Talib menceraikan anak aku (Fatimah) dulu. Sesungguhnya dia (Fatimah) sebahagian dari aku, dan apa yang menyusahkan dia menyusahkan aku juga, dan apa yang menyakitkan dia menyakitkan aku juga," sabda baginda (Sunan Ibn Majah, Jilid 1, mukasurat 616).

Baginda sendiri menghalang Ali berpoligami, beranikah kita kata baginda "menolak hukum"? Sebab tu bila ada kumpulan tertentu menentang poligami, tidak wajar kita terus cop mereka "menolak hukum". Dengar dulu argument mereka. Kalau selari dengan ayat Quran dan Hadis, okaylah. Macam kempen "Satu Suami=Satu Isteri" tu, aku rasa selari dengan ayat Quran "...jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka BERKAHWINLAH DENGAN SEORANG SAHAJA..."

Rasulullah tak benarkan Ali berkahwin dengan anak pompuan Hisham ibn al-Mugirah sebab pompuan tu bukan janda. Poligami dibenarkan untuk membela nasib JANDA TERABAI dan ANAK YATIM TERANIAYA. Sepatutnya, kita bukan patut tengok kelayakan suami sahaja (dari segi kewangan misalnya) untuk membenarkan dia berpoligami, tapi kita kena lihat kelayakan BAKAL ISTERI (kedua/ketiga/keempat) itu juga -- Jandakah dia? Ada anakkah dia? Kalau janda, terabaikah dia? Kalau ada anak, teraniayakah mereka?

Kalau cukup semua syarat tu, baru wajar berpoligami. Kerana itu adalah tujuan asal poligami dibenarkan -- menegakkan KEADILAN SOSIAL. Membela nasib janda dan anak yatim. Bukan membela nafsu lelaki kaya (dan menzalimi isteri mereka).

Wallahualam.

-------------------------
Bacaan tambahan:
Imam Shafie. Kitab al-Umm, Jilid 5, mukasurat 36.
Shaik Abu Bakar al-Razi. Akhamul Quran, Jilid 2, mukasurat 66.
Syed Abu Bakar al-Bakri. I'anat at-Talibin, mukasurat 376.
Rashid Rida, Tafsir at Manar, Jilid 4, mukasurat 349-350.
Ahmad Safwat. "The Theory of Muslim Law". (1920) 2 Journal of Comparative Legislation and International Law 310 (diterbitkan semula dalam [1946] MLJ xi).
JN Anderson. Islamic Law in the Modern World, mukasurat 49.