kisah klasik untuk masa depan

apa kita hendak buat kalau kita ada duit satu ringgit?

kalau kita genggam sahaja di dalam tangan, ada dua kemungkinan - satu, duit itu akan masih ada di dalam tangan. dua, duit itu hilang sedang kadang-kadang kita sendiri tidak sedar bila kita buka tangan kita. dan kalau kita genggam sahaja duit itu, kita tidak akan dapat apa-apa. kita tahu dengan seringgit kita boleh beli aiskrim tetapi dengan hanya menggenggam duit seringgit, kita hanya akan dapat menelan air liur melihat orang lain makan asikrim.

kalau kita guna duit itu untuk membeli barang - misalnya aiskrim, juga ada dua kemungkinan - satu, kita berpuashati. aiskrim itu sedap dan memakannya menyebabkan kita rasa hebat. dua, kita tidak berpuashati. aiskrim itu rasa seperti air mineral dan kita hanya sempat makan sedikit sahaja sebelum kita rasa hendak muntah. walauapapun kemungkinannya, menggunakan duit itu untuk membeli barang akan menyebabkan kita sudah tidak ada duit lagi.

kalalu kita bahagia dua; lima puluh sen untuk beli barang dan lima puluh sen lagi untuk disimpan, juga akan ada dua kemungkinan. satu, kita gembira sebab kita dapat beli barang dan dapat menyimpan. dua, kita tidak gembira sebab dengan lima puluh sen barang yang kita dapat beli adalah terhad dan mungkin tidak sebaik barang yang dapat kita beli dengan harga satu ringgit. aiskrim harga lima puluh sen barangkali hanyalah aiskrim yang dicucuk dengan kayu berbanding aiskrim seringgit yang diletak di dalam kon. tapi macam-macam mana pun, kita masih ada lagi lima puluh sen. kita masih ada duit untuk diguna di masa hadapan.

apa kita hendak buat kalau kita ada seorang anak yang degil dan tidak mahu mendengar kata?

dilantik menjadi guru kelas telah menjadikan saya seorang duda - ayah tanpa isteri. lebih menyedihkan, saya menjadi ayah tunggal kepada empat puluh orang anak.

ada anak murid sama seperti ada anak sebenar - apa-yang-kita-dapat-itulah-yang-kita-dapat. kita tidak boleh kata 'saya belum sedia untuk jadi ayah' atau 'saya tak nak anak macam ni'. dan perkara pertama yang bermain di dalam fikiran saya - 'apa yang aku nak buat dengan budak-budak ni?'

tetapi; bak kata orang, yang paling sukar ialah semasa hendak bermula. sebaik sahaja sudah bermula, kita sudah tahu apa yang hendak dibuat - walaupun mungkin kita tidak melakukannya dengan cara yang betul. dan antara perkara pertama yang saya belajar tentang 'ilmu kebapaan' ini ialah seseorang anak itu tidak akan kembali kepada ibubapa jika dia tidak ada sebarang hajat. ini kerana sepanjang penggal pertama, kebanyakan yang datang berjumpa saya hanyalah untuk meminta saya menandatangani surat cuti sakit. jarang benar yang datang untuk berbincang tentang masalah.

sebaik sahaja masuk penggal kedua, realiti 'dilema mendidik anak' mula muncul.

di awal penggal, saya menerima arahan untuk mendaftarkan matapelajaran kesemua murid kelas. dan arahan kepada semua murid adalah jelas - sebaik sahaja selesai mendaftar di dewan besar, jumpa guru kelas untuk mendaftar matapelajaran. tetapi sehingga selesai hari pendaftaran, lima orang tidak datang ke meja saya.

seorang menelefon dan berkata 'nenek saya sakit'.

seorang lagi memberitahu melalui orang lain - 'saya nak berenti'.

tiga lagi senyap tanpa berita.

sebagai 'bapa' yang prihatin, saya menelefon seorang-seorang bertanya khabar. dan jawapan yang saya terima adalah sama - 'saya daftar minggu depanlah encik'. berbuih mulut saya menerangkan minggu pendaftaran hanya setakat minggu ini sahaja. minggu depan kelas sudah bermula. kalau tidak mendaftar, tidak boleh masuk kelas. dan tidak boleh masuk periksa. tapi jawapan mereka 'tak apalah encik. tengoklah dulu' dan terus meletak telefon.

kadang-kadang saya pelik kenapa seorang ayah boleh melempang anaknya sendiri. sekarang baru saya faham kenapa. dan saya menjadi bingung - apa saya hendak buat?

seperti juga ada duit satu ringgit, pilihan saya ada tiga.

pertamanya saya biarkan sahaja. 'lantak engkaulah. kau taknak daftar, itu kau punya pasal. kau tak boleh masuk periksa, padan muka kau'. kedua, saya 'lepaskan segalanya'. bila budak itu datang berjumpa saya minggu hadapan, saya 'bagi cukup-cukup'. kalau dia hendak menangis, biar dia menangis. apa yang saya belajar dari filem anakku sazali, anak ini kalau diberi muka, dia akan naik ke atas muka dan conteng muka kita dengan arang.

atau saya pilih yang ketiga, fikir tentang masa depan.

budak-budak adalah budak-budak. suka main, malas belajar. apa yang dia buat semua dia rasa betul, apa yang kita buat semua dia kata tidak betul. tetapi kita tidak boleh salahkan mereka. kita orang besar. orang besar kena jaga orang kecil. kita tidak boleh marah kalau mereka buat salah. kita kena faham yang kadang-kadang, mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka buat. dan sebagai orang besar, kita ada tanggungjawab untuk tunjukkan mereka apa yang betul, apa yang salah.

jika saya memilih yang ketiga, awal minggu depan saya terpaksa menjadi 'guru kaunseling'. dan kalau saya mahu menjadi guru kaunseling, saya kena banyak-banyak minum air cap badak - untuk melegakan 'badan yang panas'.

yang manakah cara terbaik untuk mendidik anak?

kepada saya, jawapannya sama seperti apa yang kita mahu buat kalau kita ada duit satu ringgit - 'itu duit kita. sukahatilah kita hendak buat apa pun'.

awal minggu depan, tahulah saya apa hendak buat :)

*kepada sesiapa yang akan menjadikan saya suami, saya tidak akan janji saya akan jadi ayah yang baik. tapi saya sedang belajar :)


kisah silam