Tuesday, June 03, 2003

RUMAH BARU (PART 1)

Rumah lama dulu rumah teres dua tingkat. Tuan rumah duduk bawah, kami menyewa kat atas. Sewa yang kami bayar termasuk api dan air. Kau guna lampu elektrik atau guna pelita minyak tanah, bayarannya sama. Kau mandi tujuh kali sehari atau mandi tujuh hari sekali, bayarannya sama.

Rumah baru sekarang rumah pangsa. Sewa yang kami bayar TAK termasuk api dan air. Kami tinggal berlima, sewa boleh bahagi sama. Bil api dan air mungkin boleh mengundang sengketa.

Aku kata pada Ayi: "Kita mandi lama. Tak adil pada kawan-kawan yang mandi sekejap kalau bil air dibahagi sama rata."

Ayi kata pada aku: "Adil. Walaupun kita mandi lama, tapi kita tak basuh baju. Mereka mandi sekejap, tapi mereka guna air berbaldi-baldi untuk merendam dan membilas baju."

Aku gelak.

Tapi itu dulu. Dulu kedai dobi depan rumah.

. . . . .

Rumah lama dulu ada dua baris kedai di depan. Kedai makan, kedai fotostat, kedai gambar, kedai gunting rambut, kedai runcit, pengurup wang asing, cyber cafe, kedai komputer, pereka hias dalaman, bengkel motosikal, klinik, klinik gigi, kedai vcd haram, kedai dobi, semua ada depan rumah.

Rumah baru sekarang jauh di ceruk rantau. Nak makan, kena berjalan jauh ke utara. Nak naik bas pergi kelas, kena berjalan jauh ke selatan. Kedai dobi jauh, cyber cafe jauh. Semua-semua pun jauh.

Ada rumah kosong yang dekat dengan rumah lama. Rumah berkembar dua tingkat. Kena sewa satu rumahlah, tak boleh sewa atas saja macam rumah lama. Sewa empat angka, kena duduk ramai-ramai. Aku hampir-hampir "bercerai" dengan teman serumah lama, sebab nak duduk rumah ni dengan teman-teman baru. Yang aku kenal cuma seorang dua, yang lain-lain aku tak kenal. Bukan aku tak suka teman-teman lama, tapi aku tak suka duduk jauh-jauh.

Teman-teman lama tak mahu duduk ramai-ramai. Bila ramai -- kau masuk bilik aku, aku masuk bilik kau -- kurang privacy. Sebab itu teman-teman lama mahu masuk rumah pangsa, walaupun lokasinya jauh tapi sewanya tiga angka, jadi boleh duduk berlima sahaja.

Rumah berkembar dua tingkat itu, tuan rumahnya mahu sewa sebulan + deposit dua bulan + utiliti (setengah bulan sewa). Beribu-ribu ringgit perlu dibayar sekaligus. Kami baru ada 11 orang. Dan majoritinya pelajar yang "melanjutkan" pelajaran (dalam erti "extend" bukan "further"), tiada lagi wang pinjaman dan biasiswa. Kerana gagal mendapatkan penghuni tambahan untuk menampung bayaran sewa + deposit + utiliti, rumah berkembar dua tingkat itu terpaksa dilupakan.