encik_khairul@hotmail.com
1 2 3 4 5 6
kisah klasik no. 2: kamus itu dusta
manusia adalah makhluk yang bijak.
dengan menggunakan akal yang dikurniakan tuhan, manusia mencipta macam-macam benda. daripada benda yang pelik-pelik sehinggalah ke benda yang selalu kita guna hari-hari. daripada benda yang bawa kebaikan kepada benda yang bawa keburukan. kadang-kadang, kita tertanya-tanya: 'macam manalah manusia boleh dapat ide nak buat benda ni?'
misalnya kamus.
kamus adalah buku rujukan untuk cari maksud perkataan. kamus dewan versi keempat yang dikeluarkan oleh dewan bahasa dan pustaka mengandungi 49,000 perkataan dan tebalnya 1817 mukasurat. bukan senang untuk cari makna untuk 49,000 perkataan itu. tapi sama jugalah dengan kerja-kerja susah yang lain di dalam dunia ini - mesti ada orang yang kena buat.
tapi manusia adalah manusia. bijak tapi tidak sempurna.
tanpa memperlekehkan usaha mengumpul maksud 49,000 perkataan itu, adakah maksud semua perkataan itu betul? ada atau tidak kebarangkalian yang maksud itu direka sendiri? jika betul pun, siapa yang beri pengesahan maksud perkataan itu betul? mengapa ada perkataan yang kita tidak pernah guna tapi ada dalam kamus?
kalau kamus pun boleh silap, inikan pula manusia.
saya tidak tahu 'kamus' mana yang dirujuk tapi bagi kebanyakan orang, orang berbadan besar disamaertikan dengan orang yang kuat makan.
pagi itu, saya sedang menjamah keledek goreng yang masih panas ketika isteri saya ktung ktang memasak nasi goreng. bila ditanya 'ada orang nak datang ke?', dijawabnya 'cukup ke makan keledek aje?' sambil menyuakan saya sepinggan nasi goreng 'segar' dari kuali. saya makan untuk menjaga hati. baru sahaja hendak bergerak untuk membasuh tangan, 'sayang nasi goreng dalam kuali tu. bukan ada orang pun nak makan lagi'. maknanya saya kena makan sepinggan lagi.
tengah hari itu, saya membawa keluarga ke rumah saudara isteri saya. ada durian baru gugur. habis lima enam ulas, disuakan lagi beberapa biji. 'takkan dah sudah kot?'. saya makan untuk menjaga hati. tidak lama selepas itu, ada makan tengah hari pula. sekali lagi skrip yang sama - 'eh, tambahla. lauk banyak lagi ni'. di rumah itu; pada tengah hari itu sahaja, saya telah menghabiskan dua biji(bukan ulas) durian dan dua pinggan nasi.
saya tidak pasti yang mana dulu - badan besar atau makan banyak tapi suatu ketika dahulu saya pernah mewakili negeri dalam satu sukan yang melibatkan aktiviti berlari. ada ketikanya saya boleh duduk mengadap komputer seharian dengan hanya minum air masak sahaja. tapi hari ini, bila buat pemeriksaan kesihatan doktor akan kata 'awak ni dah kena diet'.
sebab itulah jika saya ini 'dewan bahasa dan pustaka', saya akan tulis maksud orang yang badan besar sebagai orang yang perlu berdiet.
tapi kalau boleh tukar maksud pun, kita tidak boleh tukar manusia. manusia mudah lupa.
pagi esoknya, isteri saya berkata 'abang tak sedar ke abang dah gemuk? abang kena exercise ni'.
terima kasih manusia kerana menjadikan aku lebih manusia.