encik_khairul@hotmail.com

1 2 3 4 5 

6 
kisah klasik no. 1: pro bono
TANSTAAFL merupakan singkatan perkataan inggeris. bila dimelayukan, maksudnya lebih kurang begini: 'tidak ada satu benda pun yang dipanggil makan percuma'.

tapi di di negara kita, kita ada makan percuma. kita panggil makan percuma itu makan kenduri.

di majlis kenduri, kita dapat tengok macam-macam ragam manusia. lebih-lebih lagi di zaman moden ini, kenduri dibuat secara 'lambak' (saya tidak jumpa terjemahan untuk bufet dalam bahasa melayu). ada yang sekali ambil penuh pinggan - ayam ambil dua, buah ambil dua. ada yang sekali ambil, macam mahu makan dalam cawan - nasi sesudu, ayam ambil yang paling kecil. ada yang ambil nasi dan lauk sahaja - sayur tidak sentuh langsung.

ada yang makan sampai jilat jari. ada yang makan tidak cukup sekali. ada yang sendawa cakap alhamdulillah. ada yang sendawa, cakap 'apa la lauk tak sedap!'. ada yang ambil nasi dan lauk penuh pinggan tapi makan secubit sahaja. ada yang sungguh-sungguh mahu makan, tapi masa itulah nasi sudah habis.

kalau kita jadi orang yang buat kenduri, kita akan dapat buat dua kesimpulan: bukan senang nak puaskan hati semua orang dan janji sudah siap, lantaklah apa orang hendak kata.

begitulah cabarannya bila kita buat program secara pro-bono.

saya sudah meletakkan jawatan sebagai tukang buat program kira-kira empat tahun lalu. tapi saya masih belum bersara. di tempat kerja baru saya ini, saya 'curi-curi' buat 'kerja lama'. bezanya kali ini, tidak ada gaji dan tidak ada bos. sekadar untuk 'menghilangkan ketagih'.

tapi; sama seperti buat kenduri, musuh utama kita ialah mulut manusia. kadang-kadang orang 'hilang akal' pada benda yang percuma.

bila tidak ada sistem, orang merungut - 'banyaknya benda kena buat!'. bila tidak ada sistem, orang jadi malas - 'payahnyalah nak siap kerja ni. malasla aku nak buat.' tapi bila ada sistem pun, orang merungut juga - 'nak buat sistem sangat, benda simple pun tak boleh buat'. sudah ada sistem pun, orang jadi malas juga - 'senang aje kan guna sistem. nantila aku buat'.

kalau buat program kerana gaji, kita boleh buat-buat 'buta' dan 'pekak'. tapi bila kita buat program kerana hobi, kita kena 'pakai cermin mata' dan 'sambung ke pembesar suara'. walaupun kita buat secara suka-suka, orang anggap kita serius. walaupun kita sudah buat sehabis bagus, orang anggap kita 'macam bagus'.

sebab itulah agaknya istilah TANSTAAFL itu wujud. kenduri pun tidak sepenuhnya makan percuma. pesan arwah ayah: kalau pergi kenduri rumah orang, jangan pergi tangan kosong.

tapi buat kerja baik ini fardhu kifayah - kena ada orang yang buat. hendak buat kerja baik, hati kena ikhlas. kadang-kadang kawan-kawan ada tanya 'ko buat sistem-sistem ni, ko taknak caj ke?'. kalau kerana duit, lebih baik saya tidak letak jawatan dulu. lagipun sudah tua-tua begini, memberi jauh lebih baik dari menerima.

nasihat saya kepada sesiapa yang mahu buat apa-apa kerja pro-bono, latihlah diri dengan buat kenduri dulu:)