encik_khairul@hotmail.com
1 2 3 4 5 6
kisah klasik no. 4: sila gunakan tangga
antara senaman yang pernah dicadangkan kepada saya untuk menangani masalah 'perut jalan ke depan' ialah 'memanjat' tangga.
dengan hampir semua bangunan zaman sekarang dibina tinggi-tinggi dan ada kalanya saya bekerja di bangunan-bangunan seperti itu, saya boleh kurus tanpa perlu berdiet dan pergi ke gimnasium. 'kau tak payah keluar duit satu sen pun', kata orang yang usulkan senaman ini. untuk beberapa hari berikutnya, itulah 'tugas sampingan' saya ketika di pejabat.
tapi saya berhenti bersenam belumpun cukup seminggu.
walaupun tidak mustahil untuk sampai ke tingkat paling atas, saya biasanya naik kurang dari 10 tingkat sahaja. dapat naik 5 tingkat pun sudah rasa macam berjaya daki gunung everest. saya berhenti selalunya kerana letih; letih sebab 'senaman' ini memang boleh buat perut jadi kurus dan letih menunggu bilalah saya akan sampai ke atas.
barangkali itulah sebabnya semua bangunan tinggi ada lif.
dengan adanya lif, semua orang boleh naik ke tingkat atas. dari segi senaman, naik lif tidak akan membakar kalori. tapi dari segi masa yang dijimatkan, kita mungkin akan ada masa untuk buat senaman yang lebih menyeronokkan. contohnya mengayuh basikal sambil menonton televisyen atau main bolasepak bersama kawan-kawan. sebagai seorang yang berkerja dalam bidang yang melibatkan logik, saya fikir kenapa susah-susah naik tangga kalau sudah ada lif?
beberapa hari lepas, isteri saya beri jawapan kenapa 'naik tangga' lebih baik dari 'naik lif'.
sebagai penjawat awam, isteri saya bermula dari peringkat paling bawah. sebagai penjawat awam, dia juga mengalami birokrasi.
saya kurang faham mengapa istilah kontrak boleh wujud dalam penjawatan dalam sektor awam. terutamanya apabila memang jawatan tetap itu kosong untuk bertahun-tahun lamanya. tapi isteri saya sabar 'naik tangga'; bermula dengan guru kontrak sehinggalah dilantik menjadi guru tetap awal tahun ini - tempohnya memakan masa hampir 6 tahun. 6 tahun baru sampai 'tingkat 1' tapi isteri saya tidak merungut.
dia hanya merungut bila dia dapat 'naik lif'.
dalam ramai-ramai guru lain terutama yang lebih senior, dia dilantik untuk memangku tugas sebagai penolong kanan. alasan pengetuanya ketika itu ialah dialah orang yang layak. kepada orang lain, baguslah dapat jadi penolong kanan. kepada isteri saya, lebih baiklah jadi cikgu biasa.
bila naik pangkat secara 'naik lif' ini, ada dua perkara yang 'hilang': pengalaman dan rasa hormat. dari seorang guru yang hanya tahu menulis buku rancangan mengajar tiba-tiba kena tulis laporan dan sediakan dokumen rasmi, isteri saya belum dapat sesuaikan diri dengan kerja baru. tapi yang menjadi rungutan utamanya ialah kena buli - jadi mangsa untuk wakil pihak sekolah untuk mesyuarat di luar, kena marah dan kena sindir bila silap buat kerja, kena balik lambat dan lain-lain perkara yang sebabkan mengapa guru senior tidak mahu pegang jawatan itu. tambah lagi bila dilantik memangku tanpa surat arahan rasmi.
kata isteri saya, lebih baik 'naik tangga' - tidak dapat 'naik ke atas' pun tidak apa sebab kita puas hati. boleh tumpu pada kerja dan boleh perlahan-lahan kutip 2 benda yang berharga dalam kerjaya itu - pengalaman dan rasa hormat. mungkin maksud isteri saya ialah kalau kita naik ikut tangga, kita akan jadi manusia yang lebih sihat. kalau naik lif, ada ketikanya lif boleh tersangkut.
sebagai suami, saya bangga isteri saya dilantik menjadi penolong kanan. maknanya saya berkahwin dengan orang yang berkaliber:). tapi itulah hakikatnya dengan kehidupan di 'tingkat atas'. sebab hanya 'orang yang istimewa' sahaja yang boleh 'duduk di tingkat atas'. sebagai suami, saya hanya boleh nasihat:'orang yang hebat selalunya diberi dugaan yang hebat. dan tuhan tidak duga manusia dengan dugaan yang manusia itu tidak boleh tanggung.'.
dan sebagai suami, saya perlu jadi suami yang sihat. sebab itu saya telah pun perlahan-lahan bersenam panjat tangga semula.