encik_khairul@hotmail.com

1 2 3 4 5 

6 
kisah klasik no. 5: ukur seluar di badan sendiri
bolehkah kita (atau kuasa lain selain tuhan) menghasilkan manusia yang sama?

orang-orang tua jawab tidak boleh. sebab kalau pun rambut boleh jadi sama hitam, hati akan jadi lain-lain.orang pandai sains cakap boleh. mereka guna istilah klon. tapi setakat hari ini, hanya patung lilin sahaja yang mirip manusia yang betul. tapi masih juga tidak sama. sebab itu orang agama akan kata tidak boleh dengan yakin. sebab agama ajar, tuhan buat manusia ini lain-lain.

tapi kadang-kadang kita fikir bukankah baik kalau semua manusia ini sama?

tidak ada pencuri sebab semua manusia baik. tidak ada orang duduk dalam bangsal buruk sebab semua orang ada banglo tiga tingkat. tidak ada manusia yang terlantar kebuluran sebab semua orang cukup makan. tidak ada manusia keluar televisyen minta derma untuk bayar kos bedah kaki sebab semua orang sihat walafiat. tidak ada orang yang boleh kita panggil 'bangang' sebab semua orang bijak-bijak belaka. bukankah dunia ini akan jadi lebih baik?

mesti ada sebab tuhan buat kita ini lain-lain.

kalau hari-hari kita bangun tengok orang kiri kanan semua orang muka sama macam kita, kita akan mahu tidur dan tidak bangun-bangun. kalau semua orang jadi bos, siapa yang nak jadi kuli? kalau semua orang dalam dunia ini lelaki, siapa yang hendak mengandung?

umpama magnet, apa yang berlawanan akan saling menarik. sebab itulah hidup kita ini indah. apa yang tidak ada pada kita akan ada pada orang lain. apa yang kita tidak boleh buat, ada orang lain boleh buat. apa yang jadi racun pada kita, akan jadi ubat pada orang lain.

jadi kita kena terima yang semua kita ini memang tidak sama.

saya buat kesimpulan ini selepas berpusing hampir satu jam di tingkat dua pasaraya itu. pada mulanya saya hampir tidak percaya. ini bukan calang-calang pasaraya. bahagian seluar sahaja sudah separuh tingkat itu. melihatkan kepada banyaknya jenama, saya yakin saya sudah ada sekurang-kurangnya dua helai seluar panjang baru untuk dipakai ke pejabat minggu depan.

saya sudah membelek sampai ke dasar kotak. semua seluar yang bergantung saya selak satu-satu. dan bila budak tulis resit berkali-kali tanya 'abang cari saiz apa?', telinga saya seolah-olah dengar 'baik abang beli kain tempah kat kedai aje!'. dua kali saya pelik. pertama kenapa saiz yang saya selalu pakai sudah sendat. kedua, kenapa saiz yang lebih besar tidak ada. bukan tidak ada dalam stok, tidak ada langsung. perlahan-lahan saya rasa saya menjadi mangsa dikriminasi. dan perlahan-lahan, saya turun melalui escalator.

kadang-kadang kita rasa kita ini sama dengan orang lain. tapi sekali sekala, kita kena tengok cermin.

patutlah kebelakangan ini ada dua tiga orang tegur 'kau nampak lain la sekarang ni'. saya ingatkan mereka merujuk rambut saya yang baru dipotong pendek atau baju batik saya yang bercorak kotemporari. rupanya mereka berkias.

dan bila kita ini lain dari orang lain, tidak semestinya itu tidak baik. bersyukurlah dan berdoalah kepada tuhan. sebab hanya tuhan sahaja yang boleh jadikan kita sama.

'ya allah, restuilah niat aku untuk membeli dua helai seluar baru. amin'.